Ketika saya masih belajar di IPT dulu, saya ada mengikut seorang kawan ke pendalaman di Rompin, Pahang, untuk berjumpa dengan seorang Tok Batin.
Sahabat saya ini ada masalah patah tulang di bawah buku lali kaki akibat dilanggar oleh seorang mat rempit ketika dia dalam perjalanan pulang dari kuliah malam.
Dipendekkan cerita, saya melihat Tok Batin itu tak membaca apa-apa pun, dia cuma mengambil beberapa batang pokok dan tumbuk, kemudian disapu pada tempat yang patah dan dibalut dengan daun pisang.
“Balutan ini jangan dibuka selama tiga hari dan tidak boleh terkena air selama tempoh tersebut,” katanya. Selepas tiga hari berlalu, kami pergi berjumpa dengan Tok Batin. Saya jenis yang pantang tengok ilmu baru, terus saja nak menadah.
“Tok tampal apa di kaki kawan saya itu? Cepatnya boleh sembuh?” soal saya. “Alah, pokok tulang saja,” jawabnya. “Tak payah baca jampi ke Tok?” saya kehairanan. “Tak payah, dah memang itu saja ubatnya. Nak jampi-jampi buat apa?” soalnya kembali.
“Saya nak ilmu ini, boleh tak Tok?” pinta saya sopan. “Boleh saja, jarang sangat anak muda seperti kamu ini minat berubat. Mari ikut saya, kita tengok pokok itu.” katanya lalu kami pun pergi ke belakang rumahnya. Tok Batin menunjukkan pokok itu dan diajar petua bagaimana mahu mengambilnya.
Menurut Tok Batin, pokok itu boleh digunakan untuk kes tulang patah, bengkak atau seliuh. Namun, pokok ini eloklah diambil pada waktu petang sebelum malam. Nak mengambilnya pula, biar yang bahagian bawah tetapi bukan yang jenis sentuh tanah.
Ambil ranting yang lekuknya ke atas. Yang turun ke bawah tak boleh dijadikan ubat.
Cara rawatannya pula, mudah sahaja. Hanya tumbuk, tampal dan balut dengan daun pisang. Semudah A B C. “Kalau dibalut dengan kain saja, tak jadi ke Tok?” soal saya.
Menurut Tok Batin, ianya tidak akan berkesan kerana tujuan membalut dengan daun pisang adalah bagi memberi kesejukan kepada kulit dan tidak melepuh. Kebiasaannya selepas tiga hari, barulah boleh dibuka dan inshaAllah sembuh.
Bila sudah mendapat ilmu itu, saya pun cubalah pada seorang kawan yang patah tulang lutut. Alhamdulillah menjadi. Tetapi bukan tiga hari, enam hari dengan dua kali balutan. Jadi di bulan yang mulia ini, saya izinkan sesiapa yang mahu menggunakan ilmu ini. InshaAllah sembuh.
Pokok Tulang ini dikenali sebagai Pokok Tetulang yang selalu dijadikan sebagai pokok hiasan dan mudah dicari di Nursery.
Tambahan:
1. Merawat bisul, kesan bengkak dan patah: Untuk merawat ketiga-tiga perkara di atas, ranting dahannya yang segar perlu dilayurkan terlebih dahulu di atas api yang sederhana besar.
“Layurkannya atas api dalam beberapa minit dan bila kepanasannya reda sedikit, tuapkan rantin dahan pokok tetulang ini pada tempat yang berkenaan. Balutlah dengan kain yang bersih. Amalkan sehingga kesan kesakitannya hilang.
2. Hilangkan ketuat: Ambil cecair getah berwarna putih yang keluar apabila dipatahkan mana-mana dahannya yang sudah matang. Selawat dan sapu pada kawasan yang terkena ketua setiap hari sehingga hilang.
3. Sakit Sendi Tulang: Patahkan beberapa ranting pokok tulang bersama getahnya. Rebuskan pokok tersebut dan air rebusan itu digunakan sebagai air mandian.
Sumber: Facebook Pesan Bonda