≡ Menu

Betulkah Ayam Berkokok Kerana Melihat Malaikat?

Jika anda seorang yang menggemari alam atau berasal dari kampung, pasti akan terbiasa dengan bunyi kokokan ayam terutamanya ketika fajar menyinsing.

Waktu kecil, saya pernah diasak dengan cerita dan juga kata-kata bahawa – jika mendengar bunyi ayam berkokok, teruslah berdoa. Hal ini kerana, pada waktu tersebut para malaikat sedang turun ke bumi untuk mengangkat doa hamba yang sedang merintih kepadaNya.

Namun, apakah benar kata-kata tersebut? Kenapa ayam yang berkokok dikatakan sebagai petanda turunnya malaikat ke bumi dan, adakah ayam-ayam ini tidak melihat malaikat lain yang sentiasa ada di bumi?

Menurut sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang berbunyi:

إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ، فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا، وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

“Jika kamu mendengar ayam berkokok, maka mohonlah kepada Allah SWT akan kurniaanNya, kerana ia (ayam) melihat malaikat. Dan apabila kamu mendengar bunyi (suara) keldai, maka mohonlah perlindungan kepada Allah SWT daripada syaitan, kerana ia (keldai) sedang melihat syaitan.”
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmidzi)

Jumhur ulama’ telah bersetuju bahawa hadis yang sering diutarakan ini merupakan hadis sahih dan muttafakun ‘alaih (disepakati) kerana ia telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan juga Muslim.

Malah, menurut jumhur ulama’, malaikat yang turun pada waktu ini ialah Malaikat Rahmat yang turun untuk memberikan rahmat dan mengaminkan doa orang yang soleh dan sesiapa sahaja yang sedang berdoa.

BACA:  Menolak Perlakuan LGBT Adalah Ajaran Al-Quran: Timbalan Mufti Perak

Selalunya kita akan mendengar kokokan ayam jantan antara pukul dua sehingga enam pagi atau lebih tepatnya sebelum terbitnya fajar.

Menurut jumhur ulama’ lagi, disebabkan itulah waktu dua pertiga malam merupakan antara waktu termakbulnya doa dan tiada penghalang untuk doa kita diangkat kepadaNya secara terus kerana Malaikat Rahmat sedang turun ke bumi untuk mengaminkannya.

Oleh yang demikian, kita sentiasa disunatkan untuk qiam atau bangun malam, sama ada untuk melakukan tahajjud, berdoa dan beristighfar memohon keampunan daripada Allah SWT sendiri. Pada waktu yang sunyi ini akan membuatkan kita lebih mudah untuk menghayati bait-bait doa serta muhasabah diri sendiri.

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Mafhum: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah Al-Isra’, 17:79)

Kokokan Ayam Dari Sudut Sains

Sebuah kajian telah dilakukan oleh beberapa orang pengkaji haiwan di sebuah universiti terkemuka di Jepun, iaitu Nagoya University yang telah diketuai oleh Takashi Yoshimura melihat pada awalnya ayam sangat sensitif dengan cahaya.

Mereka telah menguji ayam jantan tersebut dengan meletakkan di bawah cahaya lampu seperti kereta dan di dalam bilik gelap yang kemudiannya dinyalakan cahaya menunjukkan hasil bahawa mereka akan berkokok. Begitu juga apabila kedengaran bunyi atau tempat mereka dilawati manusia, ayam-ayam ini akan berkokok.

Namun, penelitian seterusnya yang dilakukan oleh para pengkaji ini menunjukkan bahawa ayam-ayam ini terutamanya ayam jantan sebenarnya mempunyai jam biologi yang tersendiri di dalam badannya.

Hal ini dikatakan bahawa, walaupun tiada cahaya lampu yang dinyalakan, namun mereka tetap akan berkokok sebelum terbit dan tenggelamnya fajar.

BACA:  Wanita Ini Kongsi Cara Delete Akaun Facebook, Bila Pemiliknya Meninggal Dunia

Eksperimen kedua yang telah dilakukan ialah dengan meletakkan ayam-ayam ini di dalam sebuah bilik gelap selama 24 jam setiap hari. Hasil eksperimen menunjukkan bahawa mereka akan berkokok setiap lapan jam sekali pada setiap hari dalam waktu yang sama dan tepat sebelum terbitnya fajar.

Kokokan ini akan bermula dengan suara seekor ayam jantan yang dianggap sebagai pemimpin dan akhirnya akan diikuti oleh ayam-ayam yang lain.

Menurut Takashi Yoshimura, cahaya bukanlah faktor dan juga alasan para ayam akan berkokok, namun disebabkan oleh jam biologi dalam badannya sendiri.

Kokokan ayam mampu memberi bunyi yang sangat kuat dan bising. Disebabkan itulah ia dikatakan merupakan jam penggera yang paling sesuai untuk manusia.

Jika dilihat kehidupan dahulu kala, mereka akan memulakan pagi setelah terbitnya fajar dengan bantuan daripada bunyi alam seperti kokokan ayam jantan dan kicauan burung hutan.

Kesimpulan

Setiap makhluk di muka bumi ini mempunyai fungsi dan manfaatnya yang tersendiri untuk semua. Kadang-kadang kita memandang enteng makhluk yang dirasakan tidak memberikan kita kebaikan, namun para penyelidik telah membuktikan bahawa setiap yang disampaikan oleh Al-Quran dan hadis sebenarnya mempunyai maksud dan manfaatnya yang tersendiri.

Wallahu a’lam.

 

Sumber: tzkrh.com

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel