≡ Menu

Bagaimana Mencintai Nabi Muhammad S.A.W Jika Tidak Mengenalinya?

Bagaimana Mencintai Nabi Muhammad S.A.W

Keturunan baginda yang mulia adalah daripada Nabi Ibrahim dari jalur anaknya Nabi Ismail A.s. Ketika telaga Zam Zam mengeluarkan airnya semasa Nabi Ismail dan ibunya ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim di Mekah, Kabilah Jurhum yang hidup secara berpindah-randah mula membina penempatan kekal di kawasan berkenaan. Setelah dewasa, Nabi Ismail telah berkahwin dengan anak Mudad bin Amru iaitu seorang pembesar kabilah tersebut. Hasil perkahwinan ini, baginda mendapat 12 orang anak dan telah menetap di kawasan Mekah. Salah seorangnya ialah Qaydar yang mendapat anak bernama Adnan.

Maka, daripada ini orang Arab menisbahkan keturunan mereka dan digelar dengan gelaran Arab Adnan kerana bagi mereka, keturunan ini merupakan keturunan arab paling awal mendiami Mekah. Kemudian lahirlah Maad dan anaknya Nizar. Nizar mempunyai 4 orang anak iaitu Iyad, Anmar, Rabiah dan Mudar. Masing-masing mempunyai anak-anak yang ramai dan mencambahkan keturunan. Ilyas lahir daripada keturunan Mudar dan mendapat anak bernama Mudrakah manakala Mudrakah mendapat cucu bernama Kinanah hasil daripada anaknya Khuzaiymah. Bertitik tolak daripada sinilah lahirnya keturunan Quraisy. “Baginda bersabda: sesungguhnya Allah telah memilih daripada Ibrahim anaknya Ismail dan daripada keturunan Ismail akan Kinanah. Dan daripada keturunan Kinanah, Allah memilih Quraisy dan daripada anak-pinak Quraisy, bani Hasyim terpilih dan aku dipilih daripada anak-pinak Hasyim.” (HR Muslim).

Sejarawan Islam mempunyai perbezaan pada tarikh kelahiran baginda iaitu 9, 10,11 dan 12 Rabiul Awal Tahun Gajah (570/571 M). Namun, pendapat yang popular seperti al-Mubarakfuri menyatakan bahawa baginda lahir pada 12 Rabiul Awal di rumah datuknya Abdul Mutallib. Para sejarawan tidak bercanggah pendapat bagi hari baginda dilahirkan kerana baginda telah bersabda ketika ditanya tentang puasa baginda pada hari Isnin, maka baginda menjawab bahawa itulah hari kelahiranku. (HR Muslim). Pagi itu lahirlah kekasih-Nya disambut oleh datuk baginda dan dibawa tawaf di Kaabah dan memilih nama Muhammad baginya. Nama penuh baginda ialah Muhammad b. Abdullah b. Abd. Mutallib b. Hasyim b. Abd Manaf b. Qusai b. Kilab b. Mara b. Kaab b. Lu’ai b. Qhalib b. Fihr b. Malik b. Nadr b. Kinanah b. Khuzaymah b. Mudrakah b. Ilyas b. Mudar b. Nizar b. Maad b. Adnan b. Qaydar b. Ismail b. Ibrahim. Nabi Allah Ibrahim merupakan datuk ke-23 kepada Nabi Muhammad S.a.w.

BACA:  Menuju 2019: 7 Perkara Tentang Kehidupan Saya Harap Saya Pelajari 7 Tahun Yang Lalu

Allah telah menjaga baginda dari keturunannya iaitu dengan nasab yang baik serta terhormat manakala menjaga baginda sejak kelahiran daripada perkara yang syirik dan berupa maksiat. Allah telah menjaga baginda sejak lahir dari sudut zahirriyyah dengan mengelakkan baginda daripada menyembah berhala seperti kaum Quraisy yang lainnya. Ketika meningkat dewasa, baginda dijaga oleh-Nya daripada terlibat daripada kemaksiatan yang berleluasa terutamanya perzinaan. Penjagaan hati juga dilaksanakan apabila baginda telah dibedah oleh 2 malaikat ketika dalam jagaan Halimah as-Saadiah dan dibasuh hatinya dengan air Zam Zam. Baginda juga lebih suka menyendiri untuk berkhalwat (menyendiri) dalam Gua Hira’ daripada menyibukkan diri dengan urusan Kaum Quraisy yang terpesong sehinggalah wahyu pertama diturunkan kepada baginda.

Kehidupan baginda sejak kecil adalah kehidupan yang teruji demi meneguhkan kekuatan jiwa baginda. Ayahnya meninggal ketika baginda di dalam perut ibunya Siti Aminah manakala Siti Aminah meninggal ketika baginda berusia 6 tahun. Maka dijaga akan baginda oleh datuknya Abdul Mutallib selama 2 tahun. Ketika baginda berusia 8 tahun, baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib setelah datuknya pula meninggal dunia. Baginda bekerja sebagai penggembala kambing dan pernah mengikuti bapa saudaranya berdagang di Syam. Ketika baginda menginjak dewasa, baginda telah mendagangkan barang dagangan seorang wanita bangsawan Quraisy iaitu Siti Khadijah. Beliau tertarik dengan baginda lalu memutuskan untuk berkahwin ketika beliau berusia 40 tahun manakala baginda berusia 25 tahun. Baginda telah diberi gelaran ‘al-amin’ iaitu yang dipercayai kerana tidak pernah berbohong.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Sebagai Umat Islam, adalah menjadi keperluan untuk kita mengetahui sirah baginda sebelum dan selepas kenabiannya. Mencintai baginda tidak boleh terakar pada pohon mengetahui sirahnya akan tetapi berusaha untuk menghidupkan amalan serta sunnahnya. Jelas bahawa keturunan dan kehidupan baginda sejak kecil adalah terpelihara. Ketabahan dan kesabaran baginda ketika diuji dengan kematian orang yang tersayang harus dijadikan ‘uswah’ masyarakat kini. Usahlah meratapi pemergian orang tersayang kerana begitulah lumrah kehidupan bahkan baginda mengalami ujian yang lebih besar dengan kematian bapa, ibu dan datuknya dalam masa 10 tahun sekaligus. Pemergian yang tersayang adalah dugaan yang besar, namun meratapi bukanlah suatu tindakan bijak kerana doa kepada mereka adalah lebih bermakna.

BACA:  Hukum Membaca Jampi Dalam Perubatan

Kesungguhan baginda serta kejujurannya adalah sangat terkenal dalam menguruskan hal dagangan barang milik Siti Khadijah. Amanah dan jujur sehingga digelar ‘al-amin’ seharusnya membuka mata masyarakat kita. Berusahalah atas jalan yang halal untuk mencari rezeki namun jujurlah dalam memegang amanah. Tatkala mencecah usia 40 tahun, bermulalah episod wahyu kepada baginda dimulakan dengan wahyu “iqra” di Gua Hira. Selama hampir 23 tahun baginda mendapat wahyu dan menyebarkannya sehingga menghancurkan kefahaman dan amalan yang terpesong. Kitalah yang menikmati nikmat Islam, Iman dan Ihsan hasil daripada kesusahan baginda memperjuangkan agama. Apakah kita tidak mahu mencintai, mengikutinya dan mengangkat baginda sebagai ‘uswah’ dan idola? Tanpa baginda, apakah kita akan mengenal Tuhan alam semesta atau sejauhmana kesesatan dan penyimpangan kita sekiranya baginda tidak bersusah memperjuang agama suci ini? Masih egokah diri ini?!

A.R. Kasa
Pelajar Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya

Gambar: NU Online

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel