≡ Menu

Bacalah Al-Quran Dengan Mata, Hati dan Fikiran

Bacalah Al-Quran Dengan Mata, Hati dan Fikiran

Bila agaknya kali terakhir kita membaca Al-Quran? Semalam, kelmarin, minggu lepas, bulan lepas, Ramadan lepas atau sudah tidak ingat bila.

Bila pula kali terakhir kita membaca Al-Quran dengan mata, hati dan fikiran, dalam kata mudah – bilakah kita benar-benar khusyuk dan memberi fokus sepenuhnya semasa membaca Al-Quran? – menjaga sebutan makhraj huruf, memelihara setiap hukum bacaan dalam masa sama cuba mentadabbur makna lafaz-lafaz yang dibaca.

Sejujurnya, persoalan di atas saya pulangkan buat diri saya sendiri juga.

Ustaz-ustaz kerap mengingatkan supaya bacaan Al-Quran tidak ditinggalkan walaupun sehari, tetapi kita tidak mahu hanya sekadar menjadikannya rutin, membaca tanpa rasa sedar, apa dan bagaimana ayat-ayat suci dari Allah SWT ini kita baca. Kita tidak mahu hanya mengulang-ulang apa yang didengari dan diucapkan tanpa benar-benar faham.

Baca Al-Quran Dengan Mata, Hati Dan Fikiran

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

“dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”. (Surah Al-Muzammil, 73:4)

Dalam kalimah tartil di atas tersimpan rahsia bagaimana sepatutnya kita membaca Al-Quran.

#1 – Membaca Al-Quran Dengan Turutan Dan Susunan

Imam al-Mawardi mengatakan bahawa maksud tartil di atas adalah suruhan membaca Al-Quran secara tertib, tidak mengubah lafaz dan jangan mengubah-ubah kedudukan ayat.

Lihat satu persatu ayat Al-Quran yang ingin dibaca seandainya kita belum biasa dengan bacaan tersebut, supaya ayat tidak tertukar dan tersilap dibaca. Mata juga boleh direhatkan dengan melihat Al-Quran setelah seharian keletihan merenung skrin telefon atau komputer.

#2- Membaca Sambil Tadabbur Dan Berfikir

Syeikh al-Sa’di pula berpandangan bahawa membaca dengan tartil maksudnya membaca sambil berfikir, iaitu sedar apa yang sedang kita baca, dan apakah mesej yang ingin Allah SWT sampaikan kepada kita sebagai hambaNya.

BACA:  Dakwah Adalah Tanggungjawab Dan Membawa Ke Arah Perubahan

Bukan sahaja minda yang memikirkan tentang apa makna ayat yang dibaca bahkan hati juga perlu dilatih agar berfikir dengan mendalam. Fahamilah betapa kasih dan cinta Allah kepada hambaNya sehingga diturunkan ayat-ayat sebagai panduan manusia hidup di dunia.

#3- Membaca Al-Quran Dengan Bertajwid

Membaca dengan bertajwid pula ialah membaca Al-Quran dengan mengambil kira cara sebutan setiap huruf, menjaga panjang pendek bacaan dan hukum-hukum yang lain. Kalau tidak betul bacaan, maksudnya juga boleh berubah.

Jadi, bacaan secara bertajwid adalah kemestian yang perlu dipelajari. Kata Imam Ibn al-Jazari, apabila ayat al-Quran dibaca secara bertajwid, kita ibarat memperindahkan bacaan Al-Quran dan memberikan huruf-huruf tersebut hak mereka masing-masing.

Kesimpulan

Membaca ayat-ayat suci Al-Quran umpama pulang kepada diri sendiri. Bukankah setiap ayat itu juga diturunkan untuk kita sentiasa sedar tentang dari mana dan ke mana arah tujuan selepas ini?

Jadi, manfaatkanlah firman Allah selagi kita boleh membaca, mata masih boleh melihat dengan jelas serta hati dan fikiran pula masih dalam keadaan sihat dan baik. Semoga Allah membantu kita untuk lebih dekat dengan kalamNya.

 

Sumber: tzkrh.com 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel