≡ Menu

9 Rahsia Menjadi Orang Yang Mempunyai Keyakinan Diri

Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian, dan Allah juga menyediakan banyak kemudahan di atas dunia ini untuk manusia gunakan. Bermakna apa? Bermakna Allah ingin kita benar-benar menjadi seorang Muslim yang berguna, seorang Muslim yang produktif dan mampu berfungsi dengan baik. Allah berfirman dalam Surah Al-Isra’:

“Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”
(Surah Al-Isra’ 17:70)

Kerap kali kita mendengar cerita tentang orang-orang di sekeliling kita yang mempunyai kemahiran dan kelebihan dalam suatu perkara, tetapi terhalang daripada memaksimakan produktiviti mereka kerana rasa rendah diri dan tidak ada keyakinan. Bagaimana untuk ‘mengubati’ hal ini? Berikut disenaraikan lapan perkara yang boleh diikuti:

#1- Gunakan Bahasa Yang Positif

Bahasa yang positif sangat penting – bukan hanya apabila bercakap dengan orang lain malah apabila bercakap dengan diri sendiri. Bahasa yang positif lama kelamaan mampu membentuk cara fikir yang positif, seterusnya mampu memberi kesan pula kepada tindak- tanduk yang positif.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Ia ibarat ‘cycle’ yang akan terus berulang. Sekecil apapun pencapaian yang dilakukan dalam kehidupan, berikan pujian kepada diri sendiri sebagai tanda penghargaan.

#2- Kembangkan Rangkaian Hubungan Dengan Orang Lain

Setiap orang yang anda jumpa pasti mempunyai kelebihan yang mungkin tidak ada pada diri anda. Luaskan rangkaian kenalan dengan melibatkan diri dalam program-program sosial, program anjuran pihak kerajaan mahupun badan-badan bebas.

BACA:  1 Jam Selepas Subuh Menentukan Bagaimana Hala Tuju Hidup Kita.

Ia akan membantu anda keluar dari ruang selesa dan kelompok yang sama dalam masa yang sama membina keyakinan dalam bersosial.

#3- Usahakan Sesuatu Daripada Kemahiran Yang Ada

Biasanya kita akan lebih yakin melakukan apa yang kita mahir. Setelah anda mengenal pasti kemahiran apa yang anda ada, maka anda boleh mula mengembangkannya dan fokus kepada pembangunan diri.

Apa yang anda buat mungkin tidak sempurna dan banyak kurangnya di peringkat awal. Dapatkan sokongan daripada orang di sekeliling, buat perancangan dan atur langkah dengan yakin.

#4- Belajar Berdikari

Bergantung dengan diri sendiri apabila melakukan suatu perkara dapat membentuk karakter yang ‘strong’ dalam diri. Anda tidak mudah menyerah kalah apabila berhadapan dengan cabaran. Anda berusaha dahulu mencari jalan penyelesaian dan mencabar tahap kemampuan diri.

#5- Terima Pujian Dengan Senang Hati

“Awak ada bakat lah”

“Cantiknya poster yang awak design”

Biasanya jika dipuji, respon yang ramai orang berikan seperti;

“Eh tak lah, biasa je”

Apa kata jika kita belajar menerima pujian yang diberikan dengan hati yang lapang. Jawab sahaja, “Terima kasih” sambil memberikan seulas senyuman. Ia bukan bermakna kita ingin menyombong diri.

Berterima kasih apabila orang memuji kita dengan ikhlas sebenarnya merupakan satu penghargaan buat diri sendiri dan juga orang yang memuji. Saat itu anda akan rasa keyakinan dalam diri semakin bertambah.

#6- Baca Tentang ‘Keyakinan’

Banyak buku dengan tema ‘keyakinan’ yang dijual di pasaran. Contohnya buku ‘The Magic of Thinking Big’ oleh David J. Schwartz, “The Art of Thinking Clearly” oleh Rolf Dobelli dan juga “Failing Forward” oleh John C. Maxwell. Malah sebahagian buku-buku dengan genre sebegini telah banyak diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Malah banyak juga penulis-penulis tempatan yang telah menghasilkan buku-buku berkaitan pembangunan diri yang bermanfaat.

BACA:  Bagaimana Menjemput Kejayaan Dalam Kehidupan Seharian

Membaca buku ini sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada perkara baru dalam masa yang sama membantu kita untuk memahami mengapa manusia cenderung untuk bertindak dan berfikir dalam satu ‘pattern’ yang sama.

#7- Senaraikan Kekuatan Yang Anda Ada

Kadang-kadang kita terlalu memandang rendah diri sendiri. Jika kita ada kelebihan tetapi kita tidak mengiktirafnya dan menggunakan kelebihan tersebut untuk kebaikan, sama lah seperti kita tidak menghargai kelebihan tersebut yang telah Allah berikan. Sesekali senaraikanlah kelebihan yang ada pada diri anda walaupun hal itu kecil. Usah membandingkan apa yang anda mampu lakukan dengan apa yang rang lain mampu lakukan .

#8- “Fake It Until You Make It“

Saya suka dengan kata-kata di atas yang bermakna: “Berpura-pura sehingga kamu berjaya”. Ertinya, kita boleh sebenarnya berpura-pura menjadi seorang yang yakin sehinggalah kita benar-benar menjadi seorang yang berkeyakinan. Perhatikan apa yang selalu dilakukan oleh orang yang berkeyakinan – cara mereka duduk, cara mereka bercakap dan juga cara mereka berurusan dengan orang.

Contohi apa yang mereka lakukan. Mungkin pada awalnya kita tidak selesa dengan perubahan yang dilakukan, namun percayalah lama kelamaan kita juga akan mula terbiasa dan terlihat yakin di hadapan orang.

#9- Ucapkan Doa Yang Istimewa Ini

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي
Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;

وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي
“Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;

وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي
“Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,

يَفْقَهُوا قَوْلِي
“Supaya mereka faham perkataanku;

Nabi Musa tahu bahawa baginda mempunyai kekurangan dalam berkata-kata. Maka , baginda berdoa supaya Allah mempermudahkan urusannya. Lihat doa tersebut dimulakan dengan doa supaya ‘dilapangkan hati terlebih dahulu’ sebelum ‘dimudahkan tugasan’.

BACA:  7 Cara Ini Dapat Membantu Anda Melawan Sikap Bertangguh

Seringkali kekurangan dan ketidakyakinan kita bermula daripada dalam diri sebenarnya – daripada hati yang tidak yakin, daripada pemikiran yang negatif tentang diri sendiri sehingga ia memberi kesan kepada perbuatan kita contohnya tidak lancar ketika berucap, tergagap dan sebagainya.

Maka berdoalah kepada Allah supaya ditenangkan hati terlebih dahulu – sehingga hati yang tenang mampu memancarkan pula keyakinan dalam perbuatan.

Kesimpulannya, keyakinan adalah suatu hal yang boleh diusahakan. Usah gusar jika kita masih belajar untuk menjadi seorang yang yakin. Keyakinan bukan destinasi, tetapi seperti rumah yang akan kita masuk dan keluar berkali-kali.

 

Sumber: tzkrh.com

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel