Fasa kanak-kanak adalah fasa yang sangat penting dalam perkembangan diri seorang manusia. Kajian psikologi mendapati bahawa tempoh seawal lima tahun tumbesaran kanak-kanak merupakan tempoh otak berkembang dengan sangat cepat dan pantas.
Hubungan mereka dengan apa yang mereka lihat, sentuh dan dengar akan merangsang interaksi neuron dalam otak sekaligus mempengaruhi pembentukan sikap. Jadi jom kita lihat pula apakah perkara yang mampu membantu kanak-kanak-kanak membesar dengan lebih gembira.
#1- Masa Bermain
Masa bermain sangat penting untuk kanak-kanak. Waktu bermain dapat membantu otak mereka untuk berkembang dan menjadi lebih kreatif. Biarkan mereka dengan dunia imaginasi mereka.
#2- Elakkan Bergaduh Di Hadapan Kanak-Kanak
Minda anak-anak mudah menyerap. Mereka cepat meniru apa yang mereka dengar dan lihat. Dalam jangka masa panjang, pergaduhan yang berlaku di hadapan mereka juga boleh menjadikan mereka risau dan rasa tidak selamat.
#3- Berhenti Membandingkan
Setiap kanak-kanak itu unik. Mereka mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Dalam sekian ramai anak-anak, pasti ada yang jenis banyak cakap, yang kurang bercakap, yang rajin, yang kurang rajin. Usah bandingkan kekuatan dan kelemahan mereka secara berlebihan. Menasihati itu perlu tetapi jangan sampai merendah-rendahkan mereka.
Apabila anda membandingkan mereka dengan kanak-kanak yang lain secara melampau, hati kecil mereka boleh tercedera. Lama kelamaan, mereka boleh hilang keyakinan diri kerana selalu merasakan bahawa mereka tidak dapat mencapai standard atau kemahuan ibu bapa.
#4- Ajar Mereka Bagaimana Emosi Negatif Boleh Membantu
Kanak-kanak juga boleh terdedah dengan emosi yang negatif dalam kehidupan seharian. Ia suatu perkara yang normal. Contohnya kalah dalam acara sukaneka di sekolah, tidak dapat menyaingi kejayaan adik beradik yang lain dalam peperiksaan dan sebagainya.
Ajar mereka untuk mengurus emosi sedih yang dirasai dengan sebaiknya. Fahamkan mereka bahawa kekalahan bukan semestinya sesuatu yang buruk, peluang untuk mencuba lagi sentiasa ada. Bantu supaya semangat mereka naik semula.
#5- Meraikan Usaha
Kita faham bahawa kudrat kanak-kanak tidak seperti orang dewasa. Kadang-kadang suatu perkara yang mereka lakukan memang tidak akan sempurna contohnya, mengelap air yang tumpah, menyusun buku atau melipat pakaian. Namun raikanlah cubaan mereka untuk membantu. Puji usaha mereka. Perkara ini akan membantu mereka untuk lebih yakin diri apabila melakukan sesuatu kelak.
#6- Ajari Erti Tanggungjawab
Tanggungjawab bukan hanya untuk orang dewasa. Kanak-kanak juga sudah boleh diajar tentang tanggungjawab. Contohnya mereka perlu mengaku salah apabila melakukan kesalahan, jika ada kesilapan dengan rakan, mereka perlu belajar meminta maaf.
Jika ada tugas atau kerja rumah yang diberikan, biarkan mereka melakukannya sendiri. Pengawasan yang berlebihan akan membuatkan mereka merasa bahawa mereka tidak diberi kepercayaan yang sepenuhnya untuk menyelesaikan tugasan tersebut.
#7- Cipta Memori Yang Menggembirakan
Apa memori masa kecil yang paling anda ingati? Jika memori tersebut adalah memori yang menggembirakan, pasti ada masih boleh merasa manisnya. Memori beginilah yang akan mengukuhkan ikatan dengan anak-anak. Sekalipun mereka akan meningkat dewasa kelak, dan berjauhan dari keluarga, ingatan yang manis akan tetap mendekatkan.
#8- Kekalkan Tradisi Keluarga
Sesetengah keluarga mempunyai tradisi seperti makan malam bersama, sambutan hari keluarga, sambutan hari kelahiran dan sebagainya. Tradisi sebegini dapat mengukuhkan ikatan dengan ahli keluarga sekaligus meningkatkan rasa percaya. Keluarga akan menjadi tempat rujukan jika ada apa-apa masalah terjadi kelak, dan kepentingan institusi keluarga juga tidak akan diketepikan.
Kanak-kanak adalah aset kehidupan jangka masa panjang. Kanak-kanak yang membesar dengan sihat kelak akan menjadi insan yang mampu berfungsi dengan baik untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat keseluruhannya.
Sumber: Tazkirah.net