≡ Menu

5 Tips Mudah Menjadikan Percutian Suatu Ibadah Bersama Keluarga Anda

Memang seronok apabila dapat bercuti ke tempat yang kita ingini. Kerana masing-masing akan melupakan seketika tentang kerja atau tugas rutin yang dilakukan setiap hari.

Namun, tahukah anda bahawa percutian secara bersendirian atau bersama rakan-rakan tidak sesekali sama dengan percutian bersama keluarga?

Menurut ahli psikologi, Oliver James, melalui The Telegraph;

Percutian bersama keluarga dinilai sebagai suatu yang paling menyeronokkan. Malah, saat-saat bersama keluarga itu akan menjadi memori indah yang terpahat lama dalam ingatan.

Lalu, percutian yang bagaimanakah sebenarnya dituntut dalam islam? Bercuti bukan bererti sekadar bersuka-ria sahaja.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Anda juga boleh menjadikan percutian anda bersama keluarga suatu ibadah dan sekaligus beroleh ganjaran pahala dari Allah S.W.T.

#1 – Solat Berjemaah

Selalunya apabila tiba di destinasi percutian, masing-masing akan lebih tertumpu kepada makanan, tempat tidur atau ruang rehat.

Apakata, anda memanggil ahli keluarga anda dan memimpin mereka untuk solat berjemaah.

Mungkin salah seorang dari adik lelaki anda diangkat menjadi bilal dan seorang lagi melaungkan iqomah.

Mempraktikkan solat berjemaah dalam keluarga sangatlah dituntut kerana solat berjemaah itu besar pahalanya. Seperti sabda Rasulullah S.A.W;

“Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat.”
Riwayat Bukhari dan Muslim.

Seterusnya, sabda Nabi lagi yg bermaksud;

“Pulanglah kepada keluarga kalian, dirikanlah solat bersama mereka, ajarlah dan perintahkan mereka (untuk solat). Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat. Jika telah masuk waktu solat, hendaklah salah seorang kalian melaungkan azan dan yang paling tua menjadi imam.”
Riwayat Bukhari

Berjemaah itu rahmat, manakala berpecah itu azab. Alangkah bahagianya solat bersama yang tersayang di tempat yang tenang dan turut beroleh pahala dan rahmat dari Allah.

#2 – Tazkirah Ringkas

Daripada anda membuang masa ke hulu ke hilir meronda tanpa arah tuju, adalah lebih baik anda berkumpul bersama keluarga tidak kiralah di dalam rumah atau di tepi pantai sekalipun, berkongsilah sedikit ilmu bersama keluarga.

Bercerita dengan santai tentang kehidupan Nabi dan para sahabat, berbincang tentang isu semasa dan mungkin boleh juga selitkan tazkirah tentang alam akhirat atau berkaitan syurga neraka.

Situasi ini ibarat anda sekeluarga berada di dalam sebuah majlis ilmu. Majlis ilmu itu adalah taman syurga dunia. Sepertimana Rasulullah pernah bersabda maksudnya;

“Dan tidaklah sekelompok orang berkumpul di dalam rumah, mereka membaca kitab Allah dan saling belajar diantara mereka, kecuali rahmat Allah meliputi mereka, malaikat mengelilingi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka dikalangan para malaikat dihadapanNYA.”
Riwayat Muslim

#3 – Belanja Makan

Dalam ahli keluarga selain ibu bapa, anak lelaki atau menantu lelaki seharusnya berperanan mendahului dalam soal wang ringgit.

Elakkan daripada selesai makan, masing-masing saling menunding jari dan berpandangan antara satu sama lain untuk bangun dan pergi ke kaunter bayaran.

Perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku. Malah, dalam soal ini sepatutnya mereka berebut mahu belanja keluarga mereka kerana mereka tahu betapa besarnya pahala memberi makan kepada orang lain.

Ketahuilah setiap wang yang anda belanjakan kearah kebaikan akan digantikan semula oleh Allah. Bahkan Allah melipatgandakan sehingga 700 kali ganda daripada jumlah asal Nabi bersabda;

Setiap amal manusia akan diganjari kebaikan semisalnya sampai 700 kali lipat.
Riwayat Muslim

BACA:  Zakat Fitrah Orang Tidak Mampu

#4 – Mengeratkan Ikatan Silaturahim

Bercuti bersama keluarga juga merupakan salah satu cara untuk anda mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa, adik beradik dan ipar duai.

Bayangkan, anda dan keluarga tinggal di Kuala Lumpur manakala, adik beradik yang lain masing-masing berkeluarga dan semuanya tinggal di negeri yang berlainan.

Kadangkala, bertemu muka cuma satu tahun sekali iaitu ketika hari raya aidilfitri.

Nah! Ketika bercuti inilah waktunya anda mengambil peluang untuk beramah mesra dengan adik beradik sambil itu belajar mengenali ipar duai anda.

Sambunglah silaturahim itu dengan berlemah lembut, berkasih sayang, wajah yang berseri dan memuliakan mereka.

Menyambung silaturahim juga merupakan faktor yang dapat menjadi penyebab umur panjang serta murah rezeki sebagaimana dalam hadis Nabi S.A.W;

“Barang siapa yang ingin dipanjangkan dan dilapangkan rezekinya, maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim.”

#5 – Sabar Dengan Pelbagai Kerenah

Adalah perkara Sunnatullah, dalam hubungan kekeluargaan antara ibu bapa mertua, ipar duai dan adik beradik mengalami perselisihan faham dan berkecil hati.

Dalam hal ini, kesemua pihak memainkan peranan masing-masing. Jika ada sebarang perselisihan, usahlah dipanjangkan perkara tersebut.

Cubalah bersikap mengalah dan sekiranya ada terkasar bahasa maka segeralah memohon maaf kerana ia akan menjernihkan semula keadaan.

Belajarlah untuk bersabar dengan kerenah ahli keluarga anda walau kadangkala menyinggung perasaan anda.

Jauhilah sifat iri hati atau sifat berbangga diri. Ingatlah dalam Al-Quran, Allah ada berfirman yang bermaksud;

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”
Surah az Zumar :10

Sifat sabar itu tidak boleh dibuat-buat, ianya perlu datang dari hati yang sentiasa bersangka baik dengan Allah juga dengan manusia.

BACA:  Adakah Masih Disunatkan Akikah Pada Bayi Yang Meninggal Dunia?

Kesimpulannya, dalam apa jua perkara yang anda lakukan atau dimana sahaja anda berada Allah sentiasa memberi peluang untuk meraih ganjaran pahala dari sisi-Nya.

Yakinlah bahawa semua yang dicipta oleh Allah tiada yang sia-sia. Walau kebaikan sebesar zarah pun tetap dikira pahalanya. Renungilah sabda Rasulullah S.A.W;

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik kepada ahli keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku.”

Semoga tips percutian sambil beribadah ini memberi manfaat kepada para pembaca khususnya kepada anda yang bakal menikmati percutian bersama keluarga tersayang.

Kongsikan artikel ini kepada rakan-rakan atau keluarga anda supaya beroleh manfaat bersama, Insya Allah.

 

Sumber: tzkrh.com 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel