≡ Menu

5 Perbezaan Antara Remaja Dahulu Dan Kini

Jika hendak dibandingkan, antara remaja dahulu dan sekarang, manakah yang lebih baik? Remaja dahulu iaitu mereka yang hidup sekitar tahun 80-an, manakala remaja sekarang, iaitu mereka yang hidup sekitar tahun 2000 dan ke atas.

Apabila ada persoalan atau pertanyaan seperti itu dilontarkan kepada anda, bagaimana ingin menjawabnya? Jawabnya mudah, iaitu ia bergantung kepada diri remaja itu sendiri. Ini kerana segala perubahan yang berlaku ke atas setiap individu itu tidak sama dan berdasarkan beberapa faktor.

Sungguhpun begitu, bagi ‘orang-orang lama’ yang lebih dahulu makan garam dari kita mereka pasti mempunyai pandangan yang tersendiri dalam beberapa aspek.

Antara perbezaan ketara antara remaja dahulu dan sekarang ialah dari sudut berikut;

#1 – Akhlak Dan Keperibadian

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Jika diperhatikan, ada kebenarannya. Remaja dahulu diasuh dan dididik dengan sifat sopan santun yang sangat tinggi. Ini termasuklah dari sudut penggunaan bahasa yang keluar dari mulut mereka.

Hendak dibandingkan dengan remaja sekarang, penggunaan bahasa tidak dijaga dengan baik. Bahkan, ada yang berani mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang lebih tua dari mereka. Bercakap dengan mereka yang lebih berumur seperti rakan-rakan dan tiada sopan santunnya.

#2 – Percintaan

Percintaan antara dua insan di dalam Islam hakikatnya tiada, melainkan setelah bernikah kelak. Sungguhpun begitu, percintaan remaja dahulu biasanya menggunakan surat-menyurat, bahkan agak jarang untuk melihat mereka berpeleseran berdua-duaan di khalayak ramai.

Ini kerana sifat malu sangat menebal dalam kalangan remaja dahulu, terutama kaum wanitanya. Berbeza pada zaman sekarang, percintaan remaja kini semakin berleluasa dan seakan sengaja untuk dipertontonkan. Hal ini jelas kelihatan di merata tempat, termasuklah di pusat membeli-belah.

BACA:  Memang Merbahaya, Tapi Ada Sebab Kenapa Kita Tak Perlu Bunuh Lipan Dalam Rumah

Sifat malu bagaikan hilang pada diri apabila mereka dengan beraninya berpegangan tangan, bersentuhan, berpelukan dan melakukan hal yang tidak sewajarnya di khalayak ramai.

#3 – Gaya Hidup Dan Penampilan

Peredaran zaman amat mempengaruhi gaya hidup dan penampilan seseorang. Begitu juga bagi remaja dahulu dan sekarang. Umum mengenali remaja dahulu dengan penampilan yang sopan dan tidak menimbulkan fitnah.

Sebagai contoh, kaum wanitanya termasuklah anak remaja lebih gemar mengenakan kain batik, baju kurung atau baju kebaya sebagai pakaian harian mereka.

Berbeza remaja zaman sekarang, penampilan mereka lebih ke arah barat dan ia dianggap suatu trend. Bagi remaja perempuan pula, ada yang memilih pakaian seksi, berseluar pendek, skirt, bersinglet sebagai pakaian harian sehingga mengundang fitnah kepada kaum lelaki.

#4 – Pendidikan

Tidak dinafikan, era pendidikan zaman sekarang ternyata jauh lebih baik dan moden berbanding dahulu. Zaman sekarang, pelbagai kemudahan diberikan kepada para pelajar supaya sistem pendidikan lebih maju dan efektif.

Walaupun begitu, dengan adanya pelbagai kemudahan, kadang membuatkan para pelajar semakin malas untuk menimba ilmu. Segalanya hanya di hujung jari, hanya copy dan paste sahaja maklumat di internet, sudah dapat menyiapkan suatu tugasan.

Berbanding pelajar zaman dahulu, mereka lebih berasa kepayahan untuk menimba ilmu. Dengan keadaan yang serba kekurangan itulah mereka berusaha sedaya upaya, mengerah akal fikiran, memperbanyakkan bahan bacaan, dan ada yang perlu berjalan kaki atau menaiki basikal semata-mata untuk menyiapkan suatu tugasan.

#5 – Teknologi

Begitu juga dalam perkembangan teknologi. Saban hari, minggu, bulan, bahkan tahun pasti ada saja teknologi baru yang dipasarkan untuk kemudahan masyarakat kini. Penciptaan teknologi ini tidak lain adalah sebagai pemudah cara bagi manusia untuk menguruskan kehidupan.

BACA:  13 Fakta Kisah Umat Nabi Lut yang Tidak Didedahkan Pendukung LGBT

Jika dahulu, amat sukar untuk melihat remajanya obses pada gajet, bahkan memilikinya juga belum tentu. Zaman sekarang, bagi sesiapa yang tidak memiliki gajet pula dianggap kolot, bahkan ada yang turut disisihkan oleh rakan-rakan kerana tidak mengikut peredaran zaman.

Begitulah antara beberapa perbezaan yang ketara antara remaja dahulu dan sekarang. Sungguhpun begitu, segalanya bergantung kepada remaja itu sendiri dalam membawa hala tuju dan diri mereka.

Semakin moden zaman itu, maka semakin mencabarlah kehidupan yang dilalui. Justeru itu, peredaran zaman tersebut seharusnya diambil sebagai suatu peluang dan dimanfaatkan untuk tujuan kebaikan.

“Dunia ini hanya terdiri atas tiga hari, iaitu kelmarin, ia telah pergi bersama dengan semua yang menyertainya. Esok, engkau mungkin tidak akan menemuinya. Dan, hari ini itulah apa yang engkau miliki. Oleh itu, beramallah untuk bekalan di sana nanti.”

Kata Mutiara Hasan al-Basri

 

Sumber: tzkrh.com

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel