“Kalian pasti akan mengikuti jejak langkah orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak sekali pun, tentu kalian akan mengikuti mereka’’
Riwayat Muslim
Itu pesanan junjungan besar Rasulullah 1400 tahun dahulu. Andainya diperhati semakin ramai umat islam yang cenderung kepada kehidupan ala barat ini.
Kita sangat cepat mencontohi gaya hidup mereka. Sebagai contoh cara makan mereka, cara berpakaian mereka, cara bergaul mereka.
Hampir semua aspek kehidupan yang dahulunya dipelihara oleh Islam mula dipengaruhi oleh budaya barat ini. Antara budaya mereka yang kita semua lalui dan menganggapnya normal dalam kehidupan kita sekarang ialah;
#1- Muzik
Budaya barat banyak memaparkan pelbagai genre muzik yang kadangkala apabila diteliti liriknya boleh mengundang kesan negatif.
Sebagai contoh lagu despacito, muziknya menarik namun liriknya tidak sesuai. Tambahan lagi dengan video klip yang tidak sesuai untuk tontonan semua lapisan.
Lagu lagu mereka mula menjadi siulan anak- anak muda islam yang bakal menjadi pemimpin negara sehinggakan mengetepikan lagu genre nasyid yang bertemakan ketuhanan.
Banyak pasaraya atau kedai juga memperdengarkan muzik sehinggakan muzik ini kelihatan normal dalam hidup kita sebagai Islam ini.
#2- Merokok
Pandainya orang barat dalam mengelirukan umat Islam ini ialah dengan menyelitkan unsur merokok dalam kebanyakan filem yang menjadi tontonan semua.
Unsur yang ditonjolkan ini membuatkan budaya merokok kelihatan normal. Sehinggakan seorang ayah tanpa rasa bersalah boleh meminta tolong anaknya membeli rokok yang sudah habis.
Merokok ini seandainya dilihat daripada kesannya ianya akan memberi kemudaratan kepada perokok dan juga perokok pasif yang turut terkesan dengan asap yang terhasil daripada rokok.
Rokok akan membahayakan kesihatan dan mengakibatkan sakit jantung, strok apabila terlampau lama terdedah dengan asap rokok.
#3- Sukan
Orang barat sangat terkenal dengan sukan. Ada pelbagai jenis sukan yang dianjurkan seperti jogathon, triathlon, lumba kereta, lumba motor dan sebagainya.
Namun perasan kah kita di dalam sukan yang dibuat ada pelbagai unsur yang diketengahkan untuk membolehkan kita melihatnya sebagai perkara normal.
Antara perkara yang biasa ada dalam sukan dan dilihat biasa ialah pergaulan antara lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menutup aurat, malahan mereka juga menggunakan wanita sebagai tarikan untuk sesetengah sukan.
Apabila selalu ditonjolkan, ianya akan kelihatan tidak salah di mata kita dan hanya dibiarkan. Bersukan itu tidak salah namun lihatlah pada gayanya.
Islam membenarkan kita bersukan, malahan kita digalakkan untuk mempelajari dan mengajar anak kita berenang, memanah dan berkuda. Jadi, teruskan budaya bersukan ini namun perlu dilihat berkenaan dengan caranya.
“Lemparkanlah (panah) dan tungganglah (kuda)”
Riwayat al-Tirmizi
#4- Perempuan
Pengeksploitasi terhadap wanita di negara barat sebagai model untuk melariskan jualan telah meluas di Malaysia sehinggakan ramai peniaga mula mengambil artis, atlet untuk dijadikan model sesuatu produk.
Selain itu kaum wanita ini juga dijadikan pekerja untuk menarik perhatian pelanggan. Sepatutnya ada kesedaran dalam diri semua orang untuk mengangkat tinggi maruah sebagai seorang perempuan.
Ingat, 1400 tahun dahulu Rasulullah yang mulia ini telah mengangkat martabat orang perempuan. Rasulullah bangkit menyayangi anak perempuannya pada ketika orang lain menanam anak perempuan hidup hidup.
Wahai wanita, jagalah diri seeloknya. Jangan dibiarkan kita dieksploitasi untuk dikaut keuntungan orang lain.
#5- Fesyen
Setiap hari, ada sahaja fesyen baru yang timbul sehinggakan orang yang mengejar fesyen ini seakan tersungkur namun bangkit balik untuk meniru fesyen.
Fesyen ini boleh dilihat daripada pelbagai aspek seperti gaya rambut, gaya pakaian, gaya kosmetik, gaya percakapan, gaya jalan dan sebagainya.
Ambil contoh mudah, pernah timbul isu yang hangat iaitu tentang Qaza iaitu mencukur sebahagian rambut di kepala dan membiarkan sebahagian lagi bahagian rambut.
Fesyen ini terjadi dalam kalangan masyarakat malaysia apabila melihat ramai atlet kelab bola membuat fesyen sebegitu. Ianya Nampak cantik tetapi
“Bahwasanya nabi shallallahu alaihi wa sallam melihat seorang anak kecil yang sebagian rambutnya dicukur dan sebagian lainnya dibiarkan. Maka Rasulullah melarang orang tuanya seraya berkata: ‘Cukurlah semuanya atau biarkan semuanya’’
Riwayat Abu Daud
Jadi, mari sama-sama kita perhatikan setiap perkara yang dibuat oleh diri kita dan keluarga. Andainya sekarang kita melihat 5 perkara ini sebagai perkara normal dalam diri kita, marilah kita sama sama perbaiki diri untuk jadi orang yang lebih baik dan bermafaat kepada agama.
Perbaiki diri sementera peluang masih ada. Jangan sampai detik agama islam yang datang dengan asing akan kembali terasing dalam diri penganutnya.
Semoga kita mengambil ibrah dan sama sama berubah untuk menjadi baik.
Sumber: Tazkirah.net