Keluarga, Tazkirah

Kenapa Perlu Fasakh Suami yang Berzina?

Entry ini merupakan respon kepada persoalan bagi tajuk “Suami berzina: Apa yang perlu isteri lakukan?”

Semoga mendapat pencerahan.

Assalammuaalaikum ummuabbas, akak ingat, ummuabbas akan kata pada Mai “alhamdulillah tindakan mai itu tepat iaitu mengizinkan suami kahwin lagi.”Tapi rupanya lain jawapannya.. Abang akak berpoligami, adik akak dipoligamikan. Masing-masing menguruskan rumahtangga dengan cara sendiri.Maklumlah masalah berbeza tapi tak pernah terfikir pulak akak penyelesaian seperti ni.. emm dapat lagi ilmu baru. Kenapa penting untuk Mai menuntut fasakh dari membiarkan saja keadaan yang sedia ada?

Wa’alaykum salam ummuafiq,

Semoga Ummu Afiq sekeluarga sentiasa berada di bawah naungan rahmat dan ampunan Allah.

Berkenaan persoalan Ummu Afiq, untuk selain kes suami berzina, lain pula cara penyelesaiannya. Kes yang dikemukakan ini menunjukkan secara jelas suami melakukan dosa besar. Dalam keadaan dia mempunyai ‘kebun’ yang sudah dihalalkan dengan nama Allah, dia memilih cara yang haram untuk melepaskan nafsunya. Itulah asas yang kuat untuk memohon fasakh.

Saya percaya mana-mana isteri yang normal, memahami agama dan menjaga kehormatan dirinya akan tercabar dengan perilaku suami begini. Saya tidak tahu jika masih ada isteri yang sanggup melakukan hubungan intim dengan suaminya yang pernah ‘berkebun’ di tanah yang haram setelah mengetahuinya. Sedangkan di sisi Allah sahaja, nyawa suami yang berzina menjadi halal untuk dibunuh, maka apakah hak kita untuk melayani suami menjadi lebih besar dari hak-hak Allah? Secara peribadi, saya sebagai wanita akan merasa jijik. Jijik untuk membiarkan diri disentuh oleh suami yang tidak menjaga kesucian dirinya sebagai muslim.

Sekiranya dia bertaubat sekalipun, itu urusan dia dengan Allah. Dia sudah melampau batas-batas hukum Allah, maka biarlah dia selesaikan sendiri urusannya dengan Allah. Hukuman hudud itu sendiri adalah satu mekasnime menghapus dosa besar tersebut. Selain mencegah masyarakat dari melakukan perkara jijik yang sama.

BACA:  Wanita Boleh Menjadi Lembut Dan Boleh Berubah Menjadi Keras

Biarlah suami tersebut malu di dunia dan merasa azab direjam, asalkan di akhirat kelak dia mampu menuju Allah dalam keadaan dosanya telah diampunkan. Azab di akhirat berganda-ganda dibandingkan sedikit balasan di dunia. Apa pilihan kita?

Andaikata hudud dijalankan, suami tersebut akan mati juga. Usahkan untuk mengamalkan poligami, perkahwinan sedia ada pun akan termansukh sebaik sahaja hukuman rejam dilaksanakan. Itulah asas saya menyarankan agar permohonan fasakh dibuat dalam keadaan negara tidak melaksanakan hukum hudud.

Setelah permohonan fasakh diluluskan, urusan bekas suami untuk berkahwin atau tidak dengan teman berzinanya itu bukan lagi perkara yang perlu difikirkan. Kalau dia berkahwin pun, dia memang mendapat calon yang paling sesuai dengannya.

Buktikan kita membesarkan hak-hak Allah dengan cara yang kita mampu. Beritahu suami pendirian kita dalam hal ini.

Inilah antara maksud kita mengasihi suami semata-mata kerana Allah. Kita bertegas dalam perkara yang menyentuh hak-hak Allah dan berlembut selagi suami tidak mengarahkan kita melakukan perkara yang dimurkai Allah.

Allah sendiri menegaskan dalam surah An-Nur ayat 3,

” Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak akan berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak akan berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman. ”

Allah menegaskan bahawa calon yang layak untuk mereka yang berzina sama ada lelaki atau wanita adalah calon yang pernah berzina juga atau orang musyrik. Inilah hukuman Allah untuk mereka di dunia atas perbuatan yang mereka sendiri usahakan. Peribadi yang bersih dan menjaga maruah dirinya hendaklah mengelak diri dari menerima calon penzina sebagai pasangan hidupnya. Ayat ini menceritakan tentang penzina yang belum pernah berkahwin.

BACA:  Nak Mudah Bersalin? Apa Kata Amalkan Makanan Sunnah Ini

Kembali kepada keadaan negara yang tidak menunaikan perintah Allah agar melaksanakan undang-undang hudud, maka adalah wajar sekali isteri yang suci memohon fasakh daripada suami yang ‘confirm’ berzina. Suami itu sudah jatuh fasik. Golongan fasik terhalang lagi dari beberapa hak yang besar seperti menjadi wali bagi anak perempuannya, tidak boleh menjadi saksi dan lain-lain. Bagi sesetengah topik , mungkin ada khilaf pendapat dalam menerima atau menolak muamalah golongan fasik. Itu adalah kes fasik disebabkan kesalahan yang tidak perlu dihukum bunuh.

Saya berharap Ummu Afiq dapat memahami huraian di atas. Ia adalah pengulangan dan sedikit penambahan keterangan kepada isi entry sebelum ini.

Hanya Allah yang maha mengetahui.

 

Sumber: sayangislam.com

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *