≡ Menu

Berbaktilah Kepada Orang Tua Walau Dengan Sekecil Kebaikan

Berbaktilah Kepada Orang Tua Walau Dengan Sekecil Kebaikan

Apabila ditanya, apa yang anda ingin lakukan kepada ibu bapa sebagai tanda syukur dan menghargai mereka, rata-rata akan memberi jawapan ingin memberi kemewahan, ingin mengajaknya bercuti dan menunaikan haji suatu hari nanti serta memberinya wang setiap bulan.

Ia merupakan amalan yang besar pahalanya di sisi Allah kerana berbakti kepada orang tua merupakan kebaikan yang digalakkan untuk dilakukan.

Ada yang sanggup bekerja siang malam untuk memberikan kemewahan kepada mereka. Kalau dilihat kisah-kisah inspirasi yang dikongsikan di laman-laman sosial, ramai yang turut terinspirasi untuk melakukan perkara yang sama atau lebih baik lagi.

Namun, mungkin ada antara kita yang lupa, berbuat baik kepada ibu bapa itu bukan sekadar mengirimkannya wang ringgit setiap bulan atau update di media sosial sebagai pembuktian kasih sayang kepadanya, namun ada perkara yang lebih kecil daripada itu untuk dilakukan namun besar pahalanya di sisi Allah.

Mendoakan ibu bapa setiap kali selepas solat merupakan kiriman yang paling bermakna kepada mereka. Doa seorang anak yang soleh itulah yang lebih utama.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Kadang, kita berpenat-lelah mengumpul rezeki sehingga jarang sekali pulang menjenguk ibu bapa di kampung. Dengan mendoakan mereka, ia boleh menjadi sebagai salah satu cara untuk menggantikan amalan kepada mereka.

Doa itu bukan sahaja untuk kebahagian dan kesejahteraan mereka di dunia, namun mendoakan agar Allah mengampunkan dosa-dosa mereka dan sentiasa menyayangi mereka. Pendek kata, berdoalah dengan doa apa pun yang sesuai untuk mereka kerana setiap doa dari anak yang soleh itu sentiasa mengalir kepadanya, InsyaAllah.

Walau sekecil-kecil kebaikan kepada orang tua, lakukanlah dan jangan bertangguh. Jangan tunggu kaya untuk berbuat baik tapi buatlah amal dan berbaktilah kepada mereka untuk kaya di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.

Yang paling penting ialah setiap perkara yang dilakukan itu memberi kebahagiaan kepada mereka dan diredai.

Walaupun ibu bapa anda telah meninggal dunia, namun itu tidak menghalang anda untuk berbuat baik dan terus berbakti kepada mereka.

Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis sahih;

Maksud: “Dari Abu Usaid Malik bin Rai’ah As-Sa’idi berkata: “Suatu saat kami pernah berada di sisi Rasulullah SAW. Ketika itu, ada seorang dari Bani Salimah, ia berkata: “Wahai Rasulullah, apakah masih ada bentuk berbakti kepada kedua orang tuaku ketika mereka telah meninggal dunia?” Nabi SAW menjawab: “Ya, masih ada perkara yang boleh dilakukan, iaitu – mendoakan keduanya, meminta ampun untuk keduanya, memenuhi janji mereka setelah meninggal dunia, menjalin hubungan silaturahim dengan keluarga kedua orang tua dan memuliakan teman rapatnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 5142)

Kebaikan itu boleh datang dalam pelbagai bentuk. Berbakti kepada ibu bapa tiada had masa. Sama ada anda miskin atau kaya dan sama ada orang tua anda masih hidup atau sudah dijemput Ilahi.

Allah Maha Mengetahui setiap apa yang kita lakukan. Semoga dengan sekecil-kecil kebaikan itu mampu memberikan ganjaran pahala yang besar di sisiNya.

Wallahu a’alam.

Sumber: Rumaysho.com via tzkrh.com 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel