≡ Menu

Tunaikan Syukur Dengan Hati, Lisan Dan Anggota Badan

Tunaikan Syukur Dengan Hati, Lisan Dan Anggota Badan

Apabila menyebut tentang syukur, ramai yang akan memahaminya sebagai satu ucapan pujian ke atas Allah SWT atas segala kebaikanNya. Allah telah memberikan segala macam keperluan hidup yang membuatkan kita masih mampu berdiri hari ini, masih mampu bekerja dan berusaha, masih mampu makan dan minum, masih mampu mendapatkan tidur yang lena pada waktu malam dan sebagainya.

Seperti mana kata Imam Asy-Syaukani rahimahullah, “Bersyukur kepada Allah adalah memujiNya sebagai balasan atas nikmat yang diberikan…”. Namun, perbuatan syukur tidak terhenti setakat memuji dengan lisan. Beliau menambah kata-katanya dengan menegaskan bahawa seseorang itu perlu “…melakukan ketaatan padaNya” (Fath Al-Qadir, 4/312). Barulah ia menjadi sebuah perbuatan syukur yang lengkap.

Manakala Ibnu Taimiyah rahimahullah mengatakan bahawa,

الشُّكْرُ يَكُوْنُ بِالقَلْبِ وَاللِّسَانُ وَالجَوَارِحُ وَالحَمْدُ لاَ يَكُوْنُ إِلاَّ بِاللِّسَانِ
“Syukur haruslah dijalani dengan hati, lisan, dan anggota badan. Adapun al-hamdu hanyalah di lisan.” (Majmu’ah Al-Fatawa, 11:135)

Maka fahamlah kita bahawa ucapan Alhamdulillah yang bermaksud ‘segala puji bagi Allah’ yang biasa diucapkan adalah merangkumi perbuatan lisan sahaja. Jika ia benar-benar dijiwai barulah ia menjadi perbuatan syukur dengan hati.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Kerana itu, jika kita lihat ada sesetengah orang yang susah, apabila mendapat pertolongan maka mereka mengucapkan Alhamudulillah dan benar-benar merasa syukur sehingga menitiskan air mata. Kadang kala, mereka mendoakan pula kebaikan buat orang yang memberi. Besar kemungkinan kerana terharu dan merasakan Allah begitu baik dan mengirimkan bantuan kepada mereka melalui insan-insan yang baik hati juga.

BACA:  9 Amalan Hindar Sihir Dan Gangguan Syaitan

Imam Al Munawi juga ada menyebutkan bahawa syukur mempunyai dua peringkat. Pertama, bersyukur dengan lisan iaitu memuji pihak yang memberikan nikmat. Manakala peringkat kedua adalah bersyukur dengan semua anggota badan iaitu dengan membalas nikmat dengan setimpal (Mausu’ah Nadhrah An-Na’im, 6/2393).

Dalam hal ini, kita perlu membalas nikmat yang telah diberikan oleh Allah dengan melakukan ketaatan kepadaNya serta kebaikan kepada manusia lain yang memerlukan.

Justeru perbuatan syukur dapat membuahkan manfaat yang lebih besar.

Apabila kita bersyukur, kita menjadi seorang yang merasa cukup dan tidak mudah mengeluh.

Apabila kita bersyukur, kita menjadi seorang yang tenang.

Apabila kita bersyukur, kita menjadi seorang yang ringan tulang dan mudah membantu orang lain.

Masakan tidak, jika ditimpa masalah, kita akan melihat bahawa ia adalah ujian untuk menguatkan lagi diri dan mengajar sifat sabar. Kita akan melihat bahawa mungkin ada orang lain yang lebih besar ujiannya. Lantas, dari situ kita menjadi seorang yang sabar, syukur dan tenang.

 

Sumber: tzkrh.com

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel