Dikhabarkan bahawa telah tersebar mesej-mesej di whatsapp bahawa orang yang mengerjakan ibadah korban pada hari raya haji haram/tak boleh baginya untuk memotong kuku dan menggunting rambut.
Saya tidaklah mengatakan ianya salah 100 % kerana ia juga pandangan sebahagian Imam, namun tidak juga saya katakan betul secara mutlak seakan-akan tiada pandangan lain dalam bab ini. Tidak wajar bagi kita untuk menyatakannya seolah-olah ianya ijmak para ulama’ dan wajib keatas semua manusia.
Secara ringkasnya para ulama’ berbeza pandangan dalam isu ini. Bukan semua yang berpandangan haram potong kuku dan menggunting rambut. Berikut sedikit perkongsian mengenai perbezaan pendapat ini:
Kata Imam An-Nawawi (wafat 676 Hijrah) dalam syarahan hadith
فلا يمس من شعره وبشره شيئا
Para Ulama’ berbeza pendapat bagi mereka yang ingin berkorban apabila telah masuknya bulan Zulhijjah. Berkata (Imam) Sa’id bin Musayyib, Rabi’ah, Ahmad, Ishaq, Daud dan sebahagian ashab As-Syafie bahawa sesungguhnya haram keatasnya (sohibul kurban/orang yang berkorban) mencabut sesuatu daripada rambut dan kukunya sehinggalah waktu haiwan itu disembelih.
Berkata Imam As-Syafie dan ashabnya (ulama’ dalam mazhab As-Syafie):
Ianya makruh karahah tanzih* dan bukanlah haram.
Berkata Imam Abu Hanifah: “Ia tidak dimakruhkan.”
Berkata Imam Malik dalam satu riwayat: “Ia tidak makruh.” Dalam riwayat lain: “Makruh”. Dalam riwayat lain beliau menyebut: “Ianya diharamkan bagi korban yang sunat, bukan korban yang wajib.”
[Syarh An-Nawawi ‘ala Muslim 6/472]
* Pembahagian makruh tanzih secara asasnya datang daripada Mazhab Hanafi. Majoriti ulama’ tidak membahagikan makruh kepada tanzih atau tahrim. Makruh tanzih ertinya perkara yang dituntut untuk ditinggalkan namun dengan arahan yang tidak tegas. Tidaklah sampai ke tahap haram.
Makruh tahrim pula lebih mendekati haram. Dalam hal ini, saya tidak mengetahui bagaimana makruh tanzih digunakan oleh mazhab Syafie sedangkan mereka tidak membahagi-bahagikan makruh itu kepada beberapa bahagian. Mungkin ada, saya tidak tahu. Untuk bahasan lanjut berkaitan pembahagian ini carilah di kitab-kitab Usul Fiqh.
Kesimpulannya, bagi orang yang berpendapat haram potong kuku dan rambut, maka dia mengikut pandangan Imam-imam yang mengharamkannya. Bagi Mazhab As-Syafie ianya hanya makruh, tidaklah sampai tahap haram. Sesiapa yang berpandangan ianya tidak mengapa, maka ia daripada pandangan Imam Abu Hanifah.
Jika anda berpandangan ianya haram, anda tidak boleh menyalahkan atau merendah-rendahkan orang lain yang berpandangan potong kuku dan rambut disaat itu tidak haram kerana ada Imam dan ulama’ yang berpendapat sedemikian.
Jangan anda berkata seolah-olah dalam perkara ini (bahkan dalam masalah fiqh apapun) ianya ijma para ulama’, seluruh ulama’ sepakat ianya haram. Dan jangan juga anda cuba-cuba mengeluarkan hukum fiqh hanya dengan membaca satu dua hadith berkaitan tanpa merujuk perbahasan fiqh atau syarahan berkaitan hadith tersebut.
Belajar hadith itu sangat bagus, tapi jika kita tidak memahaminya dengan perbahasan fiqh dan usul, kefahaman kita akan banyak tersalah dan tersasar. Belajarlah kedua-duanya, nescaya manfaat yang akan kita perolehi lebih banyak dan baik, insyaAllah.
Dan milik Allah jualah segala perbendaharaan ilmu itu. Kita hanyalah hambaNya yan tiada apa-apa.
Wallahua’lam.
Selamat Hari Raya ‘Eid Al-Adha.
Sumber: WADI