≡ Menu

Surah Al-‘Asr: Memanfaatkan Setiap Saat Dalam Hidup

Surah al-‘Asr adalah antara surah yang terpendek di dalam al-Quran. Surah ini mengandungi 3 ayat yang membentangkan kepada kita tentang cara-cara untuk berjaya dalam kehidupan dan menuju ke syurga-Nya. Imam al-Shafi‘e berkata tentang surah ini, “Seandainya manusia merenungi surah ini, nescaya surah ini telah mencukupkan mereka.”

Dalam surah ini, Allah telah bersumpah atas nama masa. Apabila Allah telah bersumpah dengan makhluk, ini menunjukkan tentang kepentingan makhluk tersebut dalam kehidupan manusia. Diri manusia itu sendiri adalah seperti rangkaian hari, dan apabila satu hari berlalu, maka berakhirlah satu bahagian daripada dirinya.

Masa adalah perkara yang selalu disesali oleh manusia. Ada orang yang ingin memutar kembali masa untuk menebus semula kesilapan yang dilakukannya. Ada orang yang ingin memutar masa lalu untuk kembali mendapat nikmat kesihatan. Ada orang yang ingin memutar masa untuk kembali memanfaatkan masa bersama-sama insan yang disayanginya. Ada yang ingin memutar masa kembali ke zaman kanak-kanak yang penuh kegembiraan dan ketelusan.

Malah dengan sebab masa, orang yang telah meninggal dunia memohon hidup semula untuk beramal, orang kafir memohon hidup semula untuk kembali beriman. Demikianlah betapa berharganya makhluk bernama masa, yang Allah s.w.t bersumpah dengannya.

Kerugian

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Allah s.w.t memberi penegasan tentang kerugian manusia apabila berinteraksi dengan masa. Manusia yang mempunyai sifat “nisyan” (lupa) dan “ghaflah” (lalai) selalu mencuaikan disiplinnya terhadap masa. Manusia selalu gagal memanfaatkan masa dengan sepenuhnya. Penegasan Allah di awal ayat dengan perkataan “sesungguhnya” menjelaskan bahawa kebanyakan manusia itu rugi dalam memanfaatkan masanya dengan kebaikan.

BACA:  Ilmu Allah maha luas, tidak terjangkau batasan akal

Kerugian yang pertama adalah kerugian mutlak di dunia dan akhirat untuk golongan yang kufur dan putus dari rahmat Allah s.w.t. Golongan ini kehilangan hakikat nikmat iaitu syurga dan diancam dengan balasan api neraka. Kerugian kedua adalah yang bukan mutlak. Kerugian ini menimpa seseorang pada sesetengah perkara yang dilalaikannya. Dan golongan ini sentiasa mempunyai peluang untuk memperbaiki diri dan keadaan menjadi lebih baik.

Masa seperti modal dalam sebuah perniagaan untuk mendapat keuntungan. Masa dan medium, perniagaannya adalah amal soleh dan keuntungannya adalah syurga yang dijanjikan Allah. Tiada modal dan pengurusan modal yang terbaik maka perniagaan tidak boleh dijalankan dan akhirnya tidak memperolehi keuntungan yang diharapkan.

Iman dan keyakinan

Iman itu adalah hubungan manusia yang serba lemah dan terbatas ini dengan Allah sebagai sumber mutlak yang azali dan abadi.

Hubungan ini selaun memberi kita kekuatan, dorongan dan motivasi, ia juga memberi makna kebahagiaan yang hakiki dalam hidup insan. Iman sebagai sumber kebahagiaan yang sejati, kegembiraan yang sebenar dan penghargaan terhadap kehidupan dunia sebagai tempat bercucuk tanam untuk ganjaran akhirat.

Iman akan menghasilkan ibadah sebagai bentuk penyembahan mutlak kepada Allah tanpa selain-Nya. Iman akan menjadikan manusia tidak merendahkan kepala dan hatinya selain daripada Dia Yang Maha Tinggi. Keyakinan dari keimanan ini akan memberi nilai kepada manusia untuk sentiasa merenungi diri dan memacu tindakannya dengan sikap malu dan memelihara kemuliaan yang telah dianugerahkan Allah kepadanya.

Amal soleh

Apabila iman telah wujud sebagai akar penggerak dalaman yang utama maka amal soleh merupakan buah-buahan ranum yang kelihatan dari pohon keimanan itu. Tidak dinamakan seseorang itu Mukmin sekiranya dia tidak berusaha untuk merelisasikan kewujudan amal soleh. Tidak mungkin keimanan yang wujud dalam diri seseorang itu kaku dan tidak bergerak, selamanya beku dan tidak mencair.
Iman adalah dorongan yang baik dan suci, positif dan yang paling penting merangsang tindakan yang bertujuan. Ia mengarah kepada Allah dan sesuai dengan manhaj-Nya. Umar bin Abdul ‘Aziz menyebutkan, “Siang dan malam bekerja untukmu, maka bekerjalah pada keduanya. Keduanya juga mengambil (umur) daripadamu, maka ambillah (manfaat) dari keduanya.”

Amal kebaikan yang dimanfaatkan akan diwarisi dari generasi ke generasi. Setiap kali amal kebaikan itu muncul dalam kehidupan manusia, baik secara zahir, sosial, spiritual dan meliputi pelbagai bidang dan terus memberi kesan berpanjangan maka semakin besar pahalanya di sisi Allah.

Demikianlah Rasulullah s.a.w yang telah mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliyah kepada cahaya Islam. Baginda telah mengubah wajah sejarah keseluruhannya. Selama 23 tahun baginda telah membina tamadun, membentuk bangsa ideal dan mendirikan negara contoh universal. Semuanya diselesaikan oleh baginda dalam tempoh tersebut, meskipun pelbagai rintangan besar yang menghadang jalan dakwah baginda s.a.w.

Rasulullah s.a.w begitu memahami akan nilai masa. Begitulah Allah s.w.t bersumpah dengan umur baginda yang penuh berharga. Allah berfirman, “Demi umurmu (Muhammad), sesungguhnya mereka terumbang-ambing dalam kemabukan (kesesatan).” (al-Hijr: 72)

Saling menasihati dengan kebenaran dan kesabaran

Perkataan “saling” itu menghilangkan kepentingan individu. Ia menunjukkan kesatuan dan silaturrahmi sesama Muslim yang menjadi syarat kesempurnaan iman. Saling menasihati menjadi peringatan, motivasi dan benteng bagi seorang Mukmin. Kebenaran akan tertegak selagi mana setiap Mukmin berperanan untuk saling menasihati, saling membantu, saling menanggung dan saling menjamin.

Melalui iman dan amal soleh, seorang Muslim telah menyempurnakan diri sendiri, tetapi saling menasihati akan menyempurnakan orang lain. Nasihat atas nama kebenaran melalui pendalilan secara naqal dan ditegaskan dengan akal yang sihat, sesuai dengan realiti dan selaras dengan fitrah, akan menjadikan kebenaran dapat ditegakkan sehingga dapat dirasai oleh seluruh manusia.
Dunia telah menjadi medan uji buat manusia.

Pertarungan di antara kebenaran dan kebatilan sentiasa terjadi. Nasihat atas nama kesabaran adalah penting untuk melewati ujian dan memenangkan perjuangan. Di sinilah perlunya sikap saling menasihati atas nama kesabaran dalam mengalahkan hawa nafsu dan kesabaran merupakan benteng paling ampuh dalam menyingkirkan rintangan, memaksimakan kemampuan untuk mencapai tujuan.

BACA:  Dengan Bersyukur, Maka Allah Akan Tambah Nikmat Kamu

Kayu ukurnya bukan sekadar pada penggunaan masa, tetapi bagaimana kita melaburkan masa selepas ketiadaan kita. Ibnu ‘Atha’illah al-Sakandari dalam al-Hikam menyebutkan, “Berapa banyak umur yang meluas jangkauannya meski sedikit bilangannya. Berapa banyak pula umur yang begitu sempit jangkauannya meski banyak bilangannya. Barangsiapa mendapat berkat dalam umurnya, dalam waktu yang singkat ia akan memperoleh banyak anugerah yang tidak cukup terungkap dengan kata-kata.”

 

Sumber: tanwir.my 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel