≡ Menu

Solat Jadikan Amanda Tenang

Amanda Gormley

Di suatu pagi sebelum matahari menampakkan cahaya yang warnanya keperak-perakkan itu, Amanda Gormley berdiri di ruang tamu rumahnya. Pagi itu, untuk pertama kalinya, perempuan muda ini melaksanakan solat seperti yang dilakukan oleh seluruh kaum Muslimin.

Beliau berkongsi kisah, sejujurnya pertama kali mencuba sendiri solat itu, Amanda canggung kerana tidak tahu bagaimana hendak solat dengan betul terutama dalam aspek bacaan.

Lalu cara penyelesaiannya Amanda menggunakan bantuan kad flash mengenai cara-cara bersolat dan bacaannya.

“Saya berdiri ke arah yang saya yakin adalah arah kiblat ke kota Mekah. Lalu saya meletakkan tangan kanan di dada. Sedangkan tangan kiri memegang kad yang mengandungi petunjuk solat dan surah al-Fatihah itu,” ujarnya menceritakan pengalaman pertamanya bersolat.

Suku-suku kata (bahasa Arab) dirasakan begitu asing dan aneh menyekat saluran tenggorok Amanda. namun seperti tangisan yang tertahan, beliau tetap berjuang untuk mengucapkan bunyi dari suku-suku kata yang asing itu.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

“Tetapi, sejurus mengucapkan bacaan dalam solat itu, saya dapat merasakan seluruh roh saya memasuki sebuah dunia yang ada di luar indera saya, menembusi dimensi ruang dan waktu, dimana tubuh membebaskan jiwa.

“Saya merasakan ketenangan, sebuah pengampunan dan kasih sayang yang begitu menyelubungi diri,” katanya.

Dengan cahaya pagi pertama yang masih lembut sinarannya, Amanda rukuk lalu bersujud di lantai sambil menangis dan mengucap Subhana rabbial a’la (Maha Suci Allah Yang Maha Tinggi).

“Saya dapat merasakan juga benda dari sekecil-kecil dan sehalus atom juga turut ikut memuji Allah.

BACA:  Solat ubat gejala sosial

“Kerusi, permaidani tempat saya solat malah bayang-bayang saya sendiri pun seperti berzikir, ‘segala puji bagi Allah’. Matahari dan cahayanya ikut berdoa bersama saya” ungkap Amanda.

Saat itu membuatkannya merasa seperti orang yang sangat tidak sempurna, kerdil dan punya banyak kelemahan. Namun pada saat yang sama juga, Amanda merasa dirinya diterima, diampuni, dicintai dan dikasihi.

Perasaan yang membuatnya percaya bahawa Allah Maha Pencipta tahu apa yang ada dalam dirinya dan melindunginya.

“Pada saat itulah saya menyatakan komitmen hidup saya kini adalah untuk Dia Sang Pencipta,” jelasnya.

Solat menjadi permulaan perubahan besar dalam diri perempuan muda yang menetap di Syracuse, New York ini.

Syracuse, New York, tempat tinggalnya Amanda.

Setelah mencuba solat, Amanda cuba berpuasa di bulan Ramadan dan membaca satu atau dua halaman kitab suci al-Quran setiap kali waktu yang terluang.

Lalu semua ini membuatkan Amanda merasakan ada perubahan dalam caranya memandang kehidupan dunia.

Kicauan burung turut membuat beliau bersyukur kepada Allah akan kurnia deria pendengaran ini. “Melihat kuda menggoyang-goyangkan kepalanya turut membuat hati saya bersenandung memuji Dia yang menciptakan makhluk yang sungguh indah itu,” tambahnya.

Hari demi hari, hati Amanda makin tertaut kepada Islam, komitmennya dalam memeluk Islam itu semakin dalam.

“Seperti pancaran rasa ingin tahu di mata anak-anak saat menemukan sesuatu yang baru, mengingatkan saya akan kurnia ilmu pengetahuan dan membuat saya sangat ingin memahami ajaran Islam,” tutur anak gadis ini.

Beliau solat lima waktu setiap hari, menghafal surah-surah al-Quran dan sering berkunjung ke masjid berhampiran.

Amanda (kiri) solat lima waktu setiap hari.

Meskipun demikian, Amanda sempat dilanda kegelisahan. Beliau bingung untuk mendefinisikan dirinya dalam kategori muslim yang mana sama ada konservatif, sufi, atau muslim moden abad ini?

BACA:  Kami tak jual Coke di sini

Kegelisahan itu membuatkan Amanda berhati-hati untuk berjalan di antara laluan sikap yang skeptis dan spiritualnya.

“Saya berusaha untuk berfikir secara objektif terhadap apa pun yang saya pelajari. Saya berusaha menghindari kelakuan yang hanya didorong oleh keinginan untuk merasa sesuai dan padan dengan kehendak diri saya sahaja.

“Tetapi berusaha untuk mengikuti jalan yang memang benar untuk saya lalui,” ujarnya lagi.

Sehinggalah pada suatu hari, setelah balik daripada kerja, Amanda menuju ke masjid untuk berehat sambil ingin merasakan ketenangan. Setibanya di masjid itu, beliau yang hanya berseluar jean, berkemeja lengan panjang, tanpa menutup kepalanya, Amanda berniat untuk melaksanakan solat.

Tiba-tiba ada seorang lelaki yang kelihatannya tidak senang dengan kehadiran Amanda itu lalu menegurnya dengan suara yang agak keras.

“Apa perlunya kamu ke masjid ini,” tanya lelaki itu.

“Saya di sini untuk solat,” jawab Amanda tegas.

Lelaki itu berkata lagi, “Bagaimana kamu hendak bersolat dalam keadaan yang seperti ini? Mana tudung kamu?”

Pertanyaan itu membuatkan Amanda terkesima.

“Haruskah melayani orang ini. Tidak bolehkah dia mengeluarkan kata-kata yang memberikan saya semangat dan motivasi,” fikirnya.

Ekspresi Ketakwaan

Lalu Amanda menuju ke tempat solat wanita, mengambil sepasang telekung, lalu beliau pun bersolat.

Amanda kemudiannya berdoa kepada Allah agar menolongnya, agar ia diberi kesabaran dan petunjuk. Beliau berdoa minta ditunjukkan cara jika beliau akan berhadapan dan bertemu lelaki itu lagi.

Beliau kemudiannya memutuskan untuk lebih melibatkan dirinya dengan komuniti Muslim.

Amanda ingin tahu bagaimana orang lain melihat siapa dirinya, berharap akan bertemu beberapa orang yang akan menerimanya sebagai seorang yang merdeka, menerimanya sebagai seorang perempuan Barat sekali gus seorang muslimah.
“Saya mengucap dua kalimah syahadat setelah melalui satu perjalanan spiritual yang panjang. Jalan yang membawa saya kepada Islam. Untuk saya menerima agama ini dan menghormati ajarannya,” kata Amanda.
“Saya ingin menunjukkan pada semua orang bahwa saya tidak memerlukan seorang lelaki yang menyuruh saya memakai tudung hanya kerana itu yang biasa dilakukan dalam budaya bangsanya,” kata Amanda.

BACA:  Wujudkah Malam Tujuh Likur?

Lalu Amanda menghubungi pihak masjid dan menyatakan ingin menjadi sukarelawan.

Pihak masjid tidak menolak permintaannya itu yang menyaksikan secara rutin beliau datang hampir setiap hari terutama pada hari Jumaat dan beliau ramah memperkenalkan dirinya pada setiap orang yang hadir ke masjid itu.

Tanpa diduga Amanda bertemu dengan ramai muslimah yang juga seperti dirinya; berdikari, penuh semangat dan kadang kala begitu humor. Di antara mereka merupakan ahli akademik, pelajar, pemimpin dan aktivis masyarakat.

Namun seperkara yang menarik perhatian Amanda, kesemua kenalan wanitanya itu memakai tudung dalam pelbagai gaya dan fesyen yang menutup aurat.

Akhirnya, Amanda menyedari bahawa tudung atau purdah bukan sebuah tradisi atau budaya sesuatu bangsa, tapi ekspresi ketakwaan seorang muslimah.

“Saya sudah faham bahawa bertudung itu adalah tuntutan dalam Islam. Dan saya memutuskan untuk memakainya sebagai identiti diri saya. Saya inginkan sesuatu seperti tudung itu sebagai yang mengingatkan saya akan siapa diri saya kini,” ungkapnya penuh makna.

Utusan

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel