Nabi Musa A.S adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah SWT. Setiap kali hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Nukit Tursina.
Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah SWT. Nabi Musa A.S sering bertanya dan Allah SWT akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi.nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa A.S telah bertanya kepada Allah SWT;
“Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku ?”
Allah SWT pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa A.S turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu.
Setelah beberapa hari perjalanan, akhirnya sampai juga Nabi Musa A.S ke tempat berkenaan. Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut.
Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa A.S
Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar.
Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa A.S terkejut melihatnya. Nabi Musa A.S berbisik di dalam hatinya penuh kehairanan;
“Apa hal ini ?”
Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sehingga kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik.
Tidak lama kemudian, dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan.
Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta dicium dengan penuh kasih saying. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik. Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa A.S. Nabi Musa A.S bertanya;
“Wahai saudara, apa agama kamu ?”
Pemuda itu menjawab
“Aku agama Tauhid”
Nabi Musa berkata tegas;
“Habis, mengapa kamu membela babi? kita tidak boleh berbuat begitu”
Pemuda itu berkata;
“Wahai tuan hamba, sebenarnya kedua babi itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah SWT telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah SWT itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah SWT. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Setiap hari aku akan berbakti kepada kedua ibu bapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku”
Beliau berkata lagi;
“Setiap hari aku berdoa kepada Allah SWT agar mereka diampunkan. Aku bermohon suapaya Allah SWI menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah SWT masih belum memakbulkan lagi”
Maka ketika itu juga Allah SWT menurunkan wahyu kepada Nabi Musa A.S;
“Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti. Hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibu bapanya. Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami”
Allah SWT juga berfirman lagi yang bermaksud;
“Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu bapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam Syurga”
Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga.
Begitu hebat pemuda itu, walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekalipun perangai kedua ibu bapa kita, itu bukan urusan kita. Urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kita kecil hingga dewasa.
Walau banyak mana sekalipun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita. Urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah SWT supaya kedua ibu bapa kita diampuni Allah SWT.
Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat. Inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibu bapa yang berada di alam kubur.
Bersama kita kongsikan kisah ini agar memberi manfat dan peringatan kita bersama.
Sumber: Tazkirah.net