≡ Menu

Sabar dan taqwa kunci hadapi dengki dan iri hati

Sungguh kita ketahui bahawa manusia hidup bermacam-macam karenah dan ragam. Kesemuanya tidak sempurna untuk melengkapi keperluan hidup masing-masing. Ada yang tidak berpuas hati terhadap kejayaan orang lain, dan ada pula yang cemburu buta terhadap kesenangan yang dilalui individu lain. Maka, wujudlah perasaan dengki dan iri hati dalam setiap diri manusia itu.

Iri hati bermaksud perasaan tidak puas hati terhadap diri sendiri kerana melihat kesenangan orang lain. Hasad dengki pula diertikan sebagai suatu sikap tidak senang diatas kesenangan, kenikmatan atau kelebihan yang terdapat dalam diri orang lain.

Firman Allah s.w.t dalam surah An-Nisa’ ayat 54 bermaksud, “Adakah patut mereka dengki kepada manusia atas nikmat yang Allah s.w.t berikan kepada mereka daripada kurnia-Nya?” Orang yang bersifat hasad dengki jiwanya sentiasa merasa serba kekurangan dengan apa yang dimilikinya. Ini kerana dia tidak pernah merasa bersyukur di atas apa yang dimilikinya, sebaliknya dia mewujudkan perasaan dengki dan iri hati terhadap apa yang dimiliki oleh orang lain.

Dalam Islam, sifat hasad dengki adalah tercela dan tergolong dalam amalan-amalan orang munafik. Banyak keburukan yang diperolehi akibat daripada perbuatan dengki dan iri hati ini kerana sifat dengki dan iri hati boleh mengakibatkan perpecahan ummah. Sifat ini juga boleh mewujudkan perasaan dendam, berprasangka buruk dan permusuhan terhadap individu lain.

Allah berfirman yang bermaksud, “Yang paling aku takut dari apa yang aku takut pada umatku ialah yang banyak harta pada mereka, lalu mereka saling berdengki dan berbunuh-bunuhan.” (HR. Ibnu Abid Dunya an Amir Al-Asy’ari)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Islam mengharuskan umatnya mempunyai perasaan dengki terhadap orang lain kepada dua perkara sahaja, iaitu terhadap ilmu dan harta kekayaan yang dimiliki oleh orang lain. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar, Rasulullah saw bersabda, “Tidak ada dengki selain daripada dua perkara, iaitu orang yang diberikan harta oleh Allah swt lalu dikuasainya harta itu pada kebenaran dan orang yang diberikan ilmu oleh Allah swt lalu diamalkan ilmu itu dan diajarkan kepada manusia.”

Dengki juga hanya dimiliki orang yang berjiwa rendah dan sifat itu mendorongnya berangan-angan kosong untuk mendapatkan kenikmatan yang dimiliki orang lain. Di dalam setiap diri manusia, sememangnya mempunyai keinginan bersaing untuk mendapat nikmat yang sama atau lebih. Sifat ingin bersaing secara sihat adalah halal. Ia dikenali sebagai ghibtah. Seseorang yang menyedari dirinya serba kekurangan, apabila melihat orang lain maju dan mendapat lebih nikmat maka ia akan berusaha bersungguh-sungguh seperti yang dilakukan oleh orang lain. Inilah sifat bukan dengki yang sebenarnya.

Menurut pakar perunding motivasi dan keluarga, Datuk Dr Hj Fadzilah Kamsah dalam bukunya yang bertajuk “Menerobos Sempadan Diri”, antara tips motivasi yang diajar oleh beliau ialah kunci kemenangan adalah sabar.

Benar sekali kata-kata beliau kerana untuk mecapai suatu kemenangan bukanlah mudah, malah kita harus bersabar dan terus berusaha yang terbaik demi mencapai sebuah kemenangan.

Apa yang saya ingin kupaskan di dalam ruangan ini, untuk menghadapi perasaan hasad dengki adalah perbanyakkan kesabaran dan tingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Ketaqwaan kepada Allah s.w.t menuntut kita agar mempunyai sifat sabar sepanjang masa. Mustahil seseorang manusia itu mencecah kaki kegerbang ketaqwaan tanpa mempunyai kesabaran yang tinggi. Ini kerana taqwa bererti seseorang mestilah tunduk dan patuh kepada suruhan Allah serta menjauhi segala larangan-Nya. Kekuatan dalam kesabaran itu amatlah penting dalam melaksanakan perintah dan larangan-Nya.

Sabar ialah ketahanan rohani dan jasmani dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sifat ini sememangnya digalakkan oleh Islam. Sabar dalam ketabahan menghadapi kesusahan dan kecekalan untuk mengatasi masalah. Dalam setiap kehidupan, masalah dan cabaran merupakan asam garam kehidupan yang tidak dapat kita elakkan.

Sesungguhnya manusia tidak terlepas daripada malapetaka dan kesusahan dalam kehidupan seharian. Oleh itu bersabarlah dan semoga kita semua dirahmati Allah serta diberi kemenangan di dunia dan akhirat. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah r.a. bermaksud, “Tiada seorang muslim pun yang tidak mengalami penderitaan, keseksaan, kebimbangan, dukacita, kemelaratan dan kesedihan sehingga cucukan duri yang mengenainya melainkan dihapuskan oleh Allah sebahagian daripada kesalahannya.”

Sifat sabar sungguh mulia sekali untuk dihayati oleh kita semua kerana ia dimiliki oleh para Rasul. Kesabaranlah yang membimbing seseorang untuk mencapai kehidupan yang lebih baik setelah mengalami kesedihan, kehampaan, kekecewaan dan sebagainya.

BACA:  7 Cara Ini Dapat Membantu Anda Melawan Sikap Bertangguh

Kita selalu mendengar dan membaca kata-kata ini, “Kadang-kadang, Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat, kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya sinar itu, rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi.”

Dari kata-kata di atas jelas menunjukan bahawa Allah tidak memberi kelebihan kepada kita dalam suatu perkara, tetapi Allah memberi kita kelebihan dalam sesuatu perkara yang lain.

Musibah yang terjadi itu adalah ujian dari-Nya. Yakinlah dengan Allah, dan yakinlah dengan janji-Nya. Dalam Al-Quran ada menyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat 286, “Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”

Tidak rugi kepada orang yang bersabar menghadapi cercaan dan hinaan daripada orang lain kerana Allah s.w.t telah meletakkan di tempat yang tinggi darjat orang yang bersabar, “Katakanlah (wahai Muhammad akan firman-Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah Az-Zumar: Ayat 10)

Kadangkala kita mengeluh akan kehidupan yang kita jalani dan kadangkala kita tidak berada di jalan yang lurus kerana sifat-sifat syaitan yang melemahkan azam dan memesongkan kita dari jalan yang lurus seterusnya menimbulkan rasa iri hati dan hasad dengki yang telah menutup hati kita daripada memperoleh hidayah Allah s.w.t.

Semakin kotor hati, semakin kusam dan pekat pula hati kita yang dipenuhi dengan kegelapan. Tanpa cahaya, nur dan hidayah Allah s.w.t yang membimbing kita ke jalan yang lurus, maka kotorlah hati kita dengan sifat yang tercela lagi hina ini.

BACA:  “Macam Mana Nak Jadi Orang yang Tenang, Tak Suka Marah, dan Pandai Urus Masa Dengan Baik?”

Justeru, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Beranilah beramal dengan sifat yang terpuji dengan bersabar di atas setiap ujian. Laluilah onak-duri kehidupan yang berliku dengan kesabaran dan ketaqwaan kepada-Nya. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya hasad dengki dan iri hati yang membawa kepada kerosakan dan bala tidaklah dihalalkan. Yang dituntut oleh agama ialah iri hati supaya kita turut berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh nikmat, kesenangan dan kelebihan dari Allah s.w.t dan menggunakannya di jalan yang diredhai-Nya.

By: Siti Nur Syuhadda Azami

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel