Peristiwa ombak besar Tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 yang lalu rentetan gempa bumi di Acheh yang telah meragut nyawa ratusan ribu umat manusia terus menjadi tajuk utama akhbar, tv dan media massa yang lain dan terbaru di Jepun. Kita sebagai umat Islam yang mengakui kehebatan dan kekuasaan Allah mesti mengambil iktibar yang sebanyak mungkin daripada peristiwa yang menggemparkan dunia ini sehingga kita mampu menghampirkan lagi diri ini kepada Allah. Kita jangan menjadi umat yang sekadar melihat dan mendengar peristiwa yang berlaku sedangkan diri mereka tetap ditakuk yang lama iaitu hanyut dengan tipu daya dunia. Kita juga turut disuruh berfikir secara rasional mengenai apa yang berlaku agar ia dijadikan pengajaran berharga dalam menginsafkan diri kita sebagai hamba Allah yang serba kekurangan.
FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya penerimaan taubat itu diterima oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’, ayat 17)





