Disunatkan berpuasa keseluruhan hari di bulan Sya’ban atau kebanyakan harinya. Ini berdasarkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Tidak pernah Nabi s.a.w. berpuasa (sunat) sebulan penuh dalam setahun kecuali di bulan Sya’ban di mana baginda menyambungnya dengan Ramadhan” (HR Imam Abu Daud dan an-Nasai). ‘Aisyah r.a. pula menceritakan; “Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung. Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di bulan Sya’ban”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Bagaimana melahirkan anak soleh?
Anak-anak kita adalah simpanan berharga untuk kita di akhirat. Apabila tibanya saat kematian kita di mana segala pahala dari amalan kita terputus, merekalah yang dapat kita harapkan untuk menyambung pahala kita dan mendoakan kesejahteraan kita di alam kubur dan memohon keampunan Allah untuk kita. Sabda Rasulullah s.a.w. (bermaksud); “Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaat dengannya dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).






