≡ Menu

Klinik Untuk Pelarian Dibuka Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Qatar Charity dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) semalam melancarkan klinik pertama memberikan khidmat penjagaan kesihatan kepada kelompok pelarian di Malaysia.

Majlis perasmian Klinik Kemanusiaan Qatar Fund for Development (QFFD) di Ampang itu dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim; Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus dan Pengarah Qatar Charity di Malaysia, Karam Zeinhom.

Klinik itu ditaja sepenuhnya oleh QFFD bagi tempoh tiga tahun membabitkan kerjasama tiga badan kemanusiaan iaitu Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Malaysian Relief Agency (MRA) dengan sokongan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Klinik terbabit menyediakan khidmat penjagaan kesihatan primer merangkumi rawatan pesakit luar, vaksinasi dan program pendidikan kesihatan dengan matlamat akhir membolehkan pelarian kembali ke negara asal selepas konflik di negara mereka tamat.

Ia juga bertujuan mengurangkan beban dalam sistem penjagaan kesihatan awam di Malaysia. Ketika ini, terdapat lebih 180,000 pelarian di Malaysia, termasuk dari Myanmar, Syria, Afghanistan, Sri Lanka, Somalia dan negara lain.

“Pembukaan klinik ini membabitkan kerjasama pelbagai pihak, termasuk penerima manfaat (pelarian) itu sendiri,” kata Dr Ahmad Faizal dalam kenyataan Mercy Malaysia di sini, menjelaskan projek itu membabitkan kerjasama pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan agensi antarabangsa.

Che Asmah pula berharap pembukaan klinik itu akan mengurangkan beban dan komplikasi di hospital kerajaan.

“Dalam jangka masa sederhana dan panjang, kita menyasarkan untuk menangani potensi masalah kesihatan awam seperti penularan penyakit secara efektif. Kami berterima kasih kepada QFFD dan Qatar Charity atas sokongan mereka,” kata Che Asmah.

Empat lagi klinik statik seumpamanya akan dibuka dalam tempoh tiga tahun. Manakala empat klinik bergerak akan dijalankan di kawasan populasi pelarian yang tinggi di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu.

BACA:  Dalam Bank Ada RM10, Dalam Beg Ada RM3. Ya Allah Permudahkanlah Rezeki Ku Dengan Amalan Zikir Ini

 

Sumber: alhijrahnews.com

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel