BEIJING – China mengharamkan ibu bapa dan penjaga di Xinjiang, wilayah paling ramai umat Islam di negara itu daripada menggalak anak mereka melakukan aktiviti keagamaan.
Akhbar Xinjiang Daily melaporkan, kerajaan menguatkuasakan peraturan pelajaran baru bermula 1 November depan, bermakna mereka yang menggalak atau memaksa anak mereka melakukan aktiviti keagamaan seperti solat, termasuk di sekolah, akan dilaporkan kepada polis.
Ia lanjutan daripada arahan mengharamkan lelaki Islam di wilayah itu berjanggut dan wanita menutup rambut.
China mendakwa hak asasi, undang-undang dan budaya Muslim di Xinjiang dilindungi sepenuhnya.
Bagaimanapun, sebahagian besar etnik Uighur yang mewakili penduduk Islam wilayah itu berkata, mereka semakin ditindas oleh pihak berkuasa China, termasuk dikenakan sekatan ekonomi.
Pada April 2014, Global Times melaporkan, pegawai di Xinjiang menawarkan hadiah sehingga 50,000 yuan (RM31,000) kepada mereka yang membuat laporan kepada polis mengenai kegiatan pemisah Islam, termasuk memelihara janggut.
Pada 2015 pula, Radio Free Asia melaporkan, imam di Kashgar, sebuah daerah di Xinjiang, dipaksa memberitahu anak mereka, solat itu berbahaya untuk jiwa dan mengisytiharkan, rezeki datang daripada Parti Komunis China, bukan daripada Allah.
Sumber: cempedakcheese.com