≡ Menu

Jangan Dicemari Proses Pilihanraya

Selepas asar, saya duduk di sebuah kedai untuk minum secawan kopi bersama-sama jemaah surau. Tiba-tiba seorang jemaah surau yang lain singgah.

Beliau salah seorang petugas SKEPS (Skuad Keselamatan Pilihanraya Selangor). Beliau mula bercerita bagaimana provokasi yang dibuat parti lawan semasa penamaan calon diadakan.

Konvoi calon partinya diasak oleh kumpulan bermotor parti lawan sehingga calon partinya terpaksa dipindahkan ke kereta lain untuk keselamatan.

Semasa di padang sekolah pula sebanyak 3 kumpulan parti lawan datang dengan pelbagai provokatif.

Beliau terpaksa berjumpa secara personal dengan ketua kumpulan parti lawan dan memberikan amaran awal untuk mengelakkan berlakunya pergaduhan besar.

Sewaktu malam pula, semasa 10 orang petugas partinya sedang menggantung poster, tiba-tiba hampir 40 orang petugas parti lawan datang mengepung mereka.

Beliau segera menghubungi petugas partinya yang berada berdekatan untuk memberikan bantuan. Selepas kira-kira 15 minit, hampir 200 petugas partinya datang dan pihak parti lawan terpaksa mengalah.

Prinsip partinya adalah;

“Kita tidak menjual! Bila lawan mula, baru kita akan membeli!”

Selepas penamaan calon, tugas mereka adalah berterusan untuk menjaga rumah dan keselamatan calon-calon parti sepanjang masa kerana berdasarkan pengalaman PRU lalu, calon partinya diugut, cuba dirasuah dan dibeli.

Saya mengucap panjang mendengar kisah ini!

Ya Allah! Selamatkan Malaysia dari budaya politik samseng yang primitif sebegini. Benarlah firman Allah mengenai kepentingan pegawai penguatkuasa keselamatan;

وَلَولا دَفعُ اللَّهِ النّاسَ بَعضَهُم بِبَعضٍ لَفَسَدَتِ الأَرضُ وَلٰكِنَّ اللَّهَ ذو فَضلٍ عَلَى العٰلَمينَ

Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam.
Surah al-Baqarah 2:251

Oleh itu, jangan mencemari proses pilihanraya dengan budaya samseng yang jauh menyimpang daripada Islam bahkan itu bukanlah budaya bangsa Melayu, yang dikenali dengan penuh kesopanan dan tatasusila.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel