≡ Menu

Iran Mula Serang Pangkalan Tentera AS, Puluhan Peluru Berpandu Dilancar

IRAN melancarkan serangan peluru berpandu ke atas beberapa pangkalan udara di Iraq yang menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS) pada jam 3 pagi Selasa waktu tempatan.

Antara yang menjadi sasaran ialah pangkalan udara Al Asad di barat Iraq dan Irbil di sebelah utara.

Serangan tersebut disahkan oleh Jabatan Pertahanan AS dalam satu kenyataan oleh Jonathan Hoffman, pembantu kepada Setiausaha Urusan Awam Pertahanan.

Namun, tiada maklumat mengenai kematian atau kecederaan akibat serangan itu dilaporkan setakat ini.

“Ketika kami menilai situasi dan tindak balas yang akan diambil, kami akan mengambil semua langkah yang perlu bagi melindungi dan mempertahankan anggota dan sekutu AS di rantau itu,” menurut kenyataan Hoffman.

Setiausaha Akhbar White House Stephanie Grisham menerusi Twitter mengesahkan bahawa Presiden Donald Trump telah dimaklumkan mengenai serangan itu dan kini memerhati rapat situasi terkini sambil mendapat nasihat pasukan keselamatannya.

“Pagi ini, pejuang Tentera Udara IRGC melancarkan Operation Martyr Soleimani dengan kod ‘Oh Zahra’ yang menyerang menggunakan berpuluh peluru berpandu dari darat ke darat terhadap pangkalan kuasa teroris AS,” lapor media rasmi Iran ISNA, menurut ABC.

Susulan laporan mengenai serangan tersebut, harga minyak mentah dilapor meningkat hampir 4 peratus.

Pada Selasa, Setiausaha Pertahanan Mark Esper dalam satu taklimat menegaskan bahawa AS bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang serangan yang dilancarkan Iran.

“Kepada rakan sekutu dan rejim Iran, saya ingin kata bahawa kami tidak ingin memulakan peperangan bersama Iran, namun kami bersedia untuk mengakhirinya,” kata Esper.

Ketegangan di antara AS dan Iran memuncak susulan pembunuhan jeneral tertinggi Iran, Jeneral Qassem Soleimani dalam serangan udara AS berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada Jumaat.

BACA:  Tentera Pakistan Merupakan Tentera Islam Terkuat di Dunia

 

Sumber: www.astroawani.com

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel