
Tiada jemaah haji Malaysia yang terlibat dalam insiden rempuhan di Mina pada Khamis setakat ini.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam sidang media tergempar di Makkah pada Khamis.
Beliau berkata, ia berdasarkan maklumat yang dikumpul mendapati masa dan lokasi kejadian bukan seperti yang ditetapkan Tabung Haji (TH).
Katanya lagi, setakat ini juga, proses pengiraan jemaah Malaysia yang sedang dilakukan untuk mengesan kedudukan semua terlibat.
Tambahnya, setakat ini berdasarkan maklumat awal petugas Tabung Haji di kawasan melontar di lapan pusat, tiada jemaah haji Malaysia yang menggunakan laluan pejalan kaki di Jalan 204 yang juga diuar kawasan yang ditetapkan itu.
“Kita doakan… insyaAllah tiada kejadian buruk berlaku terhadap jemaah haji Malaysia dan jika semuanya berdisiplin serta mengikut arahan yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji, insyaAllah tidak akan timbul sebarang masalah kejadian selepas Asar,” katanya.
Setakat ini, kira-kira 310 jemaah maut dan 631 lagi cedera ketika bilangan besar jemaah berasak-asak di Mina, di luar kota suci Makkah.
Kejadian itu berlaku di Jalan 204 di pusat perkhemahan Mina, beberapa kilometer ke timur Makkah, di mana jemaah lazimnya menginap beberapa hari sebelum cara kemuncak musim haji bermula.
Lebih kurang dua juta orang kini mengerjakan ibadah haji di Arab Saudi.
Mstar
