≡ Menu

Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah mula digazetkan di Brunei

Sultan Haji Hassanal Bolkiah

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 22 Oktober. – Negara Brunei Darussalam hari ini melakar sejarah besar apabila mengazetkan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah yang berkuat kuasa enam bulan selepasnya secara berfasa.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengumumkan perkara itu ketika bertitah pada Perasmian Majlis Ilmu 2013 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Dengan izin Allah juga, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Akta Perintah itu mula digazetkan hari ini, 22 haribulan Oktober 2013, dan akan mula berkuat kuasa enam bulan selepasnya secara berfasa.

“Dengan ini Alhamdulillah, pada peringkat ini tanggungjawab kita di hadapan Allah telah pun tertunai,” titah Kebawah DYMM.

Baginda seterusnya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana Majlis Ilmu pada kali ini diisi dengan acara-acara bersejarah yang berkaitan dengan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Menyentuh mengenai tema Majlis Ilmu tahun ini yang memaparkan ‘Undang-Undang Jenayah Syar’iah Menjamin Keadilan dan Kesejahteraan Untuk Semua’, baginda bertitah, selaku yang datang daripada Allah memanglah wajar dan malah wajib untuk diyakini sebagai mampu untuk menjamin keadilan dan kesejahteraan bagi semua.

“Undang-Undang Allah disyari’atkan, bukanlah untuk kepentingan-Nya sendiri. Allah sama sekali tidak mempunyai apa-apa hajat, kerana Dia sendiri adalah Maha Sempurna. Yang berhajat itu ialah kita para hamba, termasuk hajat untuk dapat menikmati keadilan dan kesejahteraan,” titah baginda.

Lalu kerana hajat kita itulah, titah baginda, Allah Subhanahu Wata’ala pun dengan segala sifat kepemurahan-Nya telah menciptakan undang-undang untuk kita supaya kita menggunakannya bagi tujuan memperolehi keadilan.

Titah baginda seterusnya, Alhamdulillah dalam sejarahnya, Negara Brunei Darussalam, selaku bumi bertuah tidaklah pernah meminta kebenaran dari sesiapa untuk memilih Islam sebagai Ugama Rasmi Negara.

“Demikian juga, kita tidak meminta dari mana-mana pihak untuk melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syar’iah, demi kerana ia adalah semata-mata ‘hidayat khusus’ daripada Allah kepada kita. Sesungguhnya hidayat itu adalah bulat menjadi hak Allah,” titah baginda.

Namun dengan langkah itu, titah baginda, dasar kita tidaklah berubah, malah selaku warga dunia, kita juga akan terus bersama-sama dengan rakan-rakan kita di mana saja untuk menjalin hubungan lebih mesra dan harmoni yang berpaksikan sikap saling hormat-menghormati.

Baginda menambah titah, Negara Brunei Darussalam sentiasa peka dengan apa jua unsur kebajikan yang kita perlukan, sama ada dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan lain-lain serta terbuka dan menghulurkan tangan kepada siapa saja bagi kerjasama-kerjasama yang bermanfaat serta persefahaman yang bersifat sejagat.

“Inilah Brunei kita, Negara Zikir Melayu Islam Beraja. Kita, adalah melihat kepada semua pihak dengan kaca mata yang bersih lagi putih, tanpa sebarang prejudis. Lalu kerana itu, kita pun juga adalah berhak pula untuk mengharapkan supaya orang lain juga, terhadap Brunei, akan melihat seperti itu,” titah baginda.

Negara Brunei Darussalam, titah baginda, akan konsisten dengan dasar tersebut dan demikian juga bagi kepentingan dalaman, negara akan terus merancang, melaksana dan membangun dengan caranya sendiri mengikut lunas-lunas yang benar yang diredai oleh Allah.

Baginda seterusnya menghargai semua usaha, khasnya oleh mereka yang berkenaan dengan penggubalan dan pembarigaan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah, semoga dengan usaha itu, kita semua dan negara akan sama-sama beroleh manfaatnya, berupa keredaan dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

“Beta berharap, sesiapa juga yang berstatus rakyat dan penduduk negara ini, akan sama-sama berdiri teguh dan berganding bahu dalam mendukung dan mengalu-alukan kelahiran Akta yang bersejarah ini. Tidak diragukan lagi, ia adalah sebahagian dari ‘sejarah besar’ kita dan negara,” titah baginda.

Majlis Ilmu 2013 sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-67 Tahun membawa tema ‘Undang-Undang Jenayah Syari’ah Menjamin Keadilan dan Kesejahteraan Untuk Semua’.

Pelita Brunei

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel