Nota Editor: Artikel ini asalnya telah dikongsikan oleh Ustaz Abu Basyer di Facebook.
Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi iaitu harus, sunat, makruh dan haram.
Harus.
Secara umumnya hukum memakai minyak wangi adalah harus bagi wanita. Seseorang wanita itu dikatakan harus memakai wangi-wangian ketika suami berada di rumah terutamanya ketika ingin melayan suami mereka. Selain daripada itu, wanita tidak di haruskan memakai wangi-wangian. Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud,
“Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu…” (Hadis Riwayat an-Nasa’i dari Abu Hurairah)
Ini bererti seorang wanita itu haruslah sentiasa kelihatan menarik dari segi akhlak dan penampilannya agar dapat menyenangkan hati suaminya, termasuklah memakai minyak wangi untuk menyenangkan suami.
Sunat.
Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya, ketika ingin menunaikan solat dan beribadah di dalam rumahnya, dan juga ketika menyambut tetamu wanita. Terdapat hadis yang menjelaskan wanita juga digalakkan berwangi-wangian tetapi bukan pada tempat yang telah dilarang. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,
“Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya” (Hadis Riwayat al-Tarmizi)
Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram. Aisyah r.a berkata,
“Kami (isteri-isteri Rasulullah SAW ) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah SAW. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah SAW melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya Nabi SAW tidak melarang)” (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Makruh.
Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa. Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan “makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa”. Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak ulama.
Haram.
Haram bagi wanita memakai minyak wangi atau alat-alat solek yang berbau wangi di luar rumah berdasarkan hadis berikut,
Nabi SAW bersabda maksudnya, “Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang ramai) maka dia itu adalah perempuan zina” (Hadis Riwayat Abu Dawud, Tirmidzi)
Nabi SAW bersabda “Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut).” (Hadis Sahih Riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)
Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur “Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Allah SWT tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi……” (Hadis Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)
Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, “Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui sesuatu majlis, maka ia adalah demikian, demikian…(penzina)” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Daripada hadis-hadis di atas, maka jelaslah bahawa kaum wanita diharamkan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah dan juga dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di rumah terutamanya di hadapan suaminya.
Saya menyeru kepada semua wanita muslimah agar mentaati perintah dan larangan Allah SWT dalam setiap detik kehidupan kita, dalam setiap langkah kita. Jauhilah larangan Allah SWT dalam hal persolekan dan berwangi-wangian dikhalayak ramai. Patuhilah hadis-hadis di atas dan jadikan ia sebagai panduan hidup kita.
Sungguh amat memilukan hati, apabila melihat wanita muslimah keluar rumah bekerja dengan gaya seperti seorang perempuan bukan Islam, bersolek dan berbau wangi samada dengan tujuan menggoda lelaki yang ditemui atau untuk kelihatan cantik atau tanpa apa-apa tujuan sekalipun, ia tetap haram dan berdosa. Sedarlah, bahawa itu mengundang murka Allah SWT, yang mengakibatkan rezeki yang kita peroleh sehari-hari tidak diredhai Allah SWT, bukan itu sahaja bahkan ia bakal menjadi penyebab bagi keruntuhan iman dan akhlak kita. Hilanglah segala hikmah dari pekerjaan kita yang sepatutnya menjadi ibadah kita kepada Allah SWT.
Saya juga ingin mengingatkan wanita muslimah agar berhati-hati memilih alat solek supaya tidak tersalah memilih yang berbau wangi, kerana ada setengah-setengah bedak atau deodorant misalnya berbau wangi.
Semoga wanita hari ini akan menjadi sebaik muslimah disisi Nabi SAW, yang apabila mendengar sesuatu hukum itu haram mereka terus menjauhi perbuatan tersebut dan apabila mendengar sesuatu hukum itu wajib atau sunat mereka terus melaksanakannya dengan penuh iltizam.
Wallahu ‘alam bissawab . Wassalam.