
Nota Editor: Artikel ini asalnya telah dikongsikan oleh Ustaz Abu Basyer di Blog Tanyalah Ustaz.
Soalan: Ustaz apakah syarat-syarat pertunangan di dalam Islam? Adakah di kira bertunag apabila seorang lelaki berkata ” saya bercadang mengambil awak sebagai isteri saya, awak bersetuju? Maka jawab si wanita ” saya bersetuju” adakah dengan persetujuan itu mereka sudah bertunang?
Jawapan:
Ada pendapat yang mengatakan jika lelaki tanya wanita ,”saya berhajat nak ambil awak menjadi isteri saya adakah awak sudi?” Jawab si wanita , “saya setuju datanglah jumpa ayah saya. ” dengan persetujuan tersebut telah menjadi tunang dan orang lain tak boleh masuk meminang. Pendapat ini tidak kuat untuk membenarkan wanita ini telah menjadi tunangnya apabila tak melibatkan wali atau mahram wanita tersebut. Dalam Islam apa saja urusan ada adab dan peraturannya, jika tanpa pengetahuan walinya wanita tadi belum sah menjadi tunang orang dan orang lain boleh masuk meminang melalui walinya dan jika walinya setuju secara asasnya boleh terjadi kerana walinya ada hak terhadap anak perempuannya dan dia sendiri tidak mengetahui bahawa ada orang lain yang telah menyatakan hasat hati kepada anaknya melalui anaknya sendiri. Oleh itu kita jangan mudah mengandaikan telah berlaku proses pertunangan jika tak melalui peraturan yang betul.
Hukum-hakam Dan Adab-adab Pertunangan Menurut Mazhab al-Shafi`i.
PENDAHULUAN.
Dalam coretan yang ringkas ini,kita akan membicarakan berkaitan dengan hukum-hakam pertunangan dan adab-adabnya menurut mazhab Shadi`i. Adab dan akhlak sering diabaikan oleh mereka yang dalam tempoh pertunangan. Adakalanya mereka tidak memerhatikan adab-adab serta hukum-hakam yang berkaitan dengannya, sehinggakan pertunangan itu dianggap seperti telah berkahwin. Masalah yang berlaku ini, bukan sahaja berlaku kepada orang awam, malahan mereka yang berstatus ‘ustaz’ sekalipun kadangkala mangabaikan perkara ini. Oleh yang demikian, dalam catatan yang ringkas ini, kita akan membicarakan sedikit sebanyak perkara yang berkaitan dengannya, agar ianya menjadi peringatan kepada kita semua dalam mengharungi kehidupan yang penuh mencabar ini. Juga ianya ditujukan kepada pemuda dan pemudi Islam yang kemungkinan ramai di kalangan mereka yang telah bertunang pada masa ini. Semoga perbincangan yang ringkas ini, dapat dijadikan panduan dalam mengamalkan Islam yang berdasarkan kepada mazhab Shafi`i.
Berdua-duaan Dengan Tunang Dan Bercampur Dengannya
Pertunangan di sisi Islam adalah sama sahaja hubungannya sebelum berkahwin. Oleh yang demikian, orang yang bertunang masih dianggap ajnabi. (Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4. Dar al-Qalam: Dimashq, h. 47). Dalam hal ini, perbezaan antara bertunang dan sebelum bertunang adalah dari sudut ikatan perjanjian yang dibuat sebelum berkahwin. Namun, dari sudut hubungan antara lelaki dan perempuan, sama sahaja hukumnya dengan orang lain yang masih belum bertunang. Ikatan perjanjian yang dibuat akan berterusan sehingga mereka berdua berkahwin.
Apabila hukum perhubungan antara lelaki dan perempuan adalah sama sahaja sama ada sebelum bertunang atau setelah bertunang, maka mereka berdua haram untuk berkhalwat di tempat sunyi, mereka juga tidak boleh bersentuhan tangan, bercampur tanpa ditemani mahram, keluar berdua-duaan ke pasaraya, taman dsb. Dalam hal pertunangan ini, mereka tidak boleh mendakwa bahawa dengan keluar berdua-duaan itu akan lebih mengenali antara satu sama lain. Ini kerana, apabila mereka keluar berdua-duaan itu, biasanya mereka akan berlakon, dan tidak mempamerkan diri mereka yang sebenar. (Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4. Dar al-Qalam: Dimashq, h. 47).
Hubungan Melalui SMS :
Adakah bermesej dengan tunang menerusi handset, dikira sebagai khalwat juga? Berdasarkan kepada karya fiqh mazhab Shafi`i, perbahasan hukum berkaitan dengan hal ini tidak dibincangkan kerana pada zaman dahulu, tidak sama dengan zaman kita sekarang. Berdasarkan pemahaman kita dari karya fiqh ulama terdahulu, khalwat itu ialah berdua-duaan di tempat sunyi, yang tidak diperhatikan oleh orang lain. Berdua-dua tersebut pula adalah dari sudut fizikal, bukannya sekadar suara sahaja. Oleh yang demikian, berdua-duaan secara fizikal seperti ini, amat mendekati zina.
Berlainan dengan sms yang dilakukan kini, ianya tidak melibatkan suara perempuan, ianya hanya dalam bentuk ayat yang ditulis. Oleh itu, penulis berkecenderungan untuk mengatakan bahawa selagi mana sms yang dihantar itu tidak ke arah membangkitkan shahwat, maka selagi itu ianya dibolehkan. Ianya banyak bergantung kepada objektif sms itu dihantar oleh seseorang sama ada untuk menggoda, atau sekadar bertanya khabar dan sebagainya. Ianya bukan haram secara total. Sekiranya sms yang dihantar itu adalah dengan objektif yang baik atau sebaliknya, maka ianya akan membawa kepada implikasi hukum tertentu sama ada haram, makruh, mubah atau sebagainya. Oleh itu, sms dan seumpamanya yg ada pada zaman kini yang melibatkan pergaulan antara lelaki dan perempuan, banyak melibatkan objektif si pelaku.
Hukum Lelaki Memandang Wanita.
Bagi kes lelaki yang telah baligh, maka haram bagi lelaki melihat susuk tubuh wanita ajnabi, walaupun lelaki yang memandang itu terdiri daripada warga emas sekalipun. (Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4, h. 49). Ada orang faham bahawa memandang wajah dan telapak tangan wanita ajnabi adalah dibolehkan kerana ianya bukan aurat. Namun menurut mazhab Shafi`i, memandang wajah dan dua telapak tangan wanita ajnabi juga dikira haram sekiranya tiada keperluan untuk memandangnya, walaupun berada dalam keadaan aman daripada fitnah sekalipun. Demikian juga wanita haram melihat lelaki ajnabi sekiranya tiada keperluan. (Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4, h. 49.) Keperluan dalam hal ini seperti untuk bermuamalah dan sebagainya yang memerlukan seseorang lelaki memandang wanita atau sebaliknya. Atau memandang kepada tunang mendorong kepada perkawinan.
Hukum-hakam yang diistinbatkan seperti ini adalah berdasarkan kepada firman Allah Taala dalam surah an-Nur ayat 30, ” Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”
Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31 maksudnya, “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka..”
Berdasarkan pandangan yang dikemukakan dalam mazhab Shafi`i, bermakna ianya amat menitik beratkan soal perhubungan antara lelaki dan wanita. Ianya banyak mengambil sikap berhati-hati (ihtiyat) daripada mengambil sikap mudah. Oleh itu, untuk mengamalkan apa yang disebutkan di atas, kemungkinan menjadi begitu sukar oleh sesetengah pihak, kesukaran tersebut disebabkan mereka memandang ringan akan hal ini.
Selain itu, amar makruf dan nahi mungkar telah diabaikan dalam masyarakat kita sehingga membiarkan sahaja budaya couple antara lelaki dan wanita yang berlaku kepada para remaja. Oleh itu, untuk kembali kepada ajaran agama yang sebenar, telah menjadi kesukaran pula kepada mereka untuk mengamalkannya. Dengan yang demikian, usaha dakwah disusuli dengan amar makruf dan nahi mungkar, perlu dijalankan secara berterusan, agar masyarakat kita kembali kepada landasan Islam yang sebenar.
Walaupun kita mengaku bermazhab Shafi`i, tetapi banyak perkara yang telah kita abaikan dalam melaksanakannya, lebih-lebih lagi di kalangan generasi muda yang hanyut dengan arus pemodenan, serta budaya hedonisme yang melalaikan.
Beberapa Keadaan Di Mana Lelaki Dibolehkan Memandang Wanita.
Diharuskan lelaki memandang wanita ajnabi, atau menyentuhnya, sekiranya perlu seperti dalam kes perubatan, walaupun perkara yang disentuh itu adalah faraj sekalipun. Ini kerana sekiranya diharamkan juga dalam hal perubatan ini, maka akan membawa kepada kesukaran. Oleh itu, syarak membenarkannya. Perubatan yang dilakukan itu sama ada orang lelaki merawat wanita, atau sebaliknya.
Dalam hal melakukan perubatan seperti itu, mestilah dihadiri oleh mahram, atau suami, atau wanita yang dipercayai, dengan syarat, tiada doktor wanita pada masa itu, atau tiada doktor lelaki untuk merawat orang lelaki. Doktor berlainan jantina yang merawat itu, mestilah melihat di tempat-tempat yang perlu sahaja, tanpa melampaui batas. (Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4, h. 50). Keharusan merawat dalam keadaan seperti ini.
Dalam hal muamalah seperti jual beli dan sebagainya, maka diharuskan juga lelaki melihat wajah wanita. (Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4, h. 51). Dalam hal muamalah ini, mengenali pelanggan adalah begitu penting agar penjual mendapat ramai pelanggan, menghindarkan diri daripada tipu daya, melaksanakan tuntutan akad, mengembalikan barang dan sebagainya.
Oleh itu, memandang wajah dan mengenalinya adalah begitu penting dan merupaka satu keperluan yang telah mencapai tahap darurah. Selain perubatan dan muamalah, dalam hal pembelajaran pun lelaki boleh melihat wanita dan wanita boleh melihat lelaki. (Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4, h. 51).
Ini bermakna, lelaki dan wanita perlu menjaga hukum-hakam yang telah disebutkan di atas dalam perhubungan mereka. Penjagaan seperti ini amat penting, untuk menjadikan orang Islam hidup dalam ketenangan dan keberkatan yang bersumberkan rahmat Allah S.W.T.
Penutup.
Berdasarkan kepada perbincangan ringkas di atas, bermakna kita perlu menjaga hukum-hakam dan adab-adab yang berkaitan dengan perhubungan antara lelaki dan wanita terutamanya mereka yang telah bergelar tunangan orang. Di dalam Islam, tidak bermakna, orang lelaki tidak boleh berhubung dengan wanita secara total. Tidak sedemikian. Perkara yang dilarang ialah perhubungan yang tidak beretika, serta melanggar batas-batas syarak. Islam tidak menghalang wanita keluar rumah untuk mencari pekerjaan, berniaga, belajar dan sebagainya.
Apa yang Islam sebutkan ialah batasan yang perlu dijaga, agar diri mereka tidak terjebak dengan perkara fitnah yang boleh membinasakan. Oleh itu, dalam hal pertunangan ini, batas-batas agama dalam pergaulan perlu dijaga. Ini kerana, selagi mana mereka masih belum berkahwin, selagi itu mereka seperti orang lain yang ada hukum halal dan haram dalam perhubungan. Wallahua`lam.
