≡ Menu

COVID-19: Solat Jumaat diteruskan, khutbah perlu pendek – Dr Zulkifli


PUTRAJAYA: Solat Jumaat perlu diteruskan seperti biasa ketika ini walaupun negara dilanda wabak COVID-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli bagaimanapun menasihatkan pihak masjid serta orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memendekkan khutbah Jumaat bagi mengurangkan masa berkumpul.
“Kami berpendapat solat Jumaat adalah sepatutnya kita lakukan walaupun dalam keadaan sebegini… ambil hukum asal solat Jumaat tetap wajib, cuma beberapa syarat dilaksanakan seperti khutbah dipendekkan serta orang ramai berwuduk di rumah.

“Pihak masjid juga hendaklah menyediakan cecair pembasmi kuman serta penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan dan keselamatan,” katanya selepas menyampaikan Tausiyah Am kepada kakitangan agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada Khamis.
Sebelum itu, Dr Zulkifli turut mengimamkan solat sunat dhuha dan hajat bersama kakitangan agensi terbabit.

Sementara itu, beliau berkata, mereka yang disahkan positif COVID-19 tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit.

Beliau juga menjelaskan, sekiranya wabak COVID-19 menjadi tidak terkawal, maka solat Jumaat boleh digantikan dengan solat Zohor di rumah.

Dr Zulkifli menjelaskan, isu solat Jumaat ketika negara dilanda wabak COVID-19 merupakan antara lima kertas kerja yang disediakan untuk dikemukakan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Sebenarnya kami telah sediakan lima kertas kerja untuk dimasukkan dalam (persidangan) majlis fatwa, pertamanya masalah tentang solat Jumaat.

“Kedua masalah bersalaman, ketiga masalah kenduri kahwin, keempat masalah pengurusan jenazah dan kelima beberapa saranan lain yang kami kemukakan,” katanya.

Beliau menjelaskan pihaknya akan memaklumkan perkara berkenaan dalam masa terdekat.

BACA:  Nasihat Buat “Makcik Dan Pakcik Bawang” Tinggalkan Yang Tiada Manfaat

Baru-baru ini Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata kerajaan termasuk Malaysia wajib mengambil langkah bersesuaian untuk mencegah penyakit berjangkit daripada tersebar dan mengancam kesihatan serta nyawa warganya.

Antaranya, beliau menyarankan supaya menghentikan buat sementara solat berjemaah di masjid dan solat Jumaat.

Sumber: Awani

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel