Selain bawang, kunyit dan halia, kentang juga merupakan salah satu bahan yang perlu ada di dapur. Keunikan kentang yang boleh digunakan dalam pelbagai jenis juadah menjadikan kentang sebagai bahan yang sentiasa menjadi pilihan di dalam masakan harian. Bahkan, kentang juga turut dijadikan sebagai petua dalam membantu menyerap rasa masakan yang terlebih masin.
Harga kentang yang tidak begitu mahal menjadikan kita sebagai kaum hawa membeli kentang dalam jumlah kuantiti yang banyak. Namun, apa yang lebih menghampakan apabila kentang yang dibeli cepat lembik hingga menjadikan jangka hayatnya tidak tahan begitu lama. Keadaan ini menyebabkan kita berasa rugi dan membazir apabila salah satu bahan masakan ini mudah rosak.
“Oleh yang demikian, sangat penting bagi kita untuk tahu cara penyimpanan kentang yang betul supaya jangka hayatnya dapat dikekalkan lebih lama dan tetap segar.”
1) Simpan Dalam Bakul Bertapis
Kentang yang sudah dibeli dan diyakini masih keras dan elok, perlu disimpan di dalam bakul yang bertapis. Lapikkan bahagian bawah bakul dengan lapisan surat khabar ataupun tisu kering.
2) Elak Simpan Kentang Berdekatan Buah-Buahan
Kentang akan lebih mudah rosak kesan bahan kimia yang terhasil daripada buah-buahan. Asingkan bakul kentang dan buah-buahan di tempat yang berbeza.
3) Bersihkan Kulit Kentang
Gunakan berus kering untuk membersihkan kulit kentang. Elak daripada membasuh kulit kentang. Jika kentang berada dalam keadaan lembab ketika dibeli, kentang perlu dijemur dan dikering dahulu.
4) Simpan Dalam Ruang Gelap
Tempat terbaik untuk menyimpan kentang adalah di dalam ruangan cabinet. Kentang lebih mudah rosak apabila terdedah kepada cahaya terang dan keadaan yang berlembap.
5) Periksa Keadaan Kentang Secara Berkala
Walaupun kentang telah disimpan secara rapi, perlu bagi kita membuat pemeriksaan secara berkala untuk memastikan keadaan kentang berada dalam keadaan elok. Jika didapati ada terdapat kentang yang rosak, perlulah dibuang supaya kentang lain tidak rosak sama.
Sumber: lakarmedia.com