≡ Menu

BADAPUNGKYUNG RESTORAN MESRA-MUSLIM DI PULAU JEJU, KOREA SELATAN

Berkunjung ke luar negara pastinya menimbulkan sedikit kegusaran di kalangan pengunjung beragama Islam. Mana tidaknya, perihal makanan pasti menjadi persoalan utama. Kegusaran tersebut tidak perlu apabila bercuti di Pulau Jeju, Wilayah Autonomi Khas di Republik Korea, kerana di sini terdapat beberapa restoran yang dikategorikan oleh Organisasi Pelancongan Jeju sebagai Mesra-Muslim. Salah satu daripadanya adalah Badapungkyung yang terletak di Bandar Jeju.

 

BADAPUNGKYUNG-RESTORAN-MESRA-MUSLIM-DI-PULAU-JEJU-KOREA-SELATAN.jpg

 

‘Bada’ bererti laut dan ‘Pungkyung’ atau ‘Punggyeong’ merujuk kepada pemandangan. Lokasi restoran yang terletak Jalan Seohaean dan tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju, memberikan kesempatan kepada pengunjung untuk meluangkan masa menikmati pemandangan laut (Selat Korea) di Pesiaran yang berdekatan. Kedinginan bayu laut apatah lagi di musim sejuk pastinya akan membuat pengunjung berasa lapar. Mujurlah Badapungkyung terletak berdekatan dan yang lebih penting, ia Mesra-Muslim. Restoran ini beroperasi dari 11 pagi hingga 11 malam.

 

Terdapat banyak jenis hidangan berasaskan makanan laut yang ada di restoran ini. Kakitangan restoran pula dilihat begitu prihatin dengan keperluan pengunjung beragama Islam dan dengan teliti menyediakan segala pesanan. Kami memilih untuk menikmati pelbagai jenis makanan laut yang disertakan dengan ‘Banchan’ (lauk-pauk sampingan dalam tradisi kulinari Korea). Kesemua lauk dihidangkan untuk perkongsian antara 3-4 orang kerana kelaziman ini sudah menjadi tradisi di Korea.

 

BADAPUNGKYUNG-RESTORAN-MESRA-MUSLIM-DI-PULAU-JEJU-KOREA-SELATAN.jpg

 

Antara hidangan dalam ‘Banchan’ yang disertakan adalah Kongnamul Muchim (Tauge Korea), Ganjang-Gejang (Ketam diperap dengan Kicap Soya, halia, bawang dan sebagainya), Kimchi dan sayur yang ditumis mengikut cara masakan Korea. Kesemuanya biasa dilihat kecuali Ganjang-Gejang dan lauk sampingan ini mempunyai tekstur lembut serta rasa yang enak. Tidak lengkap hidangan di Badapunkyung jika tidak mencuba Sup Rumpai Laut yang disertakan dengan hirisan Landak Laut.

BACA:  10 Penginapan yang berpatutan Di Busan Untuk Penginapan Sempurna (Berhampiran Restoran Mesra Muslim!)

 

BADAPUNGKYUNG-RESTORAN-MESRA-MUSLIM-DI-PULAU-JEJU-KOREA-SELATAN.jpg

 

Sup Rumpai Laut ini merupakan antara produk laris di kalangan pengunjung tetap Badapungkyung. Kami berpeluang merasai sendiri sup ini dan ternyata rasanya sedap. Rumpai laut yang segar serta hirisan Landak Laut memberikan tekstur serta rasa yang unik. Tidak hairanlah Sup Rumpai Laut sangat popular di restoran ini. Selain ‘Banchan’ dan sup, Nasi juga disediakan untuk para pengunjung.

 

BADAPUNGKYUNG-RESTORAN-MESRA-MUSLIM-DI-PULAU-JEJU-KOREA-SELATAN.jpg

 

Ikan kembung Bakar merupakan antara menu utama yang dihidangkan kepada kami. Ia menjadi kegemaran semua kerana rasanya yang sedap. Kulitnya ranggup dan isinya pula lembut, dimasak dengan sempurna. Ikan Kembung Bakar ini sesuai dimakan bersama nasi yang dihidangkan. Ia setentunya mengingatkan kami kepada hidangan seumpanya di tanahair.

 

BADAPUNGKYUNG-RESTORAN-MESRA-MUSLIM-DI-PULAU-JEJU-KOREA-SELATAN.jpg

 

Hidangan Tempura ini juga tidak kurang hebatnya. Selain Sotong, Udang dan Isi Ikan, ubi manis dan sayur-sayuran terpilih juga disertakan. Hidangan ini bersaiz besar yang cukup untuk 3-4 orang. Walaupun rasanya hampir sama seperti Tempura di restoran lain, ia tetap menjadi pelengkap hidangan buat kami.

 

BADAPUNGKYUNG-RESTORAN-MESRA-MUSLIM-DI-PULAU-JEJU-KOREA-SELATAN.jpg

 

Ikan Kerapu yang digoreng sehingga ranggup juga dihidangkan kepada kami. Ikan yang digunakan adalah segar justeru memberikan rasa manis pada isinya. Kuah yang dibuat dengan menggunakan kicap soya melengkapkan rasa keseluruhan ikan goreng ini. Ia enak dimakan begitu sahaja atau bersama dengan nasi putih yang diberikan kepada setiap pengunjung. Satu hal yang menarik adalah, pengunjung tidak perlu bersusah-payah untuk meleraikan isinya dari tulang kerana ia akan dilakukan oleh kakitangan restoran.

 

BADAPUNGKYUNG-RESTORAN-MESRA-MUSLIM-DI-PULAU-JEJU-KOREA-SELATAN.jpg

 

Kami sangat berpuas hati dengan hidangan di restoran Badapungkyung ini dan kami percaya pengunjung lain juga akan bersetuju dengan pandangan kami. Pengunjung juga pasti akan tertarik dengan layanan mesra yang diberikan oleh kakitangan restoran. Kakitangan restoran amat prihatin terutamanya terhadap keperluan pengunjung beragama Islam yang mementingkan sumber makanan yang halal. Selain itu, pihak restoran juga menyediakan ruang solat yang sempurna. Pengunjung adalah dinasihatkan untuk sentiasa membawa kelengkapan solat bersama mereka seperti Telekung dan Sejadah.

BACA:  Restoran Naritaya Osaka ini Menyajikan Makanan Halal Yang Berkualiti

 

Restoran Badapungkyung

654, Seohean-ro, Jeju-si

 

Sumber: yatieowner.com

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

error: Content is protected !!