≡ Menu

Apakah Beza Sedekah, Waqaf Dan Infaq

Perkataan sedekah, zakat, waqaf dan infaq seringkali kita guna pakai dalam kehidupan seharian. Namun, kadang-kadang timbul kekeliruan di benak kita; Siapa yang berhak menerima sedekah? Siapa pula yang berhak menerima nafkah? Apakah beza antara empat perkataan ini?

Maksud Sedekah

Sedekah bererti pemberian yang padanya dicari pahala daripada Allah Taala. Rujuk al-Ta`rifat (1/132). Manakala Ibn Manzur memberikan definisi sedekah sebagai apa yang diberikan kerana Allah kepada golongan fakir, yakni yang memerlukan. Rujuk Lisan al-Arab (10/196).

Sedekah merangkumi maksud zakat wajib, dan sedekah sunat, seperti yang dimaksudkan dalam Al-Quran:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana
(Surah al-Taubah, 9:60)

Dalam surat yang ditulis oleh Sayyidina Abu Bakar RA juga ada diterangkan tentang sedekah dan zakat:

هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِي فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى المُسْلِمِينَ

Maksudnya: Kefarduan sedekah (yakni zakat) ini ialah seperti mana yang difardukan oleh Rasulullah SAW ke atas kaum Muslimin

BACA:  Puasa-puasa di Bulan Sya'ban

Hadis riwayat Imam Bukhari (1454)

Maksud Infaq

Infaq pula menurut al-Jurjani bererti membelanjakan harta kepada yang berhajat. Rujuk al-Ta`rifat (1/39). Dalam Surah al-Baqarah ayat 3, Allah SWT berfirman:

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Maksudnya: (Orang yang beriman itu adalah) orang-orang yang beriman dengan perkara yang ghaib, menunakan solat dan mereka memberi infaq apa yang kami rezekikan kepada mereka.

Perkataan ‘ينفقون’ dalam ayat ini, menurut pilihan Imam al-Tabari, merujuk kepada pensyariatan zakat dan pemberian nafkah kepada ahli keluarga yang ditanggung. Rujuk Jami’ al-Bayan (1/244). Justeru, sedeqah dan infaq itu ialah dua perkataan yang sama maknanya.

Maksud Waqaf

Manakala waqaf dari sudut bahasa membawa maksud menahan sesuatu. Dari sudut istilah, ianya membawa maksud menahan harta yang boleh diambil darinya manfaat dalam masa yang sama mengekalkan ‘ain (bentuk rupa) harta tersebut.

Ianya menghilangkan pemilikan dan pengurusan harta tersebut dari pewakaf dan harta tersebut akan digunakan pada jalan yang dibenarkan ataupun keuntungan darinya (harta wakaf tersebut) digunakan untuk jalan kebaikan. Lihat Mughni al-Muhtaj, (2/376).

Dalam keterangan yang lebih mudah, apabila sesuatu harta benda telah diwaqafkan, maka orang yang mewaqafkannya tidak lagi berhak ke atas harta tersebut. Ianya boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk tujuan kebaikan.

Pahala orang yang berwakaf akan berkekalan selagi mana harta tersebut digunakan pada jalan kebaikan. Wakaf juga disebut sebagai sedekah jariah.

Sabda Rasulullah SAW:

إذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: Jika mati seorang manusia itu akan terputuslah catatan amalannya melainkan pada tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakan baginya kebaikan
Hadis riwayat Imam Muslim (1631)

BACA:  4 Tips Bijak Membahagikan Masa Antara Kerja Dan Ibadah

Imam Nawawi RAH menjelaskan bahawa sedekah jariah itu bermaksud wakaf. Rujuk Syarh Muslim (11/85).

Sedekah merupakan perkataan yang bersifat umum dan di bawahnya terdapat istilah-istilah yang lebih khusus seperti zakat, infaq dan waqaf. Maka, boleh dirumuskan bahawa pengertian infaq dan sedekah membawa maksud zakat wajib, sedekah sunat, dan wakaf. Manakala wakaf ialah pengertian yang lebih khusus kepada amalan wakaf seperti yang telah diterangkan di atas.

 

Sumber: tzkrh.com

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel