≡ Menu

Adakah Anda Mencari Harta Atau Mencari Keberkatan Harta?

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“…. Carilah apa-apa yang kamu hajati dari kurniaan (kelebihan) Allah.”
Surah al-Jumu’ah:10

Berdasarkan sepotong ayat al-Quran ini, apakah yang dapat kita fahami daripada mesej yang ingin disampaikan oleh Allah S.W.T kepada kita?

Adakah tujuan hidup kita ini hanya mencari harta benda sahaja? Atau, adakah kehidupan yang kita jalani ini hanya semata-mata memikirkan tentang kehidupan di dunia sahaja?

Di dalam potongan ayat ini, kita tidak diminta untuk mencari harta. Akan tetapi, fokus yang ingin disampaikan menerusi ayat tersebut ialah mencari kurniaan dan kelebihan Allah S.W.T melalui apa jua bidang yang kita ceburi.

Perkataan ‘kelebihan Allah’ yang dimaksudkan di sini ialah segala apa yang kita cari dan perolehi di muka bumi ini adalah milik Allah S.W.T secara mutlak.

Segala kurniaan dan kenikmatan yang melata di muka bumi ini adalah hak milik Allah S.W.T.

Kita hanyalah peminjam yang meminjam ‘barangan’ dari-Nya. Oleh itu, dalam hidup ini sebolehnya hindarkanlah diri daripada berlaku angkuh dan riak jika kita mendapat kurniaan yang melimpah ruah berbanding orang lain. Hakikatnya, limpahan untuk kita itu kadang ada hak orang lain di dalamnya.

Jika segala yang ada di muka bumi ini milik Allah S.W.T, maka segala perintah-Nya wajiblah kita patuhi. Bayangkan jika seseorang meminjam harta milik kita sesuka hati tanpa meminta keizinan, sudah pasti sebagai pemilik kita berasa marah di atas tindakan orang tersebut.

Maha Kasih dan Pemurahnya Allah azza wajalla di atas sifat kasih sayang-Nya kepada setiap hamba.

Maka, jelaslah di sini bahawasanya di dalam mencari harta atau apa-apa jua keperluan dalam hidup ini, apa yang perlu diutamakan adalah keberkatan daripada Allah S.W.T.

BACA:  Mari Lakukan Amal Soleh Sebelum Datang 7 Perkara

Harta dan apa jua yang kita miliki hakikatnya adalah milik Allah S.W.T dan manusia adalah khalifah di muka bumi-Nya. Wallahua’lam.

 

Sumber: tzkrh.com 

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

error: Content is protected !!