≡ Menu

7 Cara Berbakti Kepada Ibu Bapa Walaupun Mereka Telah Meninggal Dunia

7 Cara Berbakti Kepada Ibu Bapa Walaupun Mereka Telah Meninggal Dunia

Hubungan antara anak dan ibu bapa adalah hubungan yang sangat suci dan istimewa, tidak akan terputus selama-lamanya. Sekalipun telah terpisah antara dunia ini dan dunia tempat tinggal mereka di alam Barzakh, hubungan tersebut akan terus kekal dan akan bersambung hingga ke akhirat.

Yang terpisah hanya jasad. Seolah-olah ada satu pintu yang memisahkan antara dunia ini dengan dunia mereka. Dan mereka telah melalui pintu tersebut untuk menyeberang ke alam Barzakh di sebelah sana. Suatu hari nanti kita juga akan melalui pintu tersebut.

Justeru, sekalipun mereka telah tiada, masih ada beberapa amalan dan bakti yang mampu kita lakukan buat mereka. Berikut antaranya:

#1- Menguruskan Jenazah Ibu Bapa

Setelah ibu bapa meninggal dunia, perkara pertama yang boleh dilakukan untuk berbakti kepada mereka ialah menguruskan jenazah mereka secepat mungkin. Meskipun biasanya pengurusan jenazah dilakukan oleh pihak yang mahir dan terlatih, namun ambil lah peluang terakhir untuk menguruskan jenazah ibu bapa. Jika tidak tahu, maka ini masa untuk mula belajar.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

#2- Melunaskan Hutang Ibu Bapa

Sesungguhnya roh seorang anak adam itu terhalang kerana hutang, hatta semua dosa akan diampunkan bagi orang yang mati syahid kecuali hutang. Maka jika ibu bapa masih mempunyai hutang dengan siapa-siapa, usahakanlah untuk melunaskan hutang tersebut.

Jika anak dan ahli keluarga tidak mampu, maka umat Islam perlu saling membantu untuk melunaskannya. Sebaiknya bertemulah dengan pihak yang memberi hutang supaya boleh berbincang dengan lebih lanjut.

Sama juga dalam hal ibadah. Jika ibu bapa pernah berniat untuk melakukan ibadah haji contohnya, dan mereka tidak sempat untuk melaksanakannya, maka kita boleh menunaikan ibadah tersebut bagi pihak mereka.

Seorang wanita daripada Juhainah datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk melaksanakan haji akan tetapi dia tidak sempat melaksanakan haji tersebut sehingga dia meninggal dunia. Apakah boleh aku melaksanakan haji tersebut untuknya?”

BACA:  Tidak Kira Apa Alasan Diberi, Perkahwinan Jarak Jauh Bukan Perkara Digalakkan

Rasulullah menjawab: “Ya, hajikanlah dia. Apa pandangan kamu jika ibu kamu memiliki hutang, adakah kamu juga akan melunasinya? Lunaskanlah untuk Allah kerana (hutang kepada) Allah adalah lebih berhak untuk dilunasi”

#3- Melaksanakan Rancangan Atau Janji Ibu Bapa

Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu ‘anh menerangkan: Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berkata: “Apabila datang harta dari Bahrain nescaya aku akan memberi engkau sekian-sekian.” Namun harta dari Bahrain tidak datang sehinggalah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam wafat.

Ketika harta dari Bahrain sampai, Abu Bakar (radhiallahu ‘anh) memerintahkan seseorang menyeru: “Sesiapa yang memiliki janji atau hutang dengan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam datanglah kepada kami.” Maka aku datang dan berkata: “Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berjanji kepada aku sekian-sekian.” Maka dia memberi aku satu genggaman dan aku menghitungnya, ternyata jumlahnya lima ratus (dirham). Dia berkata: “Ambillah lagi seumpamanya” – (Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya , no. 2296, hadis sahih)

Kisah tersebut menunjukkan bahawa janji yang pernah diberitahu Rasulullah dilunaskan ketika baginda telah wafat dan Saidina Abu Bakar sudah menjadi pemerintah.

#4- Melakukan Kebaikan Yang Disyariatkan

Sekalipun ibu bapa telah meninggal dunia, masih ada banyak amalan yang boleh dilakukan bagi membantu mereka di hari kemudian.

“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla menaikkan darjat seorang lelaki yang soleh di syurga, lalu dia bertanya: “Wahai Tuhan! Kenapakah saya mendapat kelebihan ini?” Dijawab: “Disebabkan permohonan ampun anak kamu kepada kamu.” (Musnad Ahmad, no: 10202/10610 dengan sanad hasan)

Selain itu, pahala daripada amalan sedekah juga mampu dihubungkan kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia. Daripada ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma,

“Sesungguhnya datang seorang lelaki dan bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya ibuku meninggal dunia, apakah bermanfaat untuknya jika aku bersedekah untuknya?” Rasulullah menjawab: “Ya.” Lelaki itu lantas berkata: “Sesungguhnya aku memiliki sebuah kebun yang berbuah, maka saya persaksikan kepada engkau bahawa aku mensedekahkannya untuknya.” (Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no 2770 – status hadis sahih)

BACA:  5 Sikap Isteri Yang Mengundang Murka Allah

#5- Meneruskan Amalan Ibu Bapa Yang Baik Dan Menghentikan Yang Buruk

Rasulullah SAW bersabda bahawa: “Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun”
(Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya, no. 1017 – status hadis sahih)

Maka jika semasa ibu bapa hidup, mereka sering melakukan amalan membantu fakir miskin, mensedekahkan buku-buku untuk kegunaan kanak-kanak yang memerlukan, atau ibu selalu menjahitkan baju raya dan mensedekahkannya kepada anak-anak yatim, maka seeloknya amalan tersebut diteruskan.

Sebaliknya, jika mereka ada melakukan suatu yang salah dan bertentangan dengan syariat seperti pernah berselisih faham dengan seseorang, maka pergilah berjumpa pihak tersebut untuk meminta maaf. Jika ayah pernah menulis buku dan di dalamnya terdapat kesalahan, maka perbetulkanlah penulisan tersebut dan maklumkanlah kepada orang ramai.

#6- Mendoakan Ibu Bapa

Rasulullah SAW bersabda bahawa: Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariyahnya atau ilmunya yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya. (Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya, no. 1631 – status hadis sahih)

Doa juga antara penghubung yang paling dekat antara kita dan ibu bapa yang telah meninggal dunia. Tidak ada perkara lain lagi yang mereka perlukan setelah meninggal dunia melainkan kebaikan Tuhan hasil doa dan permohonan daripada anak-anak mereka.

Antara doa yang diajarkan di dalam Al-Quran ialah seperti berikut:

BACA:  Inilah Kemuliaan, Keberkahan, dan Keutamaan Malam Lailatul Qadar

“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’ 17:24)

#7- Menghubungkan Silaturahim

Menghubungkan silaturahim bermaksud menyambung hubungan baik yang pernah ada antara ibu bapa kita dan kenalan mereka. Walaupun ibu bapa telah meninggal dunia, kita tidak membiarkan hubungan itu terpadam begitu sahaja.Terdapat satu kisah yang boleh diambil pelajaran berkenaan anjuran menghubungkan silaturahim.

Dalam satu perjalanan ke Mekah, ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma menemui seorang Arab Badui. Lantas Ibn ‘Umar mengucapkan salam kepada beliau, menaikkan beliau ke atas keldai yang tadi ditungganginya dan kemudian memberikan beliau serban yang sedang dipakainya.

Ibn Dinar (yang menyaksikan perbuatan Ibn ‘Umar) berkata kepadanya: “Semoga Allah memperelok keadaan kamu! Sesungguhnya mereka adalah orang Arab Badui dan sesungguhnya mereka sudah mencukupi dengan sesuatu yang sedikit.” Maka Ibn ‘Umar menjawab:

“Sesungguhnya ayah orang ini adalah sahabat yang amat dicintai oleh (ayahku) ‘Umar bin al-Khaththab. Sesunguhnya aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya bakti terbaik seorang anak ialah menghubung silaturahim dengan orang yang dicintai ayahnya (Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya , no. 2552 – status hadis sahih)

Penutup

Bagi mereka yang ibu bapa mereka sudah meninggal dunia, mungkin kita ada terlepas peluang untuk berbakti kepada mereka semasa mereka hidup, namun kita masih mempunyai peluang untuk berbakti kepada mereka setelah mereka meninggal dunia.

Bagi mereka yang mempunyai ibu bapa yang masih hidup pula, berazamlah untuk mengambil tahu sedikit sebanyak perihal kehidupan ibu bapa, dengan siapa mereka berkawan, aktiviti mereka dengan orang di sekeliling serta niat dan keinginan mereka supaya maklumat tersebut dapat digunakan setelah mereka meninggal dunia. Wallahua’lam.

 

Sumber: tzkrh.com 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel