
Dunia ini adalah tempat kita mengumpulkan pahala. Disebabkan makan juga merupakan suatu ibadah, marilah kita merebut pahala bersama-sama melalui cara kita makan mahupun minum.
Sesungguhnya, kita telah disajikan dengan banyak sunnah Rasulullah SAW. Lebih-lebih lagi berkaitan dengan adab makan yang boleh kita contohi. Antara adab makan demi keberkatan dan penjagaan kesihatan adalah seperti berikut.
#1- Membaca Bismillah Serta Menggunakan Tangan Kanan
Bacalah Bismillah dan doa sebelum makan. Ini adalah kerana makanan mahupun minuman yang diambil oleh manusia sesungguhnya nikmat Allah S.W.T yang perlu disyukuri.
Tidak semua manusia di muka bumi ini yang berpeluang untuk makan dan minum seperti kita. Sabda Rasulullah S.A.W;
Wahai anakku, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah makanan yang berada dekat denganmu.
Riwayat Imam Al-Bukhari
Dalam pada itu, mengapa pentingnya makan dengan menggunakan tangan kanan? Hal ini kerana makan dengan tangan kiri diyakini dapat mengaktifkan otak kanan.
Otak kanan boleh dikaitkan dengan sifat negatif. Dan sifat negatif itu seperti meniru perbuatan syaitan. Contohnya, sifat sombong dan mementingkan diri. Menurut sabda Rasulullah S.A.W;
“Apabila kamu hendak makan dengan tangan kanan, dan apabila hendak minum, minumlah dengan tangan kanan, kerana syaitan makan dengan tangan kiri dan minum dengan tangan kiri.”
Riwayat Imam Muslim
#2- Makan Makanan Yang Berada Dekat Dengan Kita
Lebih penting lagi, kita mestilah mengutamakan makanan yang paling dekat dengan kita. Apabila kita mengutamakan makanan yang senang diraih berbanding dengan makanan yang jauh, santun kita sememangnya sempurna.
Setelah kita mengambil makanan yang berada dekat dengan kita, barulah lihat sekeliling. Adakah orang lain sudah mengambil makanan yang ada dekat dengannya atau belum? Jika sudah, barulah kita mengambil makanan yang terletak jauh dari tempat duduk kita.
Serentak itu, akhlak yang dipamer telah mengertikan bahawa setiap Muslim dilarang bersikap tamak sehingga selalu mengharapkan sesuatu yang tidak dimilikinya. Umar bin Abi Salamah melaporkan:
Suatu hari aku makan bersama Nabi SAW dan aku mengambil daging yang berada di pinggir talam, lantas Nabi SAW menyatakan, “Makanlah makanan yang berada dekat denganmu.”
Riwayat Imam Muslim
#3- Makan Menggunakan Tiga Jari Dan Menjilatnya
Menurut Imam Syafie;
“Siapa yang makan dengan satu jari, ia termasuk orang yang terlalu memaksakan diri, siapa yang makan dengan dua jari, ia termasuk orang yang sombong dan barangsiapa makan dengan tiga jari, ia termasuk orang yang mengikuti Rasulullah SAW dengan baik, dan siapa yang makan dengan lebih daripada tiga jari, maka ia termasuk orang yang rakus.”
Dari Ka’ab bin Malik R.A.;
“Aku melihat Rasulullah S.A.W makan menggunakan tiga jari (ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah).
Riwayat Imam Muslim
Rasulullah S.A.W itu makan dengan menggunakan tiga jari dan menjilat jari-jari itu sebelum dibersihkan.
Riwayat Imam Muslim

#4- Mencuci Tangan Sebelum Dan Selepas Makan
Sebelum makan, kita haruslah mencuci tangan terlebih dahulu. Ini adalah untuk mengelakkan kuman ataupun bakteria daripada merebak.
Oleh yang demikian, kita dapat mengelakkan diri daripada sebarang penyakit. Tetapi sesudah makan, kita disunatkan untuk menjilat jari, membasuh tangan dan kemudiannya berkumur. Imam Al-Baihaqi mengatakan;
Hadith tentang mencuci tangan selepas makan adalah hadith yang berstatus hasan (boleh diterima).
Adabus Syar’iyyah, 3/212
#5- Tidak Duduk Sambil Bersandar
Seterusnya, jangan pula duduk sambil bersandar. Apatah lagi makan sambil berbaring lalu tidur. Abu Juhaifah mengatakan bahawa dia berada dekat dengan Rasulullah S.A.W. Kemudian, Baginda menyatakan kepada seseorang yang berada dekat dengan Baginda;
“Aku tidak makan dalam keadaan bersandar.”
Riwayat Imam Al-Bukhari
Apabila makan sambil bersandar ke belakang, paru-paru akan terbuka. Maka, kita akan mudah tersedak. Jadi, bagaimana posisi yang boleh kita lakukan ketika makan? Ibnu Hajar mengatakan;
“Jika sudah disedari bahawa makan sambil bersandar itu dimakruhkan atau kurang utama, maka posisi duduk yang dianjurkan ketika makan adalah dengan menekuk kedua lutut dan menduduki bahagian dalam telapak kaki atau dengan menegakkan kaki kanan dan menduduki kaki kiri.”
Fathul Bari, 9: 452
#6- Mengambil Makanan Yang Jatuh
Apabila sedang makan, mungkin ada makanan yang terjatuh. Makanan yang jatuh itu boleh sahaja buah-buahan atau biskut dan sebagainya.
Selama masih boleh dibersihkan, Rasulullah S.A.W menyarankan kita untuk mengambil semula yang terjatuh itu. Daripada Jabir bin Abdillah, Rasulullah S.A.W menyatakan;
Jikalau makanan kamu jatuh, hendaklah diambil dan disingkirkan kotoran yang melekat padanya, kemudian hendaknya dimakan dan jangan dibiarkan untuk syaitan.
Riwayat Imam Muslim
Pendek kata, makanan dan minuman adalah antara nikmat terbesar dalam hidup manusia seperti kita. Oleh sebab itu, kita perlulah beradab dalam menghargai nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T ini.
Sememangnya, terdapat kebaikan dalam mengikuti apa-apa yang diajarkan Nabi Muhammad S.A.W kepada kita. Disebabkan adab makan yang diajarkan kepada masyarakat terutamanya umat Islam, amat dinantikan kita semua supaya lebih tertib ketika makan.
Sumber: Tazkirah.net
