
Rasulullah S.A.W adalah insan yang paling khuatir tentang umat Islam. Baginda S.A.W sangat mengambil berat tentang kita semua umatnya sehinggalah ke saat pengakhiran hayat Rasulullah S.A.W.
Baginda mengingati kita iaitu umat di akhir zaman yang tidak pernah bertemu dengan baginda S.A.W. Begitu hebatnya Rasulullah S.A.W mengekspresikan cinta kepada umatnya.
Bagaimana pula dengan diri kita? Sejauh mana sunnah baginda S.A.W telah kita ikuti. Bagaimana pula dengan selawat kepada Rasulullah S.A.W?
Adakah kita melazimi selawat ke atas baginda S.A.W atau hanya akan berselawat ketika waktu tertentu sahaja? Ayuhlah kita muhasabah bersama.
Rasulullah S.A.W adalah contoh terbaik yang harus kita ikuti. Rasulullah S.A.W sentiasa menyampaikan pesan kepada umatnya agar sentiasa berpegang kepada al-Quran dan Sunnah agar kehidupan kita sentiasa terpandu dan di atas landasan yang benar.
Oleh itu, sematkanlah dalam jiwa kita untuk mempelajari Al-Quran dan hadis agar dua panduan ini mampu membimbing hidup kita untuk menjadi insan yang bertaqwa. Dari Abu Hurairah R.A berkata;
“Rasulullah S.A.W bersabda: “Siapakah yang mahu mengambil kata-kata ini dari saya, untuk diamalkan atau untuk diajarkan?” Abu Hurairah R.A menjawab: “Saya, wahai Rasulullah! Baginda lalu memegang tanganku lalu mulai menghitung lima hal, seraya bersabda: “Hindarilah hal-hal yang diharamkan, kamu akan menjadi orang yang paling bagus ibadahnya, redhalah terhadap apa yang Allah bagikan untukmu, kamu akan menjadi orang terkaya, berbuat baiklah kepada tetanggamu, kamu akan menjadi orang mukmin, cintailah untuk orang lain apa yang kamu cintai untuk dirimu sendiri, kamu akan menjadi muslim, dan janganlah engkau banyak tertawa, karena banyak tertawa akan mematikan hati.”
Sahih Bukhari
Wasiat 1: Jagalah Dirimu Dari Yang Haram
Nescaya engkau akan menjadi orang yang paling baik dalam beribadah. Dari Abu Hurairah R.A berkata;
“Rasulullah S.A.W bersabda: “Siapakah yang mau mengambil kata-kata ini dari saya, untuk diamalkan atau untuk diajarkan ?” Abu Hurairah r.a menjawab: “Saya, wahai Rasulullah ! Baginda lalu memegang tanganku lalu mulai menghitung lima hal, seraya bersabda: “Hindarilah hal-hal yang diharamkan, kamu akan menjadi orang yang paling bagus ibadahnya…”
Sahih Bukhari
Dalam kehidupan ini, kita sangat diuji dengan kemewahan dunia dan sering menghampiri dengan perkara syubhah. Maka, hati-hati!
Jangan kerana turutkan kemahuan dan nafsu kita, kita tidak hiraukan yang mana halal dan haram. Apa yang kita makan dan kita lakukan akan memberi kesan pada keseluruhan kehidupan kita.
Ingatlah sahabat sekalian, apa yang kita lakukan sentiasa dalam pengetahuan Allah. Sesungguhnya Allah melihat , malaikat pula tidak alpa daripada mencatat.
Wasiat 2: Syukur Selalu
Berpuas hatilah dengan kurnia yang Allah S.W.T berikan kepadamu nescaya kamu akan menjadi orang yang paling kaya.
“….redalah terhadap apa yang Allah bagikan untukmu, kamu akan menjadi orang terkaya…”
Sahih Bukhari
Belajarlah erti syukur dengan segala nikmat dan didikan dari-Nya. Jangan hanya mengharapkan kebaikan-kebaikan sahaja yang datang setelah kita melakukan ibadah kepada Allah. Ikhlas adalah tunjang yang paling besar dalam kehidupan beribadah.
Andai kita melakukannya hanya kerana ingin diberi balasan yang baik-baik sahaja tanpa kita sanggup berdepan dengan pelbagai dugaan yang telah Allah sediakan, dan kita tidak mahu belajar reda, kita sebenarnya tergolong di dalam golongan yang tidak bersyukur.
Wasiat 3: Melakukan Kebaikan Kepada Jiran
Berbuat baiklah kepada tetanggamu, nescaya kamu akan menjadi mukmin sejati.
“…berbuat baiklah kepada tetanggamu, kamu akan menjadi orang mukmin…”
Sahih Bukhari
Membuat kebaikan memang meletihkan tetapi ganjarannya sangat besar. Bagaimana hendak membuat kebaikan tanpa rasa letih? Lebih-lebih lagi apabila kita ingin membuat kebaikan kepada tetangga yang mempunyai pelbagai ragam.
Maka, jawapannya adalah buatlah apa jua kebaikan kepada sesiapapun kerana cinta Allah. Hal inilah yang akan membahagiakan hati kita. Bukan mengharapkan balasan semula daripada manusia. Kelak kita akan kecewa.
Tetangga adalah orang yang kedua terhampir setelah keluarga kita. Memiliki tetangga yang baik merupakan satu nikmat yang mesti kita syukuri.
Namun, mendapat tetangga yang menguji emosi dan hati kita juga harus kita syukuri kerana ujian itu tanda cinta Allah dan salah satu cara untuk meningkatkan darjat kita. InsyaaAllah.

Wasiat 4: Cintai Orang Lain Seperti Kamu Mencintai Dirimu
Cintailah manusia sebagaimana kamu mencintai dirimu sendiri, nescaya kamu akan menjadi muslim yang sempurna.
“…cintailah untuk orang lain apa yang kamu cintai untuk dirimu sendiri, kamu akan menjadi muslim…”
Sahih Bukhari
Berkasih sayang sesama manusia akan melahirkan suasana yang penuh sakinah dan rahmah. Islam mendidik kita agar mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga dan jiran tetangga supaya kita dapat membina masyarakat Muslim yang bertaqwa.
Orang yang tiada kasih sayang adalah orang yang tiada taqwa. Mengapa? Kerana taqwa itu dicapai daripada hati yang suci, hati yang tiada hasad dengki, hati yang ikhlas dan penuh dengan kasih sayang.
Tanamkan sifat belas kasihan dan kasih sayang bukan sahaja sesama manusia tetapi kepada alam sekitar, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Inilah salah satu ciri-ciri individu Muslim yang baik.
Sayangilah saudara kita sebagaimana kita menyayangi diri kita sendiri. Buanglah sikap mementingkan diri sendiri keran hakikatnya kita hidup di dunia ini kita saling memerlukan dan melengkapi.
Wasiat 5: Tidak Terlampau Banyak Bergurau
Janganlah banyak bergurau kerana banyak bergurau itu akan mematikan hati.
“…dan janganlah engkau banyak tertawa, karena banyak tertawa akan mematikan hati.”
Sahih Bukhari
Bersederhanalah dalam kehidupan kita. Islam sangat fleksibel dan bersederhana dalam setiap perkara. Jangan pula terlalu ekstrim dan longgar.
Wasatiah atau bersederhana tetapi sempurna dalam beramal. Dalam cara kita berhibur dan bergurau senda, bersederhanalah agar ia tidak menghampiri kepada kelalaian dan menghilangkan pahala amal.
Rasulullah S.A.W berpesan agar kita tidak terlalai dengan keindahan dunia yang hakikatnya sementara. Perkara yang sering kita dengar bahawa dunia itu cumalah mainan fatamorgana.
Namun, masih lagi ada yang sering tertipu dengan keasyikan dunia sehinggakan lupa akan akhirat yang menjadi kehidupan kita yang sebenar.
Oleh sebab itu, kita harus ingat bahawa banyakkanlah amal dan sungguh-sungguh dalam bermujahadah melawan tipu daya yang datang.
Teringat pesanan bahawa jika kita mengetahui tentang azab di akhirat kelak nescaya kita akan lebih banyak menangis dari tertawa. Astaghfirullahal ‘azim.
Tanda Cinta
Tidak ada sebab lain melainkan tanda cinta Baginda S.A.W kepada kita. Rasulullah S.A.W sangat bimbang jika umatnya terlalu lalai dengan keindahan dunia yang sementara sehingga lupa untuk membawa amal yang ikhlas untuk akhirat kelak.
Rasulullah S.A.W tidak mahu umatnya merasakan azab neraka, namun mengapa kita sendiri yang menempah nama di sana?
Rasulullah S.A.W yang telah dijamin syurga itu tidak pernah berhenti beribadah kepada Allah inikan pula kita hamba yang berdosa setiap saat mengapa kita tidak bersungguh-sungguh umpama nama kita sudah ditempah di syurga? Tepuk dada tanya jiwa apa khabar iman?
Oleh itu, setiap hari tanamkanlah azam untuk memperbaiki diri dan amal. Ingatlah, hati itu mesti teguh mengingati Allah.
Hati itu juga mesti kukuh beriman kepada-Nya. InsyaaAllah hati yang sedemikian tidak akan tercalar oleh kesusahan dan teralpa oleh kesenangan.
Sumber: Tazkirah.net