Islam sentiasa menggalakkan penganutnya supaya sentiasa memperbaiki amalan di segenap sisi kehidupan. Sesuai dengan perkembangan teknologi, kini kita ada banyak aplikasi yang dapat membantu mencapai tujuan tersebut. Berikut adalah senarai aplikasi yang boleh membantu anda dalam kehidupan seharian:
#1- Muslim Go
Muslim Go merupakan salah satu aplikasi yang sangat bermanfaat pagi pengguna Muslim. Ia telah dimuat turun lebih kurang oleh satu juta pengguna. Aplikasi ini juga telah diiktiraf oleh Jakim dan mengandungi sejumlah kandungan agama seperti Notifikasi Azan, Waktu Solat yang tepat mengikut lokasi pengguna, direktori tempat makanan halal, Al-Quran berserta audio dan juga kalendar Hijrah.
Dalam versi yang dikemaskini pada bulan Ogos yang lalu, aplikasi ini memberi kelebihan baru kepada pengguna dengan membolehkan pengguna memuat naik, berkongsi artikel-artikel serta membaca sendiri artikel-artikel daripada penceramah terkenal Malaysia seperti Ustaz Don Daniyal, Ustaz Azhar Idrus dan juga Ustaz PU Rahman.
#2- Muslim Pro
Muslim Pro pula hadir dengan kandungan yang hampir sama dengan Muslim Go. Ia juga mempunyai kandungan asas yang kebanyakannya terdapat dalam aplikasi islamik yang lain seperti Quran, waktu azan, waktu solat , arah kiblat, kalendar Hijrah, direktori masjid terdekat dan tempat makan halal.
Namun fungsi Al Qurannya mempunyai kelebihan dari segi paparan ayat tajwid berwarna yang memudahkan pembaca. Aplikasi ini juga mempunyai kandungan yang menarik seperti Kata-Kata Inspirasi Harian dan Kalkulator Pengiraan Zakat
#3- Zayan
Aplikasi Zayan merupakan sebuah platform audio dan muzik yang membolehkan pengguna mendengarnya dari mana sahaja. Dalam sebuah petikan akhbar, Pengurus Kandungan stesen radio ini, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata bahawa Zayan membawa pendekatan gaya hidup Muslim moden yang lain daripada stesen radio yang lain. Ia menawarkan alternatif hiburan yang lebih baik bagi pengguna lebih-lebih lagi pengguna Muslim moden.
Selain itu Zayan juga menawarkan fungsi seperti penunjuk arah kiblat, pengiraan tasbih, kata-kata hikmah, checklist amalan tambahan harian serta kad ucapan digital.
#4- Muslim Central
Kita sering mencari-cari pengisian tazkirah atau ceramah yang boleh didengari pada waktu lapang atau mengisi waktu ketika menunggu. Muslim Central ialah aplikasi audio digital yang menyediakan sejumlah senarai pengisian ceramah. Ianya terdiri daripada lebih 120 penceramah terkenal dari seluruh dunia seperti Nouman Ali Khan, Bilal Philips, Hamza Yusuf, Ibrahim Nuhu dan banyak lagi.
Antara fungsi yang juga ditawarkan oleh aplikasi ini ialah pengguna boleh membuat playlist sendiri, menyimpan, memuat turun, berkongsi senarai dengan pengguna telefon pintar yang lain serta sleep time.
#5- Semak Hadis
Memastikan kesahihan sesuatu hadis adalah perkara yang sangat penting dalam kehidupan seseorang Muslim. Ada pihak yang kadangkala masih menyebarkan hadis yang tidak diketahui taraf kesahihannya malah menyebabkan orang ramai berpegang pula kepadanya.
Aplikasi Semak Hadis adalah sebuah aplikasi yang dapat membantu para pengguna untuk menyemak hadis terlebih dahulu sebelum mengguna pakainya atau menyebarkannya kepada orang ramai.
Semoga dengan kesemua aplikasi yang telah dikongsikan ini, umat Islam di luar sana dapat mengambil manfaat sekaligus menambahbaik amalan dalam kehidupan seharian.
Sumber: tazkirah.net