≡ Menu

4 Amalan Sunat Yang Boleh Dilakukan Sebelum Memasuki Rumah Baru

4 Amalan Sunat Yang Boleh Dilakukan Sebelum Memasuki Rumah Baru

Setiap orang pasti mengimpikan untuk memiliki kediaman idaman sendiri. Tidak kiralah sama ada ia adalah rumah banglo setingkat atau rumah tradisional yang terletak di tengah-tengah bendang, itu adalah cita rasa masing-masing.

Untuk menggapai impian itu, pastinya kita memerlukan usaha yang jitu. Dalam masa yang sama tidak boleh sambil lewa dalam meletakkan perancangan.

Namun, buat mereka yang telah berjaya mempunyai rumah idaman, pastinya ia adalah sebuah pencapaian yang cukup besar dan mampu membuatkan anda tersenyum saat teringat akan penat lelah anda dalam menggapainya.

Walau bagaimanapun, buat mereka yang baru ingin memasuki rumah baru, jangan dilupa akan adab dan perkara-perkara yang boleh diamalkan.

Walaupun dalam hal ini tiada amalan khusus yang diperintahkan, namun ilmuwan menyebut bahawa tidak salah untuk kita mengambil langkah berdoa agar tempat baru kita itu diberkati dan dilindungi olehNya.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Antara amalan yang boleh dilakukan ialah;

#1 – Membaca Surah Al-Baqarah

Dianjurkan buat kita membaca surah Al-Baqarah apabila memasuki rumah yang baru atau kosong yang sudah lama ditinggalkan.

Ini adalah sebagai salah satu langkah melindungi daripada perkara-perkara ghaib atau yang tidak diingini daripada berlaku.

Imam Ahmad juga menyebut bahawa ia boleh melindungi diri daripada syaitan, manakala Imam Bukhari menyebut bahawa malaikat akan bersama di dalam rumah yang diamalkan surah ini.

Daripada Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Janganlah kamu semua menjadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah Al-Baqarah.” (Hadis Riwayat Muslim, no.780)

#2 – Membaca Basmallah Dan Berzikir

Mengingati Allah sama ada dengan mengamalkan zikir-zikir pelindung, membaca basmallah dan juga doa keluar dan masuk rumah boleh membantu melindungi diri dan rumah tersebut daripada anasir-anasir jahat.

BACA:  Makkah Live 2

Maksud: “Apabila seseorang masuk ke dalam rumah, lalu dia mengingati Allah ketika masuk dan ketika makan, maka syaitan akan berkata: “Tidak ada tempat menginap dan tiada makan malam.” Tapi, apabila dia tidak mengingati Allah, maka syaitan berkata: “Kalian mendapatkan tempat menginap.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2018)

#3 – Menunaikan Solat Sunat Keluar Dan Masuk Rumah

Imam Al-Munawi berkata, seseorang yang ingin keluar dari rumah boleh mengamalkan solat sunat sebanyak dua rakaat. Ia adalah sama juga dengan mereka yang sudah memasuki rumah.

Hikmahnya disebutkan supaya Allah memelihara daripada keburukan sama ada di luar dan juga di dalam rumah.

Daripada Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Jika engkau (ingin) keluar dari rumahmu, maka laksanakanlah solat dua rakaat (yang dengan) dua rakaat ini akan menghalangimu dari keburukan yang berada di luar rumah. Jika engkau masuk ke dalam rumah, maka laksanakanlah solat dua rakaat (yang dengan) dua rakaat ini akan menghalangimu dari keburukan yang ingin masuk ke dalam rumah.” (Hadis Riwayat Al-Bazzar, dinilai sahih oleh Ibnu Hajar Al-Haitami)

#4 – Melafazkan Salam

Seperti kita ketahui, lafaz salam ini adalah sunat, sama ada rumah itu berpenghuni atau tidak.

Namun, jika rumah yang dimasuki itu adalah kosong, maka disunatkan dengan membaca lafaz salam – السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين

Hal ini kerana, kita tidak mengetahui apa yang ada di dalamya. Mata kasar kita hanya mampu melihat apa yang boleh dilihat sahaja. Justeru, adalah lebih baik untuk kita memberi salam secara umum.

Daripada Nafi’, Abdullah bin Umar RA berkata:

Maksud: “Jika engkau memasuki suatu rumah yang tidak berpenghuni, maka katakanlah: Assalamu ‘alaina wa ‘ala ibaadillahis solihin (salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh).” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1055)

BACA:  Masya Allah, Kisah 4 Nabi yang Masih Hidup Sampai Saat Ini

Kesimpulan

Banyak lagi amalan yang selalu dilakukan oleh masyarakat kita seperti membuat kenduri kesyukuran atau membaca Yaasin dan sebagainya.

Ia boleh dilakukan dengan meniatkan perkara yang baik-baik dan supaya Allah melindungi diri dan rumah tersebut.

Namun, jangan dilakukan dengan niat yang salah sehingga boleh menimbulkan syirik atau riak.

Rujukan: Mufti Wilayah

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel