Siapa yang tidak terpukau apabila mendengar kata-kata orang yang kelihatan berkeyakinan dalam ucapan mahupun perbuatannya.
Pengarang buku “The Confidence Code”, Katy Kay dan Claire Shipman melakukan kajian mendalam tentang bagaimana seseorang boleh meningkatkan keyakinan diri. Rahsianya adalah dengan ‘memilih untuk berubah’. Keputusan di tangan kita sama ada ingin memperbaiki diri atau tidak.
Di saat kita memilih untuk maju ke hadapan, saat itulah keyakinan akan mula masuk perlahan-lahan. Dengan teknik atau cara yang betul, seseorang itu boleh meningkatkan keyakinan diri.
Tetapi perlu diingat, syarat untuk sampai ke destinasi yang diingini, kita tidak boleh takut kepada kegagalan. Mari lihat lebih mendalam apa yang boleh dilakukan untuk menjadi seorang yang berkeyakinan:
#1- Berkawan Dengan Orang Yang Berkeyakinan
Seseorang itu akan mengikut sifat sahabatnya. Maka perhatikan kelompok kenalan yang ada di sekeliling kita. Angela Duckworth dalam buku best-sellernya “Grit”, berkata bahawa salah satu cara untuk mempunyai sikap atau sifat yang diingini adalah dengan bergaul dengan kelompok yang memiliki sikap tersebut. Itu cara paling mudah untuk ‘menyerap’ sikap tersebut kerana manusia akan dipengaruhi persekitarannya.
Maka, jika anda ingin jadi seorang yang yakin, bergaul lah dengan orang yang memiliki keyakinan yang tinggi. Anda akan mula berfikir dan bertindak seperti mereka.
#2- Usaha Yang Berterusan
Untuk mengubah sikap atau tabiat memang memerlukan masa. Orang yang hebat seperti atlet pun melakukan latihan setiap hari sebelum berjaya memecah sesuatu rekod. Ia bukan kerja sehari. Keyakinan adalah suatu proses yang memakan masa.
Keyakinan hadir apabila kita tahu bahawa kita mampu menyelesaikan tugasan sehingga memuaskan hati sendiri. Kesibukan tidak bermakna apa yang kita lakukan produktif. Usaha yang mungkin terlihat perlahan tetapi berterusan inilah yang akan menatijahkan hasil yang diingini kelak.
Apabila anda melakukan kerja dengan cemerlang setiap hari, keyakinan akan hadir dengan sendirinya.
#3- Jangan Takut Gagal
Seorang pakar motivasi dan penulis buku Chicken Soup for The Souls, Nisa Nichols dalam ucapannya berkata bahawa guru sekolahnya pernah berkata bahawa dia adalah penulis yang paling teruk pernah dijumpai.
Guru bahagian pengucapan awamnya pula memberi beliau D dalam subjek tersebut dan berkata dia tidak boleh bercakap di khalayak ramai. Namun lihatlah siapa beliau sekarang. Seorang pakar motivasi yang lantang bercakap dan penulis yang memberi inspirasi kepada banyak orang.
Jika kita tahu apa yang kita mahu capai dalam hidup dan bersungguh-sungguh berusaha ke arahnya, pendapat negatif tentang diri kita tidak bermakna apa-apa.
Sumber: Tazkirah.net