≡ Menu

10 Kunci Rezeki Menurut Al-Quran Dan Al-Sunnah

10 Kunci Rezeki Menurut Al-Quran Dan Al-Sunnah

Rezeki termasuk dalam urusan yang dirahsiakan Allah subhanahu wa ta’ala. Tidak ada seorang manusia pun mengetahui pada waktu bilakah rezekinya akan ditentukan. Harta, wang dan kerjaya merupakan sebuah nikmat rezeki yang kurniakan kepada manusia baik cepat mahupun lambat.

Kelebihan yang dimiliki terkadang menyebabkan sebahagian pihak cemburu melampau-lampau sehingga menghunuskan api kebencian dan permusuhan secara senyap. Allahul Musta’an. Rezeki mahupun nikmat dan kelebihan yang dianugerahkan kepada seseorang tidak sepatutnya memutuskan hubungan persaudaraan. Sebaliknya, setiap manusia perlu mempelajari bagaimana usaha, doa dan kunci ibadah mereka kepada Allah ta’ala.

Mempertekunkan diri dalam mengerah tenaga demi mencapai puncak rezeki yang halal dan berlipat ganda. Bersangka baik bahawa mereka ialah hamba-hamba yang terpilih kerana berhasil menjadi hamba yang soleh, taat dan bertakwa. Tidak mengabaikan apa pun perkara yang boleh menolak rezeki daripada diturunkan.

Islam telah memberikan syarat-syarat yang perlu dilaksanakan untuk mempermudahkan lagi urusan rezeki agar tidak sempit di dunia. Syaikh Dr. Fadhl Ilahi menyenaraikan terdapat 10 syarat bagi seorang muslim mendapatkan rezekinya.

Syarat 1 – Istighfar Dan Taubat

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Memohon ampun kepadaNya dan bertaubat melalui perkataan dan perbuatan. Ada 3 syarat agar dosa-dosa itu diampuni.

Pertama, hendaknya dia menjauhi maksiat tersebut. Kedua, dia harus menyesali perbuatan (maksiat) nya. Ketiga, dia harus berkeinginan untuk tidak mengulanginya lagi. Jika salah satunya hilang, maka taubatnya tidak sah. Jika taubat itu berkaitan dengan manusia maka syaratnya termasuk empat.

Ketiga syarat di atas dan keempat, hendaknya dia membebaskan diri (memenuhi) hak orang tersebut. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya. Jika berupa had (hukuman) tuduhan atau sejenisnya maka ia harus memberinya kesempatan untuk membalasnya atau meminta maaf kepadanya. Jika berupa ghibah maka dia harus meminta maaf.

BACA:  Jauhi Maksiat Supaya Kasih Sayang Tidak Dicabut

Syarat 2- Bertakwa

Takwa bermaksud menjaga jiwa daripada melakukan perbuatan dosa, meninggalkan apa yang diharamkan. Dengan adanya sifat takwa ini, Allah membukakan pintu-pintu rezeki kepada hambaNya.

Syarat 3- Tawakal Kepada Allah

Tawakal bermaksud menyandarkan diri atas urusan dunia yang dilakukan. Termasuklah dalam soal rezeki. Orang yang berusaha dan bersabar apabila meletakkan sandarannya kepada Allah melalui sifat tawakal, maka Allah akan beri rezeki dari arah tidak disangka-sangka. Sungguh, kesabaran itu sangatlah payah kecuali orang-orang yang beriman.

Syarat 4- Beribadah Sepenuhnya kepada Allah

Beribadah dengan hati dan jasad yang khusyuk, dan merendahkan diri di hadapan Maha Pencipta. Sesiapa yang beribadah kepada Allah dengan niat yang ikhlas, Allah beri kekayaan baginya. Betapa ramai, yang beribadah tetapi tidak ikhlas dan khusyuk.

Syarat 5- Mengerjakan Haji Dengan Umrah.

Imam Ahmad, At-Tirmidzi, An-Nasa’i, Ibnu Hibban meriwayatkah daripada Abdullah bin Mas’ud berkata Rasulullah SAW bersabda :

“Kerjakanlah haji dengan umrah, kerana sesungguhnya keduanya menghilangkan kemiskinan dan dosa, sebagaimana api dapat menghilangkan kotoran besi, emas dan perak. Dan tidak ada pahala haji yang mabrur itu melainkan Syurga.”

Syarat 6- Silaturrahim

Dalam hadis riwayat Al-Bukhari daripada Anas bin Malik bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :

“Siapa yang suka untuk dilapangkan rezekinya dan di akhirkan usianya (dipanjangkan umurnya), hendaklah dia menyambung silaturrahim.”

Syarat 7- Infak Di Jalan Allah

Yang dimaksudkan adalah infak yang dianjurkan dalam agama. Seperti berinfak kepada orang-orang fakir dan berinfak di jalan Allah untuk menolong agama.

Syarat 8- Berinfak Kepada Penuntut Ilmu Syari’ Sepenuhnya

Firman Allah ta’ala,

“(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah, mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi, orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri daripada meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” [Surah Al-Baqarah 2:273]

BACA:  Bilakah Doa Akan di Makbul Oleh Allah SWT?

Syarat 9- Berbuat Baik Kepada Orang-orang Yang Lemah

Imam Ahmad, Abu Daud, At-Tirmidzi, An-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Darda bahawasanya dia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :

“Carilah (keredaan) ku melalui orang-orang lemah di antara kalian. Kerana sesungguhnya kalian diberi rezeki dan ditolong dengan sebab orang-orang lemah di antara kalian.”

Syarat 10- Hijrah Di Jalan Allah

Yakni keluar dari negeri kafir ke negeri orang-orang beriman untuk mencari keredaan Allah sesuai dengan syar’iatNya yang memungkinkan untuk dia mendapatkan kebaikan dan kenikmatan.

Sesungguhnya, rezeki mempengaruhi tingkah laku, pekerjaan dan cara interaksi seseorang kepada Maha Pencipta dan manusia. Setiap manusia senantiasa diperingatkan agar menjaga hubungannya sebaik mungkin kepada Ar-Razzaq (Yang Maha Pemberi Rezeki), mengerjakan segala kewajipan dan memelihara hubungan sesama manusia, tidak menyakiti hati jiran mahupun rakan taulan.

Tuntasnya, jika antara 10 syarat yang dinyatakan berjaya dipraktikkan dalam kehidupan, yakinlah bahawa Allah pasti menjaga lubuk rezekinya dengan izinNya. Ketahuilah, syarat-syarat tersebut ialah jambatan menuju pintu-pintu rezeki dibukakan.

 

Sumber: tzkrh.com

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel