≡ Menu

Wajarkah Membunuh Cicak Kerana Dosa Moyangnya?

‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بِقَتْلِ الْوَزَغِ وَقَالَ كَانَ يَنْفُخُ عَلَى إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَم‏‏‏

Maksud: Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan supaya membunuh cicak. Dan Baginda SAW bersabda; “Sesungguhnya cicak itu meniup (menyemarakkan) api yang membakar Ibrahim AS”
(Hadis Riwayat Bukhari 3359 – Status hadis sahih)

Cicak merupakan seekor binatang pembunuh atau dikenali sebagai fawahish al-khams, iaitu serangga perosak. Rasulullah telah menyuruh supaya umatnya membunuh cicak kerana ia bersifat kotor dan boleh mengganggu kebersihan tempat ibadah serta kesihatan diri sendiri.

Terdapat banyak lagi dalil yang disyariatkan supaya membunuh cicak. Antaranya termasuk yang telah diriwayatkan oleh Saad bin Abi Waqas:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بِقَتْلِ الْوَزَغِ وَسَمَّاهُ فُوَيْسِقًا

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Sesungguhnya, Nabi SAW memerintahkan supaya membunuh cicak, dan disebutnya sebagai fuwaisiq (binatang kecil yang mendatangkan kerosakan).

(Hadis Riwayat Muslim 2238)

Malah, jika kita membunuh cicak, Allah akan memberi ganjaran pahala. Ini juga telah disebut melalui riwayat nabi daripada Abu Hurairah RA:

‏ ‏ مَنْ قَتَلَ وَزَغًا فِي أَوَّلِ ضَرْبَةٍ كُتِبَتْ لَهُ مِائَةُ حَسَنَةٍ وَفِي الثَّانِيَةِ دُونَ ذَلِكَ وَفِي الثَّالِثَةِ دُونَ ذَلِكَ

Maksud: Barang siapa yang membunuh cicak dengan satu pukulan, diganjarkan kepadanya seratus kebaikan, dan sekiranya pada pukulan kedua, ganjarannya kurang daripada yang pertama dan sekiranya pada pukulan ketiga, ganjarannya kurang daripada yang kedua.

(Hadis Riwayat Muslim 2240 – Status hadis sahih)

Menurut pandangan ulama’, sunat hukumnya membunuh cicak bukan kerana kisah nabi Ibrahim AS, malah kerana cicak merupakan binatang yang kotor dan boleh mengakibatkan penyakit.

BACA:  10 Keistimewaan Madinah Yang Patut Anda Ketahui

Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Prof Thimas Wood daripada Universiti Texas, beliau berkata bahawa cicak mengandungi bakteria yang sangat berbahaya, iaitu bakteria Escherichia atau dikenali sebagai E-coli yang boleh mengakibatkan sakit perut dan mengganggu sistem kesihatan badan.

Jika diamati, cicak boleh mengeluarkan najisnya di merata-rata tempat, hatta jika kita sedang solat sekali pun, cicak boleh melampiaskan najisnya ke atas kepala kita.

Oleh itu, suruhan nabi supaya membunuh cicak bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Ada yang berpendapat bahawa, jika sunat membunuh cicak berdasarkan kisah Nabi Ibrahim, maka itu tidak wajar kerana dosa yang dilakukan adalah oleh seekor cicak tersebut sahaja dan tidak wajar menghukum keturunan cicak yang lain.
Namun, suruhan nabi itu adalah berdasarkan kotoran dan penyakit yang dibawa oleh cicak tersebut.

Walau bagaimanapun, hukum ini jatuh kepada cicak yang membuat kotoran di rumah, masjid atau tempat kediaman kita sahaja. Jika cicak itu duduk diam sahaja di hutan dan tidak membuat buruk kepada kehidupan kita, maka tidak mengapa membiarkannya hidup.

Kisah Nabi Ibrahim Dan Cicak

قَالَ أَتَعْبُدُونَ مَا تَنْحِتُونَ . وَاللَّـهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ . قَالُوا ابْنُوا لَهُ بُنْيَانًا فَأَلْقُوهُ فِي الْجَحِيمِ. فَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الْأَسْفَلِينَ

(Bagi menjawab bantahan mereka), ia berkata: “Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat? Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!”. (Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: “Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu.” Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya).

BACA:  Meninggal Ketika Keluar Mencari Nafkah, Adakah Dikira Syahid

(Surah as-Saffat, 37:95-98)

Kisah Nabi Ibrahim yang telah dibakar hidup-hidup oleh pemerintah pada zaman itu, iaitu Raja Namrud telah dirakamkan di dalam kitab suci Allah melalui ayat di atas.

Walau bagaimanapun, betapa hebatnya kekuasaan Allah sehinggakan api tersebut tidak membakar Nabi Ibrahim. Hal ini kerana, Allah telah memerintahkan mahkluk-Nya itu untuk tidak membakar Nabi Ibrahim. Hal ini telah diceritakan di dalam al-Quran yang berbunyi:

قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ

Maksud: Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!”

(Surah al-Anbiya’, 21:69)

Ibn Kathir telah menyebut melalui kitabnya, iaitu Tafsir al-Quran al-Azim, bahawa semua binatang di muka bumi ini cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim AS kecuali cicak.

Hal ini telah disebut melalui hadis riwayat Ibn Hatim, daripada ‘Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Ibrahim tatkala dicampakkan ke dalam api, semua binatang yang melata di bumi ini cuba untuk memadamkan api kecuali cicak, kerana sesungguhnya ia (cicak) meniupkan api ke atas Nabi Ibrahim.”

Ramai yang menyaksikan peristiwa itu takjub apabila Nabi Ibrahim tidak hangus dibakar malah tiada langsung kecederaan pada dirinya. Itulah bukti kekuasaan Allah SWT.

Melalui kisah ini, kita dapat simpulkan bahawa cicak berada di pihak yang salah dan ia wajar dibunuh. Selain untuk menjaga kebersihan tempat ibadah, ia juga untuk mengingatkan kita mengenai sirah nabi-nabi.

Mufti Wilayah

 

Sumber: tzkrh.com 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel