≡ Menu

Wanita Bekerja Di Atas Kapal

Wanita Bekerja Di Atas Kapal

Pertanyaan kami ialah: Dari pandangan konsep Melayu Islam Beraja (MIB) yang diamalkan di Negara Brunei Darussalam, kami ingin mendapatkan pandangan dari pihak Dato berhubung dengan mengambilan rekrut wanita sebagai Pegawai Marin atau kelasi-kelasi yang bertugas dalam kapal ‘B’.

Jawapan:

Matlamat utama kehidupan kita di dunia ini ialah untuk memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Namun kehidupan akhirat itu adalah lebih diutamakan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (Surah al-An‘âm: 32)

Untuk mencapai kebahagiaan di akhirat itu, mestilah corak kehidupan di dunia ini berjalan di atas landasan hukum syariat Allah Subhanahu wa Ta‘ala iaitu ajaran Islam. Adapun cara kehidupan yang berpandukan ajaran-ajaran lain adalah ditolak kerana ia akan mendatangkan kerugian kepada pengikutnya di akhirat nanti. Ini ditegaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Tafsirnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada Hari Akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi.”
(Surah Âli ‘Imran: 85)

Dengan demikian apapun usaha, tingkah laku dan budaya yang hendak kita lakukan mestilah menurut ketetapan syariat Islam termasuklah dalam memilih dan menyusun organisasi sesuatu pekerjaan.

Bagi kaum wanita, tugas yang pertama dan utama, yang tidak ada pertikaian mengenainya, ialah mengasuh dan mendidik generasi – anak-anaknya – sesuai dengan fihtrah yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada mereka secara fizikal dan kejiwaan. Mereka perlu mengutamakan tugas dan tanggungjawab yang besar dan mulia ini dan tidak wajar menafikannya dengan kerja-kerja kebendaan. Dalam mengendalikan tugas tersebut tidak seorang lelaki pun yang dapat mengambil alih tempat mereka seperti tugas menyusukan anak. Peranan ini juga menggambarkan bahawa masa depan suatu umat itu lebih banyak bergantung kepada corak asuhan dan didikan awal kaum wanita terutama dalam melahirkan manusia sebagai aset yang berguna.

Di samping itu tugas dan tanggungjawab kaum wanita juga ialah menjaga dan memelihara rumahnya, membahagiakan suaminya, membentuk keluarga bahagia dengan berasaskan harmoni, kasih sayang dan rahmat. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan Dia menjadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah ar-Rum: 21)

BACA:  Muntah Tidak Membatalkan Wuduk?

Adapun tugas mencari nafkah untuk menyara ahli keluarga itu wajib ditanggong oleh kaum lelaki terutama orang yang menjadi ketua keluarga seperti bapa atau suami. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana itu Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisâ’: 34)

Ini bererti kaum wanita tidak dipertanggungjawabkan untuk menyara hidup ahli keluarganya.

Keterangan di atas jelas menunjukkan bahawa tugas utama seorang wanita itu ialah mengurus rumahtangganya sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu.” (Surah al-Ahzâb: 33)

FirmanNya lagi: Tafsirnya: “Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka dan janganlah mereka diizinkan keluar kecuali kalau mereka mengerjakan perbuatan keji yang nyata.” (Surah ath-Thalâq: 1)

Walau bagaimanapun tidaklah ia bermaksud atau memberi pengertian bahawa wanita yang bekerja di luar rumah itu haram menurut syara‘ secara mutlak kerana tidak ada nash syara‘ yang sabit mengenainya.

Pada dasarnya wanita diharuskan bekerja di luar rumah. Bahkan ada kalanya tuntutan bekerja itu perlu – kalaupun tidak wajib – jika keadaan menghendakinya, seperti mencari nafkah bagi janda atau perempuan yang ditalak dalam keadaan tidak ada sumber nafkah atau kekayaan dan keluarga yang ada tidak boleh menampung keperluan hidupnya, sedang dia sendiri mampu mencari rezekinya sendiri. Dalam keadaan sedemikian, bekerja di luar rumah itu adalah lebih baik baginya daripada hidup merempat meminta-minta atau mengharapkan belas kasihan orang, selama mana kerja tersebut tidak mencemarkan kemuliaan dirinya dan agamanya.

Ada kalanya juga keluarga seseorang perempuan itu memerlukannya bekerja kerana tidak ada tempat berharap seperti membantu suaminya yang uzur untuk memenuhi keperluan ahli keluarganya yang masih kecil atau membantu

bapanya yang sudah tua. Contohnya, dalam kisah Nabi Syu‘aib ‘Alaihis shalatu wassalam yang mempunyai dua orang anak perempuan sebagaimana diceritakan oleh al-Qur’an dalam surah al-Qashash, ayat 23, yang mana kedua-dua anak perempuan itu mengambil alih tugas bapa mereka sebagai pengembala kambing. Firman Allah:

Tafsirnya: “Mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternakan masing-masing; dan bapa kami adalah seorang yang terlalu tua umurnya.” (Surah al-Qashash: 23)

BACA:  Hukum Wanita Menari Zumba

Ada kalanya pula kerjaya itu khusus dilakukan oleh kaum wanita terutama kerja-kerja kemasyarakatan seperti doktor sakit puan, jururawat, bidan dan sebagainya.

Di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam terdapat para sahabat yang terdiri daripada kaum wanita yang bertugas membalut luka askar-askar lelaki yang cedera di dalam peperangan.

Sebenarnya keharusan kaum wanita menjawat sesuatu pekerjaan itu adalah tertakluk kepada bentuk tugas yang akan dilakukan oleh penjawat sesuatu jawatan itu. Terdapat beberapa syarat yang mesti diambil kira dalam menilai kesesuaian kerjaya seorang wanita menurut hukum syara‘. Antaranya ialah:

(i) Pelantikan wanita untuk menyandang sesuatu jawatan itu hendaklah tidak menjurus kepada perlanggaran hukum syara‘ seperti kerjanya itu menghendaki wanita itu melakukannya bersama-sama dengan lelaki di tempat yang sunyi lagi terasing daripada orang lain, umpamanya kerja itu dilakukan dalam satu bilik yang hanya diisi oleh seorang lelaki dan seorang perempuan sahaja. Tugas tersebut jelas bertentangan dengan prinsip Islam sebagaimana yang digariskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: “Hendaklah jangan seorang lelaki itu bersunyi-sunyi dengan seorang perempuan.” (Hadis riwayat Bukhari)

(ii) Kerjaya tersebut hendaklah bukan kerjaya yang menghendaki perempuan itu belayar keluar negara bersendirian tanpa ditemani oleh suaminya atau mahramnya atau ditemani oleh sekumpulan perempuan yang diyakini amanah dan dapat mengawal kesejahteraannya serta mengelakkannya daripada perkara-perkara mungkar, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Janganlah seseorang perempuan itu melakukan pelayaran kecuali bersama mahramnya.” (Hadis riwayat Bukhari)

(iii) Kerjaya itu tidak akan menyebabkan seorang wanita itu mendedahkan auratnya. Menurut Islam apabila wanita itu keluar rumah, hendaklah dia menutup aurat serta memenuhi adab-adab Islam seperti firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan-perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” (Surah an-Nûr: 31)

Tafsirnya: “Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka.” (Surah an-Nûr: 31)

Tafsirnya: “Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (Surah al-Ahzâb: 32)

(iv) Jawatan yang disandang itu mestilah sesuai dengan kemampuan fizikal dan naluri/fithrah semula jadi kewanitaannya. Tugas-tugas yang lasak adalah tidak sesuai dengan wanita kerana fithrah semula jadi mereka adalah lemah-lembut, sekalipun kerja-kerja lasak itu dianggap oleh orang yang tidak beragama sebagai kerjaya yang mencabar dan mampu menampakkan kegagahan, daya saing dan kehandalan.

BACA:  Wanita Mengandung Anak Luar Nikah Berkahwin

Dalam Appendix 1, yang disertakan oleh penanya menyatakan tentang tugas kerjaya di laut itu seperti berikut (Terjemahaan daripada bahasa Inggeris):

“Kerjaya di laut adalah satu kerjaya yang memerlukkan tenaga: Bukan sahaja ia memerlukan latihan yang lama dan pengkhususan untuk mencapai penguasaan lengkap dalam bidang pekerjaan tersebut – semasa di laut semuanya bergantung kepada kecekapan setiap orang kerana tidak ada sesiapa yang akan membantu mereka! – Tetapi ianya juga memerlukan pengorbanan sebagai contoh dalam hidup kekeluargaan.”

(v) Bagi wanita yang bersuami dimestikan kerjaya yang akan dilakukan itu mendapat restu dan izin daripada suaminya, iaitu apabila tugas tersebut menghendakinya keluar rumah. Suami berhak menghalangnya daripada bekerja sekiranya kerja itu boleh menyebabkan seorang isteri itu cuai pada menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri. Begitu juga suami lebih-lebih lagi berhak menegah isterinya bekerja sekiranya pekerjaan itu mengundang kepada fitnah atau boleh berlaku fitnah. Contohnya, pekerjaan yang tiada batasan agama atau adab sopan di dalam bentuk campur gaul yang bebas di antara lelaki dan perempuan, sama ada ianya berlaku di daratan apatah lagi di laut atau di mana-mana saja. Jika terdapat unsur-unsur begini, atau ghâlib zhann fitnah itu mungkin berlaku, maka kedudukan suami cukup jelas: Wajib menegahnya kerana jika tidak, suami itu akan dianggap dayyûs, sedangkan orang dayyûs tidak mencium bau syurga.

Manakala bagi wanita yang belum bersuami pula dikehendaki mendapat izin dan kebenaran daripada pihak walinya.
Akhirnya untuk lebih jelas, saya suka menukil pendapat bekas Syeikh al-Azhar al-‘Allâmah al-‘Âlim al-Imam Abdul Halim Mahmud Rahimahullah di dalam fatwanya berkaitan Wanita Bekerja Di luar Rumah. Antara lain beliau berkata:
“Mana-mana wanita tidak ditegah bekerja di luar rumahnya apabila dia terpaksa berbuat demikian. Akan tetapi apabila wanita berkenaan telah mendapat limpah kurnia rezeki yang cukup daripada Allah, maka rumah, mengasuh anak-anak dan berusaha memberikan kebahagiaan kepada keluarga adalah lebih baik untuknya sepanjang masa ………” (Fatâwa al-Imam Abdul Halim Mahmud, 2/182).

Sumber: Mufti Brunei

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel