Fahaman ‘Pluralisme Agama’ pada masa kini sedang diperjuangkan sebagai suatu agenda kesaksamaan dan kesamarataan oleh golongan yang dikenali sebagai liberalis atau lebih khusus ‘pluralis’.
Di negara demokratik seperti Malaysia kewujudan kumpulan atau individu liberalis mahupun pluralis amat mengancam akidah umat Islam.
Menurut sejarah ‘pluralisme’ adalah berasal daripada barat. Ia wujud apabila suatu fahaman agama dilihat tidak dapat menyelesaikan masalah manusia semasa kemudian wujud fahaman baru yang dianggap lebih baik.
Agama bagi mereka suatu yang boleh berubah-berubah demi sesuatu kepentingan. Pada permulaannya asas kepada kewujudan fahaman pluralisme agama adalah berpunca daripada fahaman eksklusif dalam mendakwa kebenaran atau disebut sebagai ‘Eksklusivisme’.
Di barat, sikap dan fahaman mendakwa hanya kebenaran bertempat pada satu pihak sahaja telah bertapak lama. Namun, ia kerap membawa kepada pertelagahan antara penganut-penganut agama.
Kemudian ahli-ahli agama mereka sukar mencari jalan keluar daripada kemelut ‘Mencari Kebenaran’. Ini kerana prinsip ‘Ekslusif’ tidak dapat menyelesaikan pertelagahan antara penganut-penganut agama terutama persoalan atau isu agama mana lebih benar.
Ramai penganut-penganut agama berasa ‘ekslusivisme’ adalah suatu prinsip yang bias dan berat sebelah. Maka, jalan keluar adalah perlu kepada sikap baharu yang dipanggil ‘inklusivisme’.
Jadi, diperkenalkan pula fahaman ‘inklusivisme’. Inklusivisme iaitu suatu fahaman yang dibawa oleh Kristian. Fahaman ini menerima agama-agama lain terangkum di dalam kepercayaan ‘tuhan’ mereka. Sebagai contoh mereka mengatakan bahawa;
“Orang yang bukan kristian akan dirahmati tuhan”
“Setiap doa dengan tulus ikhlas walaupun terhadap tuhan yang palsu akan diperkenankan tuhan yang benar (melalui Jesus)”
*Tuhan = pada pandangan kristian
Inklusivisme juga dilihat belum mampu menyelesaikan pertelagahan kerana menurut fahaman itu masih menilai agama lain dari perspektif agama sendiri yang dianggap lebih unggul. Maka, sesudah itu pluralisme pula mendapat tempat bagi menggantikan inklusivisme.
Jika inklusivisme masih berfahaman bahawa ada sebelah pihak atau agama (pembawa fahaman ini) adalah benar, akan tetapi pluralisme dilihat lebih terbuka.
Pengasas kepada fahaman ini Cantwell Smith dan John Hick yang meletakkan bahawa kebenaran itu bukan terletak kepada agama, tetapi kepada individu. Para teologi barat pluralis memperkenalkan idea bahawa dakwaan manusia mengenai kebenaran hanyalah jalan yang manusia ciptakan bersifat bukan mutlak.
Fahaman itu dipengaruhi corak sejarah peradaban barat yang mengangap agama tidak lebih daripada suatu tradisi manusia yang sentiasa berkembang dan memiliki banyak bentuk.
Merujuk kepada fahaman seorang muslim dalam konteks Islam sebagai pegangan yang dianuti, hujah rasional ke dua-dua pandangan ahli teologi barat itu adalah tidak berasas sama sekali.
Percakapan dan kepercayaan seseorang tentang tuhan bukanlah sesuatu yang ‘relatif benar’ jika dirujuk kepada wahyu yang diterima oleh Rasullullah S.A.W. Wahyu adalah kalam Allah yang diturunkan melalui perantaraan Jibril.
Begitu juga agama Islam bukanlah agama yang ditradisikan oleh manusia mengikut kesesuaian masa dan pengalaman sejarah.
Malah, agama Islam adalah ‘ad-din’ yang telah wujud sejak lama dahulu daripada lidah nabi-nabi terdahulu sebelum nabi Muhammad S.A.W.
Ada dalam kalangan umat Islam sendiri yang dikelompok sebagai ‘pluralis dan inklusivis’ memahami konsep pluralisme agama sebagai sikap dan keterbukaan kepada semua agama, maksudnya membenarkan agama-agam yang lain.
Disebabkan tiada maksud yang tepat pada konsep itu sedangkan taarifan yang samar itu lebih tertonjol, maka bahayanya adalah, umat Islam sendiri akan terkeliru dengan konsep tersebut.
Akhirnya ramai yang terpengaruh dengan maksud yang dibawa oleh orang yang mempromosikan fahaman ‘Pluralisme agama’ ini ataupun terkeliru dengan konsep ini.
Konsep Pluralisme agama tidak sama dengan kepelbagaian agama. Agama Islam menghormati agama dan kepercayaan orang lain.
Sebagai contoh, sikap menghormati dan memberi kebebasan kepada penganut lain menganuti dan mengamalkan tradisi dan ibadah yang diajar agama mereka ,itu memang dianjur oleh Islam.
Pluralisme agama tidak boleh dianggap sinonim dengan maksud kepelbagaian agama. Jika ia disamakan ia mengheret kepada maksud bahawa tidak ada kebenaran yang mutlak, maksudnya semua agama adalah sama.
Tidak ada kebenaran yang berpihak kepada mana-mana agama, semua benar. Umat Islam harus berwaspada dengan gagasan yang dicipta daripada tafsiran itu.
Kedengaran begitu lunak dan ramah lebih-lebih lagi apabila ia dilaungkan dalam majlis yang dihadiri ramai orang yang terdiri daripada pelbagai ajaran dan agama.
Orang Islam perlu memahami fahaman ini dengan jelas. Pluralisme agama perlu dijernihkan dengan memahami tasawur Islam dengan berpandukan dalil-dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah dan hujah-hujah ulamak terutama dalam bidang usuluddin (Al-Mutakalimun).
Hal ini penting sebagai petunjuk kepada orang-orang Islam yang keliru dengan konsep inkslusivisme dan eksluvisme yang diperkenalkan golongan liberalis-pluralis dalam doktrin mereka.
Pluralisme agama adalah bahaya, ia kelihatan berlapang dada dan lunak sedangkan ia adalah anti-tesis dan lawan kepada prinsip tauhid yang menjadi inti pati risalah seluruh nabi dan rasul yang diutus oleh Allah S.W.T.
Sumber: Tazkirah.net