≡ Menu

Perbezaan Antara Alkohol Dan Arak

Umat Islam hari ini telah dikejutkan dengan minuman zero alkohol yang telah dikeluarkan oleh Syarikat Heineken dengan slogannya yang tersendiri, iaitu ‘Now You Can’. Minuman tersebut telah dikomersialkan secara meluas melalui akhbar-akhbar tempatan dan laman sosial yang telah menimbulkan tanda tanya sekali gus mencetuskan isu sensitiviti umat Islam sendiri.

Apabila dibaca penjelasan yang telah dinyatakan oleh beberapa golongan agamawan, mereka mengatakan bahawa istilah ‘You’ merujuk kepada golongan yang tidak boleh meminum bahan yang memabukkan atau secara jelasnya ialah orang muslim sendiri.

Jadi, persoalannya di sini ialah, adakah minuman Heineken Zero-Alcohol ini halal untuk diminum? Ramai netizen yang telah menyuarakan persoalan yang sama kerana rata-rata dari kita akan menjadi keliru apabila melihat pernyataan bebas alkohol.

Namun, apabila dilihat kenyataan balas yang diberikan, ia merupakan sejenis minuman arak dan sekali gus adalah haram diminum. Hal ini kerana, walaupun arak itu tidak mengandungi alkohol, namun ia telah diproses menjadi minuman yang memabukkan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (surah Al-Maidah, 5:90)

Ramai juga yang keliru dengan pernyataan di atas, bagaimana sesebuah minuman yang tidak ada alkohol juga dikategorikan sebagai haram untuk diminum. Malah, ada yang menyangkal bahawa alkohol itu tidak haram kerana ia tidak disebut di dalam al-Quran.

كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ

“Semua yang memabukkan adalah haram.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi, untuk merungkai persoalan tersebut, adalah lebih baik untuk kita mendalami apakah maksud alkohol dan arak serta perbezaan di antara keduanya.

Arak

Arak merupakan minuman yang memabukkan dan secara jelas hukumnya ialah haram. Arak pada zaman Arab Jahiliyah dikenali sebagai al-bit, (perahan madu), al-mizr (perahan jagung), al-fadikh (perahan kurma muda yang belum masak) dan al-baziq (perahan air anggur).

Manakala, arak pada zaman sekarang dilabel dengan berbagai-bagai nama dan juga jenama seperti bir yang dihasilkan daripada bijirin seperti barli malt, gandum, jagung dan beras melalui proses pendidihan dan fermentasi kanji.

BACA:  Unta Mengadu Lapar Kepada Nabi

Ada juga arak yang dikenali sebagai wain yang telah dihasilkan daripada air perahan anggur, epal dan buah beri, kaji dan juga beras. Ia mempunyai pelbagai nama lain seperti Champagne, Muscatel dan Sherry.

Seterusnya, wisky yang telah dihasilkan daripada bijirin seperti barli, oat dan gandum hitam. Vodka, brandi dan juga rum merupakan anatara arak yang telah dihasilkan pada masa kini. Ia berbeza mengikut tahap kepekatan dan juga peratusan alkohol yang ada serta proses-proses yang dilakukan.

Walau bagaimanapun, semua jenis arak, sama ada banyak atau sikit kandungan alkoholnya, ia adalah haram kerana ia akan menyebabkan kepada mabuknya si peminum.

Maksud: “Daripada Ibnu ‘Umar RA berkata: “Aku mendengar Saidina ‘Umar RA ketika beliau berada di atas mimbar Rasulullah SAW berkata: “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya telah datang pengharaman arak dan ia daripada lima perkara, iaitu anggur, kurma, madu, gandum dan barli. Dan arak itu adalah suatu minuman yang menutup akal fikiran.”(Hadis Riwayat Ibnu Umar)

Mabuk telah diertikan sebagai pemikiran yang menghalang fungsi akal dengan baik kerana ia akan mengakibatkan pemikirannya berubah menjadi kacau. Ia juga akan jatuh hukum haram sama ada mabuknya dalam kadar yang sedikit atau tidak.

Menurut Mazhab Syafi’e, segala jenis minuman yang memabukkan adalah haram dan najis. Perkataan رِجْسٌ dalam surah Al-Maidah di atas membawa maksud kotor dan najis.

Arak ialah kunci kepada segala kejahatan dan syaitan akan mudah memesongkan manusia yang berada dalam keadaan tidak sedar untuk melakukan dosa.

Malah, beberapa kajian yang telah dilakukan oleh pakar saintifik menunjukkan bahawa orang yang berada dalam keadaan mabuk ini tidak akan menerima dan melakukan memori baru dalam dirinya. Dia akan cenderung untuk melakukan sesuatu sama ada baik atau jahat dalam keadaan separa sedar atau tidak sedar.

Arak juga dikatakan mampu untuk mengundang kepada beberapa penyakit yang merbahaya seperti barah hati. Malah, ia bukan sahaja terkait dengan diri sendiri namun boleh menyebabkan kerosakan kepada orang lain juga.

Kita sering mendengar berita-berita mengenai berlakunya kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh pemandu yang berada dalam keadaan mabuk sehingga boleh meragut nyawa orang yang tidak bersalah.

BACA:  4 Tabiat Perlu Ditinggalkan Pada Bulan Ramadan

Alkohol

Alkohol merupakan bahan kimia yang terdiri daripada hidrogen, oksigen dan juga karbon. Alkohol yang asli merupakan sejenis cecair yang mempunyai bau dan warna. Ia juga dikatakan sebagai cecair yang mudah terbakar dan memabukkan.

Ia sering dikenali berada di dalam minuman seperti arak. Disebabkan itulah, alkohol sering disalah ertikan sebagai bahan yang haram.

Sebenarnya, alkohol juga ada digunakan di dalam industri perubatan, farmasi, alat kosmetik dan industri makanan.

Dalam Islam, ia dikenali dengan nama غَوْلٌ (ghawl) yang bermaksud sesuatu yang memabukkan.

لَا فِيهَا غَوْلٌ وَلَا هُمْ عَنْهَا يُنزَفُونَ

Mafhum: “Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan dan tidak pula mereka mabuk kerana menikmatinya.” (Surah As-Saffat, 37:47)

Menurut al-Sheikh Atiyyah Saqar, hukum penggunaan alkohol untuk tempat-tempat yang tertentu seperti mencuci tempat yang cedera adalah diharuskan. Ini adalah kerana, alkohol itu sendiri sifatnya adalah suci. Majlis Fatwa al-Azhar juga telah berpegang kepada pendapat ulama’ yang mengatakan bahawa alkohol itu sifatnya suci dan bukanlah najis seperti arak.

Alkohol juga ada digunakan sebagai bahan untuk memproses makanan seperti tapai, budu, kicap dan sos. Malah, alkohol juga dikatakan terkandung di dalam buah-buahan seperti buah durian. Namun, ia masih tetap halal dimakan kerana ia bukanlah jenis yang memabukkan.

Oleh itu, setiap minuman arak yang mengandungi alkohol atau tidak adalah haram untuk diminum, namun alkohol yang tidak bercampur dengan arak hukumnya tidak najis dan masih suci untuk digunakan. Walau bagaimanapun, alkohol yang tulen tanpa melalui proses penyucian adalah haram diminum kerana ia berfungsi sebagai racun yang boleh menyebabkan kematian.

Dua Kategori Haram

Untuk kita melihat status halal atau haram alkohol dan arak, terlebih dahulu kita perlu dalami apa itu maksud haram dan kategorinya yang tersendiri.

Haram ialah sesuatu yang ditegah untuk dilakukan atau diamalkan sama ada dalam ibadah, perbuatan atau makan dan pakai. Pengharaman ini adalah berdasarkan dalil yang ditetapkan Allah dan juga syariat yang telah berlaku yang menyebabkan hukumnya jatuh haram.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Mafhum: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jeak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah Al-Baqara, 2:168)

BACA:  Diharamkan Bau Syurga Atas Perempuan Yang Meminta Cerai Pada Suaminya Tanpa Sebab

Melalui ayat di atas, Allah telah memerintahkan umatNya untuk berbuat kebaikan dan ibadah dengan sesuatu yang halal dan melarang kita untuk mengikut jejak langkah syaitan yang tidak halal. Haram terbahagi kepada dua golongan, iaitu:

#1 – Haram Lizatihi

Ia merupakan sesuatu yang diharamkan disebabkan oleh perkara atau zat tersebut yang menjadikannya haram. Sebagai contoh zina, mencuri dan juga minum arak.

Ia merupakan sesuatu yang tidak disyariatkan pada asalnya. Ia bermaksud, jika perkara yang haram ini dilakukan, maka ia akan mengundang kepada kesan dan maksud yang tidak baik.

Sebagai contoh, perbuatan zina akan menyebabkan kepada wujudnya nasab dan pewarisan yang tidak halal hasil daripada perbuatan tersebut.

#2 – Haram Lighairihi

Perkara yang pada asalnya tidak jatuh hukum haram, namun ia menjadi haram disebabkan oleh perkara-perkara yang tertentu. Sebagai contoh puasa yang dilakukan pada hari raya aidilfitri atau melakukan urusan jual beli yang mengandungi riba.

Ia merupakan sesuatu yang disyariatkan pada asalnya, namun pensyariatannya bukanlah berdasarkan sifatnya. Oleh itu, mazhab Hanafi berpendapat bahawa perkara yang haram itu boleh menyebabkan kepada berlakunya sesetengah hukum syara’.

Walaupun riba itu haram, namun pemilikan ke atas barang belian tetap akan berpindah ke atas pembeli daripada penjual tersebut.

Jika dilihat dalam situasi alkohol dan arak; alkohol halal dan suci untuk digunakan dengan syarat ia tidak berfungsi sebagai racun yang boleh meragut nyawa sendiri. Ia akan berubah menjadi haram lighairihi apabila bercampur dengan minuman yang memabukkan seperti arak.

Kesimpulan

Alkohol dan arak merupakan dua benda yang berbeza dari segi sifat dan hukumnya. Arak telah dijelaskan secara terang di dalam Al-Quran dan kajian mengenai status haram dan bahaya yang ada manakala alkohol adalah harus digunakan dalam proses-proses tertentu. Namun, ia akan berubah menjadi haram apabila bercampur dengan arak.

Walaupun proses pembuatan arak sudah semakin moden tanpa melibatkan alkohol sekali pun, ia tetap haram untuk diminum kerana ia adalah jenis minuman yang memabukkan. Wallahu a’alam.

Rujukan: Bahaya Arak & Konsep Arak Dan Alkohol

 

Sumber: tzkrh.com 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel