≡ Menu

Mengapa Nama Ubai Disebut oleh Allah?

Mengapa Nama Ubai Disebut oleh Allah?

1. al-Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadith yang menarik mengenai Saidina Ubai bin Ka’b. Suatu hari Rasulullah datang menemui Saidina Ubai lalu berkata kepadanya:

إِنَّ اللهَ أَمَرَنِي أَنْ أَقْرَأَ عَلَيْكَ: (لَمْ يَكُنِ الَّذِينَ كَفَرُوا)

“Sesungguhnya Allah mengarahkan aku agar membacakan Surah al-Bayyinah kepada engkau wahai Ubai.” Ubai terkejut mendengar sabda Rasulullah tersebut lalu segera bertanya kepada Baginda:

وسماني لك ؟ قال : نعم . قال : فبكى

“Apakah Dia (Allah) menyebut namaku? Lalu Rasulullah berkata: Ya. Mendengar jawapan Rasulullah, Saidina Ubai terus menangsi.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

2. Tangisan Ubai tidak lain adalah kerana beliau berasa sangat terharu apabila namanya disebut oleh Allah dihadapan Rasulullah. Menurut al-Imam al-Nawawi, ini adalah kelebihan yang tidak dimiliki oleh sahabat yang lain. Kata al-Nawawi:

وَلَا يُعْلَمُ أَحَدٌ مِنَ النَّاسِ شَارَكَهُ فِي هَذَا

“Dan tidak diketahui seseorang pun yang mempunyai kelebihan seperti ini.”

3. Timbul persoalan di sini, apa yang menyebabkan nama Ubai disebut di sisi Allah? Ini tidak bukan kerana ketepatan, kemahiran serta kefahaman Ubai terhadap ayat-ayat Allah. Ubai dikatakan membaca al-Quran dengan bacaan yang sangat tepat seperti wahyu diturunkan. Rasulullah sendiri memberikan penyaksian ini. Sabda Rasulullah:’

وأقرؤُهم لِكتابِ اللَّهِ أبيُّ بنُ كعبٍ

“Dan orang yang paling mahir dalam bacaan Kitab Allah (al-Quran) adalah Ubai.” (HR Ahmad)

4. Bahkan keseronokan Ubai mendalami ayat al-Quran serta menyibukkan diri menelaah al-Quran menjadikan beliau istimewa di sisi Allah. Seorang lelaki pernah bertanya kepada Ubai supaya diberikan nasihat kepadanya. Lalu Ubai menasihatkan lelaki tersebut dengan berkata:

اِتَخِذْ كِتَابَ اللهِ إِمَامًا, وَارضَ بِهِ قَاضِيًا وَحَكَمًا؛ فَإِنَّهُ الذِيْ اْستَخْلَفَ فِيكُمْ رَسُولُكُمْ

BACA:  Semua Rezeki Datangnya dari Allah SWT

“Jadikanlah al-Quran sebagai Imam panduan buat dirimu. Bersikap redha la dengan ketentuan al-Quran yang menjadi hukuman dan panduan buat manusia. Sesungguhnya al-Quran adalah sesuatu yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah kepada kita.”

5. Hadith ini mengingatkan kepada kita tentang kepentingan memperbaiki bacaan al-Quran sehingga tepat seperti yang diturunkan. Kesungguhan kita dalam menghayati dan memperelok bacaan al-Quran boleh menyebabkan Allah menyayangi kita.

Semoga Allah menjadikan kita dikalangan mereka yang melazimi al-Quran.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel