≡ Menu

Hukum Pekerja Muslim Menggunakan Kad Perubatan (Medical Card) Insuran Konvensional yang Disediakan Syarikat

Hukum Pekerja Muslim Menggunakan Kad Perubatan (Medical Card) Insuran Konvensional yang Disediakan Syarikat

Soalan

Assalamualaikum, saya bekerja di sebuah syarikat swasta dan syarikat saya telah menyediakan medical card untuk pekerja-pekerja bagi menjaga kebajikan staff syarikat. Menjadi kemusykilan pada saya, adakah saya boleh menggunakan medical card tu kerana medical card tersebut diambil dari syarikat insurans konvensional, bukannya syarikat takaful?

Ringkasan Jawapan

Hukum asal bermuamalat dengan insurans konvensional adalah haram kerana terdapat unsur judi, riba dan gharar pada insurans tersebut. Oleh itu, sekiranya pekerja tersebut mempunyai kemampuan untuk mengambil medical card atau pelan perlindungan takaful yang patuh syariah atas kapasiti peribadi, maka ianya adalah lebih baik dan lebih selamat. Namun, sekiranya tidak mampu, memadailah menggunakan tuntutan sekadar jumlah premium yang dibayar oleh syarikat.

Disarankan juga pada mana-mana syarikat yang mempunyai pekerja-pekerja muslim khususnya bagi mempertimbangkan semula kemudahan dan insentif insurans konvensional yang diberikan tersebut dengan menukarkannya kepada takaful yang patuh syariah bagi meraikan sensitiviti pekerja-pekerja muslim.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Huraian Jawapan

Sebelum memperincikan perbincangan hukum, perkara pertama yang perlu difahami adalah situasi yang berlaku dalam persoalan ini. Apa yang dapat difahami melalui soalan di atas, situasi persoalan ini boleh dibahagikan kepada dua situasi sebagaimana berikut:

Situasi 1

Syarikat mensyaratkan pekerjanya untuk mengambil pelan perlindungan daripada syarikat insurans tertentu dan bayaran premium kepada syarikat tersebut akan dipotong daripada gaji bulanan pekerja tersebut. Dalam keadaan ini, pekerja itu sendiri mengeluarkan duitnya untuk membayar premium tersebut.

Situasi 2

Syarikat menyediakan insentif pelan perlindungan bagi menjaga kebajikan pekerjanya, bayaran premium kepada syarikat insurans ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat. Oleh itu, apabila pekerja diterima masuk untuk bekerja di syarikat tersebut maka secara automatik dia layak untuk menggunakan insentif kebajikan yang disediakan pihak syarikat tersebut.

Islam sangat menitik beratkan tentang sumber sesuatu yang diperoleh. Oleh kerana itu, setiap muslim mesti berusaha untuk memastikan sumber pendapatan atau perolehannya daripada sumber yang halal dan menjauhi unsur haram dan syubhah. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ، لَا يَعْلَمُها كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ، أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمَى، أَلَا وَإِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ، أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksud: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas dan perkara yang haram itu jelas, dan di antaranya perkara yang samar yang tidak diketahui tentangnya oleh kebanyakan orang, maka sesiapa yang menyelamatkan dirinya daripada perkara yang samar ini maka dia telah menyelamatkan agamanya dan maruahnya, sesiapa yang tetap mengambil perkara yang samar ini sebenarnya terjebak dalam perkara yang haram. Ketahuilah bahawasanya di dalam tubuh badan ada segumpal darah jika ianya baik maka baiklah seluruh jasad. Jika ianya rosak maka rosaklah seluruh jasad, ketahuilah ianya adalah hati.

BACA:  Pakaian Wanita Berbasikal & Pakaian Sutera Bagi Lelaki

(Sahih al-Bukhari No.2051 dan Muslim No.1599)

Selain itu, melakukan transaksi dengan harta yang jelas pengharamannya seperti harta yang berunsurkan riba dan judi akan membawa kepada perbuatan tolong-menolong dalam kemungkaran. Ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT berikut:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Surah al-Maidah (2)

Ulama-ulama’ yang berpandangan bahawa tidak boleh menerima pemberian daripada orang yang diketahui hartanya daripada sumber yang haram adalah kerana perbuatan menerima tersebut seolah-olah meredai perkara mungkar dan perkara-perkara syubhah sepatutnya dijauhi. Al-Suyuthi berkata:

ما حرم أخذه حرم إعطأوه

Maksudnya: Apa yang haram untuk diterima maka haram juga untuk memberinya. (Rujuk al-Asybah wa an-Nazoir h.150)

Tambahan lagi, pampasan yang diberikan kepada pekerja adalah sepenuhnya datang daripada sumber yang haram iaitu insurans konvensional. Imam Syirazi dalam al-Muhazzab menyatakan bahawa bermuamalat dengan perkara yang diketahui sumbernya adalah haram adalah tidak dibolehkan.

ولا يجوز مبايعة من يعلم أن جميع ماله حرام

Maksudnya: Tidak dibenarkan untuk jual beli dengan orang yang diketahui bahawa seluruh hartanya daripada sumber yang haram. (Rujuk al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafie 21/2)

Al-Buhuti dalam Kasyful Qina’ menyatakan bahawa menerima pemberian daripada orang yang hartanya bercampur antara halal dan haram adalah dibenci:

‌وَتُكْرَهُ ‌إجَابَةُ ‌مَنْ ‌فِي ‌مَالِهِ ‌حَلَالٌ ‌وَحَرَامٌ ‌كَأَكْلِهِ ‌مِنْهُ ‌وَمُعَامَلَتِهِ وَقَبُولِ هَدِيَّتِهِ وَهِبَتِهِ وَنَحْوِهِ

Maksudnya: Dan dibenci untuk menerima pemberian daripada orang yang hartanya bercampur antara yang halal dan haram seperti memakan pemberiannya atau melakukan transaksi dengannya dan menerima hadiah atau hibah daripadanya dan sebagainya. (Rujuk Kasyaful Qina’ 167/5)

Begitu juga Ibn Muflih menukilkan tentang soalan yang diajukan kepada al-Marruzi tentang bermuamalat dengan harta yang diperoleh daripada hasil riba serta makan darinya. Al-Marruzi berpendapat bahawa ianya adalah haram untuk orang yang memperoleh daripada riba dan orang yang memakan darinya.

وَسَأَلَ الْمَرُّوذِيُّ أَبَا عَبْدِ اللَّهِ ‌عَنْ ‌الَّذِي ‌يُعَامَلُ ‌بِالرِّبَا ‌يُؤْكَلُ ‌عِنْدَهُ؟ قَالَ: لَا، قَدْ لَعَنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُوكِلَهُ، وَقَدْ أَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْوُقُوفِ عِنْدَ الشُّبْهَةِ

Maksudnya: Dan telah ditanya al-Marruzi Aba Abdillah tentang orang yang bertransaksi dengan riba dan memakan hasil darinya? Dia berkata: Tidak, sesungguhnya Rasulullah s.a.w melaknat pemakan riba dan orang yang memberi makannya, dan sesungguhnya Rasulullah s.a.w memerintahkan untuk menahan diri (tawaqquf) pada perkara yang syubhah. (Rujuk al-Furu’ wa Tashih al-Furu’ 388/4)

Di samping itu, kami juga ingin menukilkan sebuah hadis bagi menerangkan sikap wara’ dalam perkara yang tidak jelas statusnya. Saidina Abu Bakar pernah diberikan makanan oleh hambanya dan makanan itu datang daripada hasil yang haram, maka Saidina Abu Bakar memuntahkan makanan tersebut.

BACA:  Hukum Permainan Memukul ‘Pinata’ Di Majlis Hari Lahir

كَانَ لِأَبِي بَكْرٍ غُلاَمٌ يُخْرِجُ لَهُ الخَرَاجَ، وَكَانَ أَبُو بَكْرٍ يَأْكُلُ مِنْ خَرَاجِهِ، فَجَاءَ يَوْمًا بِشَيْءٍ فَأَكَلَ مِنْهُ أَبُو بَكْرٍ، فَقَالَ لَهُ الغُلاَمُ: أَتَدْرِي مَا هَذَا؟ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: وَمَا هُوَ؟ قَالَ: كُنْتُ تَكَهَّنْتُ لِإِنْسَانٍ فِي الجَاهِلِيَّةِ، وَمَا أُحْسِنُ الكِهَانَةَ، إِلَّا أَنِّي خَدَعْتُهُ، فَلَقِيَنِي فَأَعْطَانِي بِذَلِكَ، فَهَذَا الَّذِي أَكَلْتَ مِنْهُ، فَأَدْخَلَ أَبُو بَكْرٍ يَدَهُ، فَقَاءَ كُلَّ شَيْءٍ فِي بَطْنِهِ ”

Maksudnya: Abu Bakar r.ah mempunyai seorang hamba lelaki yang pernah memberikan kepadanya sebahagian hasil pendapatannya. Abu Bakar biasa makan daripada hasil tersebut. Suatu hari hamba lelaki tersebut membawa sesuatu dan Abu Bakar memakannya. Hamba itu berkata kepadanya, “Adakah kamu tahu apakah ini?” Abu Bakar kemudian bertanya, “Apakah ini?” Hamba itu kemudian berkata, “Suatu masa dulu, ketika zaman jahiliah aku menjadi tukang tilik bagi seseorang tetapi aku menipunya dan apabila dia bertemu denganku dia memberikanku upah bagi khidmatku itu, dan itulah apa yang kamu makan itu.” Kemudian Abu Bakar meletakkan tangan dalam mulutnya dan memuntahkan apa yang ada dalam perutnya.

Sahih Bukhari (3842)

Analisis Hukum

Bagi Situasi 1, sekiranya syarikat tersebut hanya mensyaratkan untuk pekerja mengambil apa-apa pelan perlindungan, maka sebagai seorang muslim dia wajib mengambil pelan perlindungan yang berasaskan Islam. Sekiranya dia mengambil pelan perlindungan konvensional maka perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa kerana mengikut kaedah feqah “apa yang haram diterima, haram juga untuk memberinya.”

Kami juga melihat bahawa konteks ini lebih sesuai dengan pandangan fuqaha’ yang tidak membenarkan kerana transaksi itu berlaku secara langsung antara pekerja dan pihak syarikat insurans konvensional. Tambahan lagi, perbuatan tersebut juga dianggap pelakunya reda tolong-menolong dalam perkara yang mungkar.

Allah s.w.t berfirman:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Surah al-Maidah (2)

Namun, berbeza pula bagi Situasi 2, pihak yang membayar premium insurans adalah syarikat dan bukannya pekerja itu sendiri. Ini bermakna, transaksi membayar premium insurans konvensional yang melibatkan unsur judi, gharar dan riba itu dilakukan oleh syarikat bukannya pekerja. Oleh kerana itu, pekerja tidak menanggung kesalahan atau dosa yang dilakukan pihak syarikat. Manakala kemudahan medical card yang disediakan oleh pihak syarikat adalah memang menjadi polisi syarikat bagi setiap pekerja yang diterima masuk akan layak menggunakan kemudahan kesihatan tersebut.

Kami mentelaah kepada beberapa institusi luar negara tentang isu ini. Antaranya Institusi Fatwa Jordan menyatakan bahawa seorang pekerja boleh menerima wang insurans konvensional yang dibayar oleh syarikat dia bekerja dengan syarat premium yang dibayar adalah daripada pihak syarikat bukannya daripada duit pekerja seperti pemotongan gaji dan lain-lain.

BACA:  Hukum Terima Organ Daripada Penderma Bukan Islam

عقود التأمين التجاري عقود محرمة بصورها وأشكالها كافة؛ لما فيها من غرر ومقامرة وأكل لأموال الناس بالباطل، فيحرم إنشاء هذه العقود إذا كان الخيار متاحاً للموظف.

أما إذا كانت الشركة تؤمن جميع الموظفين من أموالها ودون اقتطاع أي جزء من رواتب الموظفين، فلا حرج على الموظف أو ورثته حينئذ أن ينتفعوا بأموال التأمين المدفوعة إليهم

Maksudnya: Akad insurans konvensional adalah akad yang diharamkan bentuknya atau warna secara keseluruhan, kerana padanya terdapat unsur gharar dan judi dan memakan harta manusia dengan cara yang batil, maka diharamkan akad ini apabila terdapatnya pilihan untuk dicapai oleh pekerja.

Walaubagaimanapun, sekiranya syarikat yang menjamin (membayar insurans) untuk semua pekerjanya daripada harta syarikat itu sendiri dan tanpa memotong gaji atau sebahagian (bayaran premium) diambil daripada gaji pekerja, maka tidak ada halangan untuk pekerja atau warisnya untuk mengambil manfaat dengan duit insurans yang diberikan kepada mereka. (Rujuk Fatwa No.1915 bertarikh 05-10-2011)

Manakala fatwa yang dikeluarkan dalam Islamweb pula membenarkan pekerja memanfaatkan insurans yang telah dicarum pihak syarikat dengan syarat dia tidak mempunyai kemampuan untuk mencari alternatif yang halal.

فإن لم يكن هناك إجبار فلا يجوز الاشتراك في التأمين التجاري بكافة أنواعه، أما في حالة الإجبار فيجوز للموظف الانتفاع بالتأمين في حدود المبلغ الذي دفعته شركته فقط.

Maksudnya: Sekiranya pekerja secara rela hati membuat potongan gaji bulanan untuk melanggan insurans, maka tidak harus kerana haram terlibat dengan segala bentuk insurans konvensional. Namun, sekiranya syarikat sendiri bayarkan untuk pekerja tanpa ada potongan gaji maka dibolehkan untuk pekerja mengambil manfaat dengan insurans konvensional tidak melebihi jumlah yang dicarum oleh syarikatnya sahaja. (Rujuk Fatwa 111239 Islamweb)

Penutup

Hukum asal bermuamalat dengan insurans konvensional adalah haram kerana terdapat unsur judi, riba dan gharar pada insurans tersebut. Oleh itu, sekiranya pekerja tersebut mempunyai kemampuan untuk mengambil medical card atau pelan perlindungan takaful yang patuh syariah atas kapasiti peribadi, maka ianya adalah lebih baik dan lebih selamat. Namun, sekiranya tidak mampu, memadailah menggunakan tuntutan sekadar jumlah premium yang dibayar oleh syarikat.

Disarankan juga pada mana-mana syarikat yang mempunyai pekerja-pekerja muslim khususnya bagi mempertimbangkan semula kemudahan dan insentif insurans konvensional yang diberikan tersebut dengan menukarkannya kepada takaful yang patuh syariah bagi meraikan sensitiviti pekerja-pekerja muslim.

Wallahualam.

 

Sumber: muftiwp.gov.my

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel