≡ Menu

Hebatnya Sifat Pengasih yang Dimiliki Rasulullah SAW Sebagai Seorang Suami

Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa ada menceritakan bahawa ustazah pernah membaca sifat pengasih yang ada pada diri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, sangat luar biasa sifat pengasih baginda.

Jika para suami tidak mencontohi sifat pengasih baginda, sifat pengasih itu akan susut.

Dalam rumah tangga baginda juga ada berlaku perselisihan faham. Kata ustazah, Saidatina ‘Aisyah benar-benar menterjemah dari sisi seorang wanita. Jangan pernah sesekali kita lukakan peribadi Aisyah.

“Ala, ‘Aisyah pun merajuk.”
” ‘Aisyah pun itu.”
” ‘Aisyah pun ini.”

Jangan. ‘Aisyah itu adalah ummahatul mukminin, sepatutnya kita berterima kasih dan menghargai Aisyah kerana beliau menunjukkan emosi sebenar seorang wanita.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Kata ustazah, cuba bayangkan ‘Aisyah tidak pernah merajuk, ‘Aisyah tidak pernah berselisih faham, ‘Aisyah tidak pernah bertanya pada baginda; semata-mata ikut sahaja. Tidak susahkah kita puan-puan?

Sebab orang akan mengungkap, ” ‘Aisyah tidak pernah buat begitu.”

Maka menjadi tidak praktikal untuk kita capai sebagai seorang wanita.

Allah menciptakan ‘Aisyah mewakili kita sebagai wanita.

Suatu hari, apabila berselisih faham dengan baginda, ‘Aisyah berkata, “Aku nak balik rumah mak ayah aku.”

Lebih kurang macam kebanyakan wanita, kan? Jika ada selisih faham, kita nak cari ketenangan dengan balik ke rumah mak dan ayah.

SubhanAllah ‘Aisyah menonjolkan emosi seorang wanita.

Jika rasa tidak betah, jika rasa sedikit kekesalan, wanita akan mencari orang tuanya. Kita akan rasa mak kitalah yang benar-benar ikhlas menyayangi diri kita. Mak kitalah yang betul-betul terima kelemahan kita. Itu adalah fitrah wanita.

BACA:  Para Suami Wajib Memberi Ganjaran Kepada Isteri yang Menyusukan Anak!

Bukanlah bermaksud untuk bercerai, itu adalah menunjukkan ada insan yang yang boleh menerimanya dengan segala kelemahan yang ada pada dirinya.

Sebab itulah jika berlaku selisih faham, wanita akan berkata, saya nak balik rumah mak ayah saya.

Berbalik kepada kisah Saidatina ‘Aisyah yang mengatakan mahu balik ke rumah orang tuanya.

Baginda berkata, “Biar aku hantarkan, wahai ‘Aisyah.”

Hebatnya sifat pengasih baginda.

Baginda memposisikan diri baginda sebagai suami, sebagai ketua keluarga, tidak akan bergaduh dengan isteri. Kerana sifat ketua keluarga sepatutnya memayungi, melindungi isteri sendiri.

Lalu baginda menemankan ‘Aisyah pulang ke rumah orang tuanya. Jiwa ‘Aisyah sedang bergolak, emosi ‘Aisyah dalam keadaan tidak stabil dan baginda ingin membantu menstabilkan emosi isteri.

Apabila tiba di rumah Abu Bakar As Siddiq, baginda meminta izin daripada ‘Aisyah untuk berbicara.

” ‘Aisyah, bolehkah aku memulakan bicara?”

Bukannya baginda berkata, ” ‘Aisyah, kamu diam. Biar aku yang bercakap.”

Sebaliknya baginda meminta izin ‘Aisyah untuk berbicara di depan Abu Bakar As Siddiq.

Jawab ‘Aisyah dengan jiwa yang sedang bergelora, “Boleh. Tetapi pastikan berbicara yang benar.”

Jawapan Aisyah itu menyebabkan Abu Bakar berdiri dan ingin memukul ‘Aisyah.

Kata Abu Bakar, ” ‘Aisyah tahukah kamu dengan siapa kamu bercakap sedemikian?”

Kerana.. Rasulullah tidak akan bercakap melainkan yang benar. Dan digelar Al Amin yang bermaksud yang sangat benar.

Abu Bakar rasa marah dan ingin memukul ‘Aisyah. Apabila Rasulullah nampak Abu Bakar berdiri dan ingin memukul ‘Aisyah, Rasulullah cepat-cepat bangun melindungi batang tubuh ‘Aisyah daripada terkena pukulan ayahnya.

Kata Rasulullah, “Ya Abu Bakar, kami tidak minta datang untuk ini. Kami datang untuk meminta nasihat. Kami datang untuk yang baik-baik. Berlembutlah.”

BACA:  Jangan Membiarkan Anak Bawah 2 Tahun Main Gadjet,Kesannya Rangsangan Saraf Otak Terbantut – Pakar Psikologi

Walhal baginda boleh marahkan ‘Aisyah kerana kata-kata ‘Aisyah di depan Abu Bakar itu. Tetapi baginda memilih untuk melindungi ‘Aisyah dan memandang ‘Aisyah sambil berkata tengoklah aku melindungi kamu daripada kena pukul.

Baginda mengajak ‘Aisyah balik dan berdamailah keduanya.

Kata baginda, “Abu Bakar patut melihat kita gembira sebagaimana dia melihat kita tadi berselisih faham.”

Supaya tidak memberatkan perasaan orang tua.

Abu Bakar berasa lega melihat pasangan suami isteri itu sudah berdamai dan bergembira. Kerana Abu Bakar berhak melihat mereka gembira sebagaimana Abu Bakar menyaksikan perselisihan faham antara mereka berdua.

MashaaAllah, luar biasa watak seorang suami yang ada pada Rasulullah.

Kata ustazah, andai kata semua suami ada sifat pengasih sebegini; menolong menstabilkan emosi isteri, memujuk isteri, menunjukkan rasa sayang, sudah pasti pergaduhan tidak akan berlarutan, perselisihan faham tidak akan menjadi lebih dahsyat.

Apabila sentimen kasih tidak cukup subur, malah menyakitkan, melukakan, isteri tertekan, menangis, meraung. Kalau begitulah seorang suami dan seorang ayah dalam menyantuni isteri dan anak-anak, ustazah berfikir di situlah punca masalah yang besar.

Apabila kita berakhlak dengan sifat Allah, pasti hidup menjadi lebih aman. Ada sifat pengasih, ada sifat belas dan orang yang berhak mendapatkan semua itu adalah orang yang terdekat dengan suami yakni isteri dan anak-anak.

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.

Sumber: Facebook Farhana Muhammad 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel