≡ Menu

Doa Ditutup Aib Dan Diselamatkan Daripada Melakukan Dosa

Doa Ditutup Aib Dan Diselamatkan Daripada Melakukan Dosa

Tidak ada orang yang terkecuali daripada melakukan dosa. Tetapi yang lebih mencabar pada zaman sekarang, dosa, keaiban atau maksiat begitu mudah dipaparkan di media sosial. Tekan sahaja butang share dan like, beratus malah beribu orang boleh mengetahui perihal diri dan apa yang dilakukan.

Kadang-kadang, seseorang terkenal bukan dengan cerita-cerita yang enak didengar tetapi keaiban yang pada awalnya tidak akan diketahui orang jika tidak dibuka. Budaya kemasyhuran (fame) lebih tampak mengiurkan berbanding privasi dan hidup yang tenang.

Inilah fitnah yang disebutkan oleh Allah SWT dalam firmannya bahawa manusia akan ditimpa ujian dalam bentuk kebaikan dan keburukan.

“Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (Surah Al-Anbiya’ 21:35)

Untuk melindungi diri daripada kebaikan dan keburukan yang boleh menjadi fitnah kepada diri, Rasulullah SAW telah meninggalkan doa perlindungan yang sangat besar maknanya kepada kita. Ibnu Umar R.anhuma memberitahu bahawa Nabi SAW tidak pernah meninggalkan doa-doa ini pada waktu petang dan pagi:

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ، فِي دِينِي، وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي، وَمَالِي، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي، وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) pada agamaku, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah! Tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku. Ya Allah! Jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar (dalam keadaan tidak sedar) dari bawahku.” [Riwayat Ahmad (4785), Abu Daud (5074) dan Ibn Majah (3871)]

BACA:  Keramatnya Doa Ibu Terhadap Takdir Anak-anaknya

Jika Rasulullah SAW sendiri pun membaca doa ini, maka nyatalah besarnya cubaan yang boleh menimpa diri kita berkait dengan agama, dunia, keluarga dan harta. Bahkan Rasulullah SAW memohon keampunan dan diselamatkan daripada apa jua jenis cubaan yang boleh menimpa dari pelbagai arah.

Yang kaya boleh menjadi kedekut, yang miskin boleh menjadi iri hati. Yang dikenali orang diuji dengan rasa sentiasa betul. Yang ada keluarga bahagia boleh diuji juga dengan keluarga yang bermacam ragamnya. Yang menganggap diri kuat agama juga boleh diuji dengan rasa serba tahu. Yang kurang ilmu agama boleh juga diuji dengan rasa malas mencari tahu. Yang melakukan silap dan dosa teringin pula memberitahu orang silap yang dilakukan. Pendek kata sesiapa sahaja tidak terlepas dari ujiannya masing-masing.

Kesimpulan

Jadi wajarlah kita sentiasa memohon doa daripada Allah agar sentiasa diampunkan dosa, ditutup aib serta dilindungi dari rasa untuk membuka keaiban diri sendiri. Kerana ancaman besar tersedia bagi orang yang sengaja membuka keaiban dirinya sendiri setelah Allah SWT menutupnya. Setiap umat akan diampunkan dosanya kecuali orang yang sengaja menyebarkan keburukan yang telah dilakukan.

 

Sumber: tzkrh.com 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel