≡ Menu

Bolehkah Makan Selagi Azan Subuh Belum Habis?

“Alamak dah azan…”

“Eh tak pe… Kan ada hadith kata boleh abiskan apa yang ada kat tangan…”

Perkara ni saya dah bahas dulu lagi (dlm FB lama / FB zaman bujang). Tapi sedihnya, masih ada lagi yang beranggapan macam ni.

Golongan yang beranggapan bahawa: “kalau seseorang sedang makan sahur, kemudian terdengar suara azan, maka masih boleh selesaikan makan atau minum buat kali terakhir” – golongan ini berhujah dengan hadith yg dikeluarkan oleh Imam Abi Daud:

‎إذا سمع أحدكم النداء والإناء على يده فلا يضعه حتى يقضي حاجته منه

“Apabila seseorang di antara kamu mendengar azan sedangkan di tangannya ada bekas (gelas dan sebagainya), maka janganlah dia meletakkannya sehinggalah dia menunaikan hajatnya daripada bekas tersebut”

Berhujah dengan hadith ini untuk mengatakan bahawa: “kalau seseorang sedang makan sahur, kemudian terdengar suara azan, maka masih boleh selesaikan makan atau minum buat kali terakhir” – adalah tidak tepat, disebabkan beberapa perkara:

1) MASALAH PADA SANAD

1.1:

Imam Ibnu Abi Hatim (pakar hadith) dalam kitab ‘Ilal-nya (Rujuk Kitab Al-‘Ilal, Jilid 1, halaman 123) menyebutkan:

‎وَسألت أبي عَنْ حديث رَوَاهُ رَوْحُ بْنُ عُبَادَةَ ، عَنْ حَمَّادٍ ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرٍو ، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمُ النِّدَاءَ ، وَالإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ فَلا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ ” . قُلْتُ لأَبِي : وَرَوَى رَوْحٌ أَيْضًا عَنْ حَمَّادٍ ، عَنْ عَمَّارِ بْنِ أَبِي عَمَّارٍ ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَهُ ، وَزَادَ فِيهِ : وَكَانَ الْمُؤَذِّنُ يُؤَذِّنُ إِذَا بَزَغَ الْفَجْرُ . قَالَ أَبِي : هَذَانِ الْحَدِيثَانِ لَيْسَا بِصَحِيحَيْنِ

“Dan aku telah bertanya kepada bapaku (Imam Abu Hatim Ar-Razi – pakar hadith) tentang hadith yang diriwayatkan oleh Rouh Bin Ubadah, daripada Hammad, daripada Muhammad bin ‘Amr, daripada Abi Salamah, daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW, Baginda SAW bersabda:

“Apabila seseorang di antara kamu mendengar azan sedangkan di tangannya ada bekas (makanan / minuman), maka janganlah dia meletakkannya sehinggalah dia menunaikan hajatnya daripada bekas tersebut”

Aku berkata lagi kepada bapaku bahawa Rouh juga meriwayatkan daripada Hammad, daripada ‘Ammar Ibn Abi ‘Ammar, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW sama seperti hadith di atas tetapi ada penambahan lafaz: “dan adalah muazzin melaungkan azan apabila telah terbit fajar”.

Kata bapaku: “kedua-dua hadith (yang kamu sebutkan tadi) TIDAK SAHIH”

1.2:

Dalam kitab Ikmal Tahzib Al-Kamal (halaman 1325, Terbitan Al-Faruoq Al-Hadithiyyah), dinukilkan bahawa Imam Nasaie berkata berkenaan hadith di atas:

‎حمقاء أصحاب الحديث ذكروا من حديثه حديثا منكرا عن محمد بن عمرو عن أبي سلمة عن أبي هريرة : إذا سمع أحدكم الأذان والإناء على يده

“Orang-orang yang bodoh daripada kalangan Ahli Hadith menyebutkan salah satu daripada hadithnya (hadith Hammad) ialah HADITH MUNKAR daripada Muhammad Ibn ‘Amr daripada Abi Salamah, daripada Abu Hurairah: “Apabila seseorang di antara kamu mendengar azan sedangkan di tangannya ada bekas…”

2) MASALAH PADA MATAN

2.1: Bercanggah dengan ayat Al-Quran

‎وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ

“Dan makanlah dan minumlah SEHINGGA jelas bagi kamu benang putih dari benang hitam, iaitu FAJAR” (Al-Baqarah: 187)

Apabila azan subuh dilaungkan, maknanya waktu fajar sudah masuk. Maka tidaklah dibolehkan makan atau minum sebaik sahaja muazzin memulakan azan subuh.

2.2: Bercanggah dengan hadith yang LEBIH SAHIH

‎إن بلالا يؤذن بليل فكلوا واشربوا حتى يؤذن ابن أم مكتوم

“Sesungguhnya Bilal melaungkan azan pada waktu malam (sebelum masuk waktu subuh). Maka makanlah dan minumlah SEHINGGA Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan (iaitu azan kedua atau azan subuh)” (Bukhari dan Muslim)

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa apabila azan subuh sudah berkumandang, maka tidak dibenarkan lagi makan dan minum. Kecualilah jika sekiranya kita menyangka muazzin

itu tersalah lalu melaungkan azan sebelum masuk waktunya.

2.3: Bercanggah dengan akal yang sihat

Katakanlah ada dua surau yang berhampiran yang jarak di antara keduanya tidak sampai 1km (dalam zon waktu solat yang sama). Surau A, muazzinnya azan agak laju. Dalam masa seminit, dia sudah selesai melaungkan azan. Surau B, azannya agak perlahan. Muazzin Surau B habis azan dalam masa 2 minit (sebagai contoh). Maka, ahli kariah Surau B dapat ‘masa tambahan untuk menghabiskan sahur’ lebihlah kalau macam tu? Adilkah? Bukankah kedua-dua surau terletak dalam ZON YANG SAMA? Bukankah jarak antara kedua-dua surau tersebut dekat? Macam mana boleh berbeza pula masa tambahannya?

Andaikata Surau A tukar muazzin. Kali ini masa azannya 2 minit setengah pula. Maka kalau begitu, makin bertambahlah masa tambahannya? (Menurut mereka selagi azan masih berkumandang, masih boleh habiskan sahur). Bagai mana mungkin ibadat puasa yang agung ini ‘diikat’ dengan sesuatu yang tidak tetap macam ni?

BACA:  Sedar Ada Najis Pada Pakaian Setelah Selesai Solat – Adakah Solat Perlu Diulang

3) ANDAIKATA HADITH DI ATAS SAHIH?

Andaikata hadith tersebut sahih sekalipun, kita perlu faham bahawa hadith Abu Daud di atas menceritakan tentang azan pertama, iaitu azan Saidina Bilal. Bukannya azan subuh. Hadith Bukhari dan Muslim pada point 2.2 di atas sangat jelas menunjukkan beza antara kedua-dua azan tersebut. Manakala hadith Abu Daud tidak sebut pun azan yang mana. Maka hadith Abu Daud itu perlu ditafsirkan dengan hadith Bukhari Muslim itu yang LEBIH SOHIH DAN SORIH. Inilah yang difahami oleh para ulama yang mensyarahkan Sunan Abi Daud sebenarnya.

3.1:

Pengarang Kitab Al-Manhal Al-‘Azb Al-Maurud Syarah Sunan Abi Daud berkata:

‎ قوله إذا سمع أحدكم النداء الخ … أي الأذان الأول للصبح وهو أذان بلال فإنه كان يؤذن قبل طلوع الفجر ليرجع القائم ويتنبّهُ النائم كما تقدم .

“(Kata-kata) : ‘apabila salah seorang di antara kamu mendengar azan…’ : iaitu AZAN PERTAMA untuk subuh, iaitu azan Bilal, kerana Bilal melaungkan azan SEBELUM terbit fajar, agar orang yang berqiamullail balik ke rumah dan orang yang tidur pula berjaga, seperti mana yang (telah dijelaskan) sebelum ini”

3.2:

Maulana Khalil Ahmad As-Saharanpuri berkata dalam Bazlul Majhud (syarah Sunan Abi Daud):

‎هذا يحمل على قوله ” إن بلالا يؤذن بليل فكلوا واشربوا حتى يؤذن ابن أم مكتوم ” وقال البيهقي : هذا أرجح ، فإنه محمول عند عوام أهل العلم على أنه صلى الله عليه وسلم علم أن المنادِي كان ينادي قبل طلوع الفجر

“Hadith ini (hadith yang mengatakan boleh makan semasa azan) ditakwilkan mengikut hadith: “Sesungguhnya Bilal melaungkan azan pada waktu malam (sebelum masuk waktu subuh). Maka makanlah dan minumlah SEHINGGA Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan (iaitu azan kedua atau azan subuh)” (Bukhari dan Muslim). Dan berkata Imam Al-Baihaqi: INILAH YANG LEBIH TEPAT. Kerana kebanyakan ahli ilmu mentakwilkannya dengan mengatakan bahawa Nabi SAW (membenarkan makan kerana Baginda SAW) mengetahui bahawa muazzin (pada ketika peristiwa itu) melaungkan azan sebelum terbit fajar”.

3.3

Dalam Syarah Sunan Abi Daud yang lebih klasik, iaitu Kitab Ma’alim As-Sunan, pengarangnya, Imam Khattabi mensyarahkan hadith Abu Daud di atas dengan mengatakan:

‎ هذا على قوله أن بلالاً يؤذن بليل فكلوا واشربوا حتى يؤذن ابن أم مكتوم ، أو يكون معناه إن سمع الأذان وهو يشك في الصبح

“Hadith ini (difahami) mengikut hadith: “Sesungguhnya Bilal melaungkan azan pada waktu malam (sebelum masuk waktu subuh). Maka makanlah dan minumlah SEHINGGA Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan (iaitu azan kedua atau azan subuh)” (Bukhari dan Muslim). Atau makna hadith ini (hadith yang kata boleh makan) ialah: jika seseorang itu mendengar azan dalam keadaan dia syak benarkah telah masuk waktu subuh”

BACA:  Puasa enam dibuat berterusan lebih afdal

4) KEEMPAT-EMPAT MAZHAB TIDAK BERKATA : BOLEH MAKAN SELAGI AZAN BELUM TAMAT

Bahkan keempat-empat mazhab mengatakan bahawa apabila terbit sahaja fajar, maka bermulalah keharaman makan dan minum. Imam Nawawi menyebutkan dalam kitabnya, Al-Majmu’ (Jilid 6, halaman 324, Cetakan Al-Muniriyyah):

‎ هذا الذي ذكرناه من الدخول في الصوم بطلوع الفجر وتحريم الطعام والشراب والجماع به هو مذهبنا ومذهب أبي حنيفة ومالك وأحمد

“Apa yang kami sebutkan ini, iaitu masuknya (berm

ulanya) waktu puasa DENGAN TERBITNYA FAJAR dan diharamkan makan, minum dan jima’ ini adalah mazhab kami dan mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad rahimahumullah”.

Oleh kerana azan subuh itu merupakan tanda masuknya waktu subuh, maka ketika azan dilaungkan, kita sudah tidak boleh lagi makan dan minum. Kalau azan itu tak menepati waktu subuh yang sebenar itu lain cerita.

5) HADIS TAK KATA PUN AZAN TU AZAN SUBUH.

Sebelum mengakhiri tulisan yang ringkas ini, marilah kita sama-sama fikirkan beberapa perkara mengenai hadis riwayat Abu Daud di atas. Pertama, dalam matan hadis tersebut tidak dinyatakan pun azan tersebut ialah azan subuh. Kedua, dalam matan hadis tersebut juga tak dinyatakan bahawa bekas tersebut adalah bekas makanan atau minuman untuk bersahur. Jadi mengapa kita boleh mengatakan dengan jazam bahawa hadis ini merupakan pedoman utama dalam masalah sahur?

PENUTUP

Sudah jelas bahawa apabila kedengaran suara azan subuh, maka tidak dibolehkan lagi makan, minum dan jima’ pada waktu tersebut kerana azan itu menandakan masuknya waktu subuh, kecualilah jika kita menyangka muazzin itu tidak melaungkan azan pada waktu subuh yang sebenar. Manakala hadith riwayat Abu Daud yang dijadikan hujah tersebut perlu difahami dengan betul, selari dengan ayat Al-Quran, hadith Bukhari Muslim dan kefahaman para ulama zaman-berzaman.

Sebagai nasihat ikhlas, marilah kita merenung kata-kata Imam Abdullah Ibnu Wahb:

‎كل صاحب حديث ليس له إمام في الفقه فهو ضال

“Setiap ahli hadith yang tidak mempunyai imam dalam ilmu fiqh adalah sesat”

Wallahu a’lam

Oleh: Ustaz Abdur Rahman Harman Shah Raniri al Azhari

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel