Berbicara tentang niat, kita akan teringat tentang ibadah wajib yang kita kerjakan seharian iaitu solat. Tidak dilupakan juga ibadah puasa di bulan Ramadhan. Ibadah haji di Mekah. Ibadah-ibadah tersebut kesemuanya memerlukan niat.
Perkara ini dibuktikan dengan terdapatnya niat dalam salah satu rukun solat dan rukun puasa. Jika niat tidak penting, ia tidaklah sampai termasuk ke dalam rukun satu-satu ibadah.
Rukun apabila ditinggalkan, tidak sah ibadah yang kita lakukan. Hal ini menunjukkan, niat ini cukup dititikberatkan dalam ibadah wajib dan juga ibadah sunat.
Insyaa Allah, dalam artikel ini akan dikupas mengenai niat dengan lebih lanjut lagi. Biar kita semua faham dengan baik dan jelas. Barulah ibadah yang dilaksanakan akan lebih bermakna.
Apa Itu Niat?
Dari segi bahasa, niat boleh diertikan sebagai keinginan atau tujuan. Keinginan itu adalah keinginan di dalam hati untuk melakukan sesuatu tindakan atau perbuatan.
Dari segi istilah pula, tidak ada definisi dan erti yang khusus untuk pengertian niat. Disebabkan itu, kebanyakkan ulama memberikan maksud niat secara bahasa.
Imam Nawawi mengatakan;
‘Niat adalah bermaksud untuk melakukan sesuatu dan bertekad bulat untuk melakukannya.’
Salahkah Jika Kita Tidak Berniat?
Sebelum menjawab persoalan di atas, eloklah kita membaca hadis Nabi S.A.W ini terlebih dahulu. Daripada Sayidina Umar bin al-Khattab R.A mendengar Nabi Muhammad S.A.W bersabda;
‘Amalan seseorang itu ditentukan oleh niatnya. Oleh itu, setiap orang mendapat apa yang diniatkannya. Orang yamg berhijrah kerana Allah dan rasulnya, hijrah itu adalah kepada Allah dan rasulnya. Tetapi bagi sesiapa yang berhijrah dengan niat hendak mendapatkan keuntungan di dunia ataupun bagi mendapatkan isteri, dia mendapat apa yang diniatkannya itu.”
Riwayat Bukhari dan Muslim
Hadis ini berkisarkan tentang niat. Hadis ini sangat popular dan ia diletakkan di awal bab di kebanyakkan kitab para ulama.
Boleh dikatakan, hadis ‘wajib’ di kitab-kitab ulama terdahulu. Salahkah jika kita tidak berniat? Itu persoalannya disini.
Menurut hadis di atas, amalan seseorang ditentukan dengan niat. Jadi amalan tanpa niat tidak mendapat apa-apa kebaikan. Ia perlu disertakan dengan niat.
Niat itu pula perlulah ikhlas semata-mata kerana Allah. Contohnya, solat fardu yang dilakukan perlulah dengan niat. Jika tidak berniat, solatnya tidak sah. Begitu juga dengan zakat, puasa dan ibadah-ibadah khusus yang lain.
Manakala, perbuatan yang hukumnya adalah harus seperti makan, minum, bersenam dan membaca buku adalah tidak salah bila tidak disertakan dengan niat. Tetapi, ia lebih baik diniatkan kerana Allah S.W.T.
Misalnya, tujuan kita makan adalah untuk memberi tenaga supaya kita boleh beribadah lebih banyak kepada Alah S.W.T. Dengan niat kerana Allah, kita akan mendapat pahala.
Jadi, ibadah khusus yang dilakukan tanpa niat maka ibadahnya tidak sah. Manakala, perbuatan harus, jika diniatkan kerana Allah, ia akan mendapat kebaikan dan akan diberi pahala oleh Allah S.W.T. Tidak diniatkan tidak menjadikan ia satu kesalahan. Itulah perbezaannya.
Betulkan Niat Kerana Allah
Niat adalah satu perkara yang penting untuk diambil berat. Nampak ringan dan kecil tetapi hakikatnya satu perkara yang amat besar.
Niat yang baik akan mengundang kebaikan. Niat yang buruk dan tidak baik akan mengundang keburukan. Itulah ‘formula’ yang mudah kita fahami tentang niat.
Sedekah itu perbuatan yang baik, namun apabila sedekah itu diniatkan bukan kerana Allah, maka sedekah tersebut tidak diterima oleh Allah. Sedekah tetapi riyak.
Sedekah kerana manusia melihatnya. Jadi hasilnya, tiada apa-apa kebaikan untuknya. Malahan, Allah tidak menyukai perbuatan yang tidak ikhlas tersebut. Hati-hati dengan perkara ini.
Alangkah ruginya ibadah yang kita lakukan itu. Pada zahirnya nampak baik dan terpuji tetapi pada hati dan nalurinya penuh kepalsuan dan bukan kerana Tuhan.
Berbeza pula dengan perbuatan yang asalnya hukumnya harus. Contohnya, bersenam. Apa tujuan kita bersenam? Kita bersenam kerana kita ingin menjadikan tubuh badan kita lebih cergas dan sihat. Apabila tubuh badan sihat, kita boleh melakukan ibadah dengan lebih banyak dan lebih selesa.
Jika badan sakit, pasti dan tentunya tiada daya upaya kita untuk melakukan ibadah. Jika melakukannya, akan terasa beban dan berat. Solat berdiri tidak mampu, hanya duduk dan berbaring. Kesakitan yang dihadapi menjejaskan kualiti ibadah yang dikerjakan.
Apabila niat kita bersenam kerana Allah, hasilnya berpahala dan diredai Allah. Walaupun perbuatan kita nampak zahirnya bukan satu ibadah. Tetapi niatnya itu yang dilihat oleh Allah. Subhanaallah, mudah bukan untuk mendapatkan pahala.
Jangan melihat ibadah ini hanya di masjid sahaja, tetapi ibadah ini boleh dibuat di mana-mana sahaja. Di sini kita boleh lihat, betapa pengasih dan penyayangnya Allah S.W.T dalam memberi pahala kepada hamba-Nya.
Niat Tidak Menghalalkan Cara
Bagaimana pula dengan perbuatan dosa? Niatnya pula baik. Niat tidak menghalalkan cara. Itu yang perlu kita ketahui asasnya.
Seperti seseorang ingin memberi bantuan makanan kepada orang miskin tetapi dengan cara dia mencuri makanan di kedai runcit. Niatnya baik bukan?
Tetapi perbuatannya adalah salah. Perkara ini tidak dibenarkan dalam Islam, walaupun niat di hati cukup mulia. Jika niat sahaja yang baik, sedangkan perbuatannya salah, ia tetap menjadi salah.
Pentingnya Niat Walaupun Sesaat
Niat adalah salah satu perkara cabang dalam agama. Niat yang baik perlulah dipupuk dalam hati agar perbuatan yang dibuat tidak menjadi sia-sia.
Apa gunanya, banyak beribadah tetapi niatnya tersasar dan tersalah. Sungguh rugi sekali. Begitu jugalah, niat yang baik tetapi perbuatannya pula yang tersalah. Ia tetap salah.
Peliharalah niat kita. Jangan sampai ia mengundang murka dari yang Maha Esa. Berniatlah semata-mata untuk mendapat keredaan-Nya. Semoga dengan keredaan-Nya, kita akan mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Amin.
Waallahua’lam.
Sumber: Tazkirah.net