SOALAN :
Adakah wajib memberi nama kepada anak yang mati keguguran?
JAWAPAN :
Disunatkan memberi nama kepada anak yang dilahirkan meninggal dunia atau yang meninggal dunia sebab keguguran.
Hikmahnya kerana setiap yang bernyawa akan dibangkitkan pada hari kiamat dan akan dipanggil dengan nama yang diberikan kepadanya oleh orang tuanya.
Berkata Imam Nawawi :
قَدْ ذَكَرْنَا أَنَّ مَذْهَبَ أَصْحَابِنَا اسْتِحْبَابُ تَسْمِيَةِ السَّقْطِ وَبِهِ قَالَ ابْنُ سِيرِينَ وَقَتَادَةُ وَالْأَوْزَاعِيُّ
Artinya : “Sungguhnya telah kami sebutkan bahawasanya mazhab kami Syafie membilang sunat beri nama akan bayi yang gugur. Dan dengan pendapat ini telah berkata Imam Ibnu Sirrin dan Qatadah dan Al-Auza’ie.” (Kitab Minhaj At-Talibin)
Ada pun yang belum menjadi anak maka tidak disunatkan memberinya nama.
Telah menyebut oleh Syeikh Nawawi Bantan :
وَخرج بِالسقطِ الْعلقَة والمضغة لِأَنَّهُمَا لَا يسميان ولدا
Artinya : “Dan keluar dengan yang gugur itu ialah ketulan darah dan ketulan daging kerana sungguhnya keduanya itu belum dinamakan anak.” (Kitab Nihayah Zain)
Maksudnya jika yang keluar dari kandungan itu hanyalah ketulan darah atau ketulan daging maka tidak disunatkan memberinya nama kerana keduanya tidak akan dibangkitkan pada hari kiamat.
KESIMPULAN
Sunat diberi nama anak yang meninggal dunia setelah dilahirkan samada keluar ia dengan jalan beranak atau gugur.
Jika hanya ketulan darah atau ketulan daging maka tidak disunatkan memberi nama.
Jika ketika berlaku keguguran atau kelahiran tersebut tidak diberi nama maka sunat diberikan namanya sekarang sekali pun sudah lama berlalu.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus